saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 15/01/2000

Tiga tokoh didakwa -- Karpal, Marina dan Ezam mengaku tidak bersalah


MOHAMAD Ezam, Karpal Singh dan Marina Yusoff mengaku tidak bersalah apabila masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Butterworth, semalam. Kes Ezam akan didengar pada 5 hingga 9 Jun, kes Karpal akan disebut pada 26 Februari dan Marina akan dibicarakan mulai 17 hingga 21 April ini. - Gambar-gambar MAHATHIR MOHD. ALI, ZAINI HUSIN dan ISHAK RAHMAT.


KUALA LUMPUR 14 Jan. - Tiga pemimpin pembangkang hari ini didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Mereka ialah Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh a/l Ram Singh, 59; Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Marina Yusoff, 58 dan Ketua Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor, 33.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan. Marina dan Karpal ditahan polis pada Rabu lalu atas dakwaan tersebut sementara Ezam semalam.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Karpal didakwa menyebut kata-kata berunsur hasutan dalam perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

Marina pula dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan dalam ceramahnya di Bukit Mertajam.

Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, Ezam pula didakwa membocorkan maklumat rasmi berhubung laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah.

Siasatan itu adalah terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Karpal dan Marina masing-masing didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta itu yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ezam menghadapi tuduhan di bawah mengikut Seksyen 8(1)(i) OSA (Akta 88) yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun.

Karpal, Marina dan Ezam masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM3,000, RM5,000 dan RM7,000 oleh penjamin mereka.

Kes Karpal dijadualkan disebut pada 26 Februari ini manakala perbicaraan terhadap Marina dan Ezam akan didengar pada 17 April dan 5 Jun ini.

Berdasarkan pertuduhan, Karpal yang juga salah seorang daripada barisan peguam bela Anwar didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan ketika berhujah dalam perbicaraan kes liwat pada September tahun lalu.

Tertuduh didakwa berkata: ''Mungkin seseorang mahu menghapuskannya (Anwar)...sehingga ke tahap membunuh. Saya mengesyaki mereka yang berada di peringkat tertinggi bertanggungjawab menyebabkan keadaan itu berlaku.''

Karpal yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong didakwa berbuat demikian kira-kira pukul 9.10 pagi, 10 September tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Pengadu kes ialah Mohd. Tajudin Tambi Abdul Wahid manakala laporan polis dibuat di Balai Jalan Tun H.S. Lee pada 8 Oktober tahun lalu.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil memerintahkan Karpal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin setelah menolak permohonan tertuduh supaya dia dibebaskan dengan bon peribadi.

Tertuduh tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi diiringi ahli keluarga terdekat dan penyokong-penyokongnya.

Turut hadir adalah Naib Presiden Majlis Peguam, Mah Weng Kwai yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi badan itu, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

Prosiding pendakwaan yang dijalankan di Mahkamah Sesyen 2, Jalan Raja di sini bermula pukul 10.15 pagi apabila kertas pertuduhan dikemukakan.

Karpal yang ketika itu berdiri dalam kandang tertuduh memaklumkan bahawa dia akan mengendalikan sendiri kes itu dengan bantuan empat peguam lain iaitu Christopher Fernando, dua anaknya iaitu Jagdeep Singh dan Gobind Singh Deo serta M. Manoharan.

Sejurus selepas tuduhan dibacakan, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Jagjit Singh berhujah bahawa pihak pendakwa menawarkan jaminan RM5,000.

Mohd. Zaki juga memberitahu, mereka tidak mencadangkan supaya dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Ini kerana kata beliau, pendakwa tidak meragui kesediaan Karpal menghadirkan diri pada setiap perbicaraan.

Bagaimanapun Fernando memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membebaskan tertuduh dengan bon peribadi mengikut Seksyen 387(ii) Kanun Prosedur Jenayah.

Fernando berhujah, tiada sebab Karpal akan melarikan diri kerana dia seorang pengamal undang-undang yang dihormati.

Lagipun kata peguam itu, tuduhan yang dikenakan terhadapnya dilakukan dalam prosiding perbicaraan ketika dia bertindak dalam kapasiti sebagai pegawai mahkamah.

Sementara itu, Gobind menambah, kesediaan Karpal hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang kelmarin membuktikan tertuduh akan bekerjasama setiap kali diminta hadir pada hari perbicaraan.

Dalam pada itu, Jagdeep mencelah supaya pendakwa memberi kepastian sama ada mereka bercadang untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Karpal yang bersetuju dengan permohonan Jagdeep menyampuk, penjelasan itu penting supaya pihak peguam bela mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan afidavit berkaitan.

Bagaimanapun, Mohd. Zaki menyatakan, pihaknya tidak menerima apa-apa arahan mengikut Seksyen 418A Kanun Prosedur Jenayah daripada Peguam Negara untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Pada akhir prosiding, Fernando memohon tempoh sebutan selama sebulan sebelum menetapkan tarikh perbicaraan kerana pihak pembela perlu berhujah mengenai isu undang-undang berhubung beberapa perkara.

Karpal kemudian dibebaskan pada pukul 11 pagi selepas rakan yang juga penjaminnya, Ng Shin Cheong mengemukakan RM3,000 seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Di Butterworth, Marina pula didakwa di Mahkamah Sesyen 2 kerana mengeluarkan kata-kata hasutan dalam satu ceramahnya di Moral Uplifting Society Hall, Jalan Tanah Liat, Bukit Mertajam antara pukul 9.41 malam dan 10.08 malam 29 September tahun lalu.

Dalam ceramah itu, dia didakwa berkata: ''Saya ingin mengingatkan orang-orang Melayu, Cina dan India tentang punca peristiwa 13 Mei. Penyebabnya ialah UMNO, UMNO yang mula membunuh orang-orang Cina kerana UMNO kalah di Selangor. Pembunuhan orang-orang Cina dimulakan oleh UMNO, dirancang oleh para pemimpin UMNO dan Selangor yang pada ketika itu diketuai oleh Datuk Harun.''

Hakim Zanol Rashid Hussain menetapkan perbicaraan didengar oleh Hakim Siti Maria Ahmad selama lima hari bermula 17 hingga 21 April ini di Mahkamah Sesyen 1.

Timbalan Pendakwa Raya K. Muniandy dibantu oleh Noorbahri Baharuddin kemudian menawarkan jaminan RM5,000.

Muniandy memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada jaminan diperuntukkan bagi kesalahan tersebut, tetapi mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya untuk menentukan jumlah ikat jamin ke atas tertuduh.

Hakim Zanol kemudiannya, menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Terdahulu, peguam Mohideen Abdul Kader telah memohon agar jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000.

Sebelum itu, Mohideen memohon agar tarikh perbicaraan yang dicadangkan pada bulan Mei depan dipercepatkan.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan satu permohonan sebelum perbicaraan dimulakan bagi membolehkan Marina mewakili dirinya sendiri di samping peguam belanya.

Marina kemudian diikat jamin oleh Ketua Penerangan Keadilan Negeri, Mustapha Mohd Yusoff.

Antara yang hadir di mahkamah ialah Pengerusi Keadilan Negeri, Othman Mansor; Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti, Abdul Rahman Abdul Kadir; calon Keadilan di Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal pada pilihan raya umum lalu, Abdul Ghani Haroon; Pengerusi DAP Negeri, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lancang, Law Heng Kiang.

Marina kemudiannya berucap di pekarangan bangunan mahkamah lalu disahut teriakan 'reformasi' oleh sekumpulan penyokongnya.

Di Petaling Jaya, Ezam pula dituduh sebagai orang yang memiliki maklumat rahsia rasmi yang diperoleh bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, menyampaikan kepada pemberita laporan bertajuk:

1. Siasatan Badan Pencegah Rasuah terhadap Y. B. Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Dato' Seri Rafidah Aziz (B1); dan

2. Siasatan Badan Pencegah Rasuah terhadap Y. A. B. Tan Sri Abdul Rahim bin Thamby Chik (B1), Ketua Menteri Melaka.

Bekas setiausaha sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dituduh melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 12.45 tengah hari, 6 November lalu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Nasional, No. 101 & 201, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II, No. 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara di sini.

Dia dihadapkan di hadapan Hakim Wan Afrah Wan Ibrahim, yang menetapkan supaya kesnya dibicarakan mulai 5 hingga 9 Jun ini dan membenarkan Ezam diikat jamin RM7,000.

Ketika pertuduhan dibacakan, Ezam kelihatan tenang dan semasa ditanya apakah pengakuannya, dia berkata: ''Saya tidak bersalah.''

Ezam tiba di mahkamah itu sejak pukul 7.30 pagi lagi bersama beberapa penyokong parti Keadilan dan anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah juga dilihat turut menemaninya.

Sejak pukul 7 pagi lagi, lebih kurang 30 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah mengawal keadaan sekitar mahkamah berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shamsul Sulaiman memohon tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Ezam yang diwakili empat peguam bela terdiri daripada R. Sivarasa, Hasnal Rezua, Asraf Abd. Razak dan Hamidzun Khairuddin bagaimanapun memohon supaya jumlah jaminan tersebut dikurangkan kepada RM5,000.

Dia yang diikat jamin oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Keadilan, Hanafiah Man dilihat meninggalkan pekara-ngan mahkamah lebih kurang pukul 10.30 pagi.

Ezam, peguamnya Sivarasa dan penjaminnya, Hanafiah, masing-masing juga menghadapi satu kes lain di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana dituduh terlibat dalam satu perhimpunan haram di pekarangan Masjid Negara tahun lalu.

Oleh: MOHD. SHAHAR AKASHAH, NORLIZAH ABAS dan NORAZLITA MOHD. SIES

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.