saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 14/01/2000

Ezam ditahan bawah OSA -- Mengagih-agihkan dokumen rahsia kerajaan 6 November lalu


MOHAMAD Ezam Mohd. Noor diiringi oleh seorang pegawai polis menaiki van untuk dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya setelah ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) semalam. Penahanan itu dibuat semasa Ezam berada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan berhubung satu berita yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. - Gambar IZHAM JAAFAR


KUALA LUMPUR 13 Jan. - Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Noor hari ini ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mengagih-agihkan dokumen-dokumen rahsia kerajaan pada 6 November lalu.

Ezam ditahan selepas membuat satu aduan polis berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada pukul 5.55 petang ini.

Dua pegawai polis dari Petaling Jaya menemuinya di balai itu pada pukul 6 petang dan memberitahunya bahawa mereka mempunyai waran tangkap ke atasnya.

Ezam diminta mengikut mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk diberitahu secara rasmi sebab-sebab penahanan itu. Beliau kemudian dibawa oleh sebuah kereta ke balai itu.

Di balai berkenaan, Ezam diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan seorang penjamin, Zul Azhar Cha pada pukul 6.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II, Mangsor Ismail mengesahkan penahanan Ezam itu.

Menurut beliau, Ezam akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pukul 8.40 pagi esok di bawah Seksyen 8 (1) (i) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Jika didapati bersalah beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun atau tidak melebihi tujuh tahun.

Pada 11 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, pihak polis telah membuat satu laporan terhadap Ezam berhubung tindakannya menyebarkan dokumen-dokumen tertentu yang diklasifikasikan sebagai rahsia.

Laporan polis itu dibuat setelah Ezam menyebar dan membahagi-bahagikan dokumen itu kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Keadilan pada 6 November lalu.

Ezam sebelum ini pernah mencabar pihak berkuasa menyiasatnya setelah mengaku sengaja mendedahkan wujudnya berkotak-kotak dokumen rahsia kerajaan itu.

Beliau mendakwa dokumen-dokumen itu mengandungi dokumen Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung siasatan ke atas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Bagaimanapun, tiga hari selepas pilihan raya umum berakhir baru-baru ini, Ezam telah menafikan memiliki sebarang dokumen berkenaan.

Ketika ditemui selepas dibebaskan di Balai Dang Wangi, Ezam yang ditemani peguam yang akan mewakilinya esok, R. Sivarasa dan beberapa penyokongnya berkata, beliau akan hadir ke mahkamah esok untuk mendengar tuduhan.

Dengan penahanan itu bermakna polis setakat ini telah menahan tiga pemimpin parti pembangkang, selain dua individu lain. Selain Ezam, kesemua yang lain dituduh di bawah Akta Hasutan.

Semalam polis menahan Naib Presiden Keadilan, Marina Yusoff dan Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948 sementara pengarang organ Pas, Harakah, Zulkifli Sulong dan pemilik syarikat percetakan akhbar itu, Chea Lim Thye, pula ditahan di bawah tuduhan yang sama kerana menyiarkan artikel yang menghasut.

Kedua-duanya, Zulkifli dan Chea, hari ini mengaku tidak bersalah di mahkamah terhadap tuduhan melakukan kesalahan tersebut di bawah akta yang sama.

Zulkifli, 37, dihadapkan di mahkamah Sesyen di sini manakala Chea, 62, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Sementara Marina dan Karpal masing-masing akan dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dan Mahkamah Sesyen di sini esok.

Dalam pada itu sebelum ditahan, Ezam memberitahu pemberita yang aduan polis itu dibuat kerana mendakwa berita muka satu Utusan itu ''berniat jahat memfitnah dirinya''.

Laporan akhbar itu menyebut Ezam telah menghilangkan diri kerana waran tangkap ke atasnya telah dikeluarkan.

''Saya tidak pernah menghilangkan diri, malah semalam saya turut mengiringi Marina Yusoff menghadirkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras,'' kata beliau.

Ezam berkata, kehadirannya itu tidak dilaporkan oleh akhbar itu sedangkan nama mereka yang lain yang turut mengiringi Marina dilaporkan.

''Ini menunjukkan akhbar berkenaan mempunyai niat jahat terhadap diri saya,'' katanya.

Utusan dalam laporan itu memetik sumber seorang pegawai tinggi polis memberitahu bahawa waran tangkap terhadap Ezam telah dikeluarkan sebelum Hari Raya baru-baru ini.

Oleh: AZIAN ABD. AZIZ

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.