saya nak baca ..

GAYA HIDUP


ARKIB : 02/02/2000

Penulisan alaf baru kita belum mampu mentafsir

RAMAI khalayak mengetahui dan turut menyebut perkataan 'alaf baru' tanpa mengetahui makna sebenar kecuali andaian sendiri semata-mata. Setiap andaian tidak semestinya tepat.

Sebelum memperkatakan tentang penulis dan penulisan alaf baru, mari kita meneliti apa maksud sebenar perkataan alaf baru itu.

Dalam kamus yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka, 'alaf' berasal dari bahasa Arab yang bermaksud seribu. (Ruj, Kamus Dewan edisi baru 1992 halaman 22).

Dalam bahasa Inggeris pula alaf bererti one thousand (Ruj: Colllins Malay - English Dictionary First Publish 1964, hal: 22). Sementara milenium yang selalu diterjemahkan sebagai 'alaf baru' dalam media massa atau penulisan, bererti masa seribu tahun istimewa, masa seribu tahun tarikh masihi (Ruj: Malay - English Collins Dictionary 1964, hal:527).

Berdasarkan kepada makna 'milenium' mahupun 'alaf' yang tertera di atas, maka dengan sendirinya apabila kita membicarakan soal penulisan jangkauan masa yang diperkatakan amat luas dan panjang tempohnya iaitu sepanjang 1000 ke hadapan atau ramalan atau harapan untuk 10-12 keturunan lagi (jika hayat umat Melayu meningkat antara 80-100 tahun).

Bagaimana rupa penulisan atau para penulis berbahasa Melayu di Malaysia dalam masa seribu tahun akan datang? Persoalan ini memang menarik untuk difikir dan diperkatakan.

Namun, kekuatan mata hati, mata fikir dan mata logik seseorang manusia penggadai/peramal tentu saja tidak dapat menembusi jangka masa yang sebegitu jauh. Rasanya kita belum mampu meramalkan cara penulisan 20 atau 30 tahun akan datang.

Gaya penulisan karya penulis Melayu hampir setiap 10 sekali mengalami perubahan contohnya cerpen Kecelakaan Pemalas oleh Nur Ibrahim Madrasi tahun 20-an berbeza cara pengolahannya dengan cerpen Menuba Ikan karya Ishak Haji Muhammad yang dihasilkan pada 30-an.

Karya-karya 40-an dan 50-an walaupun tidak begitu ketara perubahan pada cara penyampaiannya, namun dari segi tema ternyata berjurang kerana karyawan dalam zaman itu menulis di sebalik nama samaran. Ini kerana tema penulisan yang bersifat nasionalisme dan kebangkitan menentang penjajah tidak mengizinkan mereka tampil dengan nama sebenar.

Namun, tanpa dipaksa-paksa perubahan dalam penulisan baik kreatif mahupun diskritif begitu ketara perubahan 10 tahun kemudian. Perhatikan cara Hamzah Husin, penulis 50-an menggarap cerpen-cerpen yang terkumpul dalam kumpulan Pagar Bukan Penjara (DBP 1996) sebanyak 706 buah itu. Kemudian bandingkan dengan karya cerpen hasil ciptaan penulis 60-an seperti Shahnon Ahmad, Khadijah Hashim, Rokiah Abu Bakar, Anis Sabirin dan Salmah Mohsin.

Biarpun gaya penulisan Shahnon dikatakan tidak berubah terutama pada segi pengulangan ayat, begitu juga gaya penulisan beberapa karyawan lain. Namun, kehadiran karyawan 70-an seperti Anuar Ridwan, Othman Puteh dan Fatimah Busu turut membawa warna baru ciptaan mereka.

Tahun 80-an dengan kehadiran Zaen Kasturi dan S.M Zakir melakukan perubahan yang amat ketara dari segi penyampaian/bahasa sedangkan tema terutama Zaen ternyata kembali mengangkat kisah yang dicari-gali atau diselongkar dari buku, sejarah, kitab dan manuskrip lama.

Adunan kisah lama dengan penampilan gaya bahasa/cara penyampaian terbaru menyaksikan tahun berkenaan penuh ledakan yang agak mengkelamkabutkan khalayak sastera.

Biarpun ramai mengatakan tidak faham dengan karya beberapa penulis 80-an terutama Zaen dan Zakir, namun cerpen mereka mendapat tempat yang baik di media massa.

Dalam hubungan tugas penyiaran ini dapat pula dikaji semudah mana para pengarang menerima perubahan drastik ini?

Menurut Zaen ketika membimbing bengkel penulisan cerpen Kepezi pada 1996, selama 10 tahun beliau menghantar karyanya ke tangan pengarang halaman sastera barulah cerpennya mendapat tempat siaran.

Dalam 80-an juga, khalayak sastera turut menyambut kemunculan karya-karya Azmah Nordin yang membawa perubahan dari segi bahasa, penyampaian dan penyelidikan yang kontemporari. Ini menjadikan ia suatu perubahan yang amat ketara dibandingkan dengan karya penulisan lebih awal atau sebelumnya.

Tahun 90-an, tidak banyak perubahan mendadak berlaku. Khalayak masih asyik membicarakan soal remeh-temeh mengenai penulis generasi baru yang seperti tiada kesimpulan, tiada inti dan tiada penghujung ke arah mana mereka harus pergi.

Sementara penulis yang ada terutama Zaen dan Zakir cuba menurunkan peratusan tahap kerumitan pembaca dengan menghasilkan karya yang lebih 'fleksibel' dan dapat dinikmati pembaca umum tanpa perlu pening kepala asyik menyelak kamus bagi mengetahui makna perkataan dalam karyanya.

Di samping itu, 90-an juga menyaksikan keasyikan khalayak membuat ramalan, harapan dan saranan tentang karya bagaimana yang harus mungkin muncul atau ditampilkan menjelang alaf baru/abad 21.

Sebagai manusia biasa, kita mungkin mampu melihat sejauh 10 atau 20 tahun akan datang corak bagaimana yang menjadi gelanggang silat para karyawan. Namun, untuk meramal dan mengharap melihat perubahan bagi jangka waktu 50 atau 100 tahun apatah lagi 1000 tahun akan datang rasanya 'sebagai manusia yang bersifat lemah' harapan demikian tidak mudah dicapai.

Seperti yang pernah diharapkan atau disuarakan beberapa ilmuan dan pemikir, pelbagai tugas dan bebanan diletakkan di atas bahu para penulis untuk memikul tanggungjawab besar menjelang abad 21.

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dalam syarahan Pendeta Za'abanya yang berlangsung awal Oktober 1999 menyenaraikan pelbagai saranan apa yang yang harus dihasilkan.

Menurut Dr. Zainal, pada abad ini penulis wajib peka terhadap globalisasi dan perlu membentuk penulisan tajam mempersoalkan serta mentafsir gelagat luaran serta mendedahkan niat terselindung di dunia Barat yang ingin mendominasi semua aspek kehidupan manusia.

Beliau juga menyeru agar para penulis menonjolkan manusia Melayu sebagai watak kental dan berani untuk melahirkan manusia gigih dan perkasa menghadapi cabaran dunia alaf baru pada abad ke-21.

Dalam syarahan yang relatif panjang, antara inti harapan yang disemaikan Dr. Zainal ialah agar penulis abad 21 menjadi manusia gigih, trampil, bijaksana dan berbudi mulia untuk dapat memahami dan menghadapi keangkuhan dan kemaharajalelaan dunia Barat.

Di samping itu, beliau meminta agar para penulis meneroka ke dunia luas dan lepas serta kembali menjadi pemain dan penyerta dalam dunia global.

Pandangan Dr. Zainal ini tidak sukar untuk di penuhi. Ini kerana sebahagian besar saranan itu sudah dilaksanakan penulis kita pada abad ke-20 yang baru berlalu. Menurut kajian, saranan menulis mendahului zaman atau dalam istilah penulisan disebut futuristik juga bukan suatu saranan baru. Bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Ghazali Shafei pernah menyuarakan saranan yang sama sejak 70-an lagi.

Dalam hal ini, para karyawan sebenarnya memang mampu mereka-cipta karya mengikut gambaran atau khayalan kreatifnya. Namun, apakah pembaca kita secanggih pembaca Barat yang sangup menerima jenis fiksi sebegitu rupa? Menjadi tabiat buruk khalayak kita, sedia menghargai dan mengagumi segala yang datang dari Barat namun tidak mahu menerima jika ia berjenama tempatan.

Sekiranya karya-karya futuristik mempunyai khalayak yang ramai dan menguntungkan penerbit, sudah pasti berebut menyiar dan mengadakan pertandingan.

Sayangnya, kita belum dapat membayangkan bagaimana penulis dapat melahirkan karya berbentuk cereka sains yang berat dengan istilah-istilah sains dan cerita yang tidak terjebak di bumi nyata menyebarkan hasil ciptaan mereka sedangkan karya Mawar Shafei, Faisal Tehrani dan Hizairi Othman yang masih berjejak di bumi nyata, pun ramai yang merungut tidak memahaminya.

Saya sendiri pernah beberapa kali menghasilkan cerpen berbentuk futuristik antaranya Kereta Air. Cerpen yang mengetengahkan pembangunan Sungai Klang yang membelah jantung ibu kota ini dengan parasarana baru menggunakan pengangkutan air (motorbot) bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur tahun 3002 ini hanya mendapat hadiah sagu hati dalam Hadiah Sastera Dewan Sastera/Maybank. Cerpen ini kalah kepada cerpen yang menerapkan unsur nostalgia dalam penciptaannya.

Jika cerpen futuristik yang mudah dihayati dan dapat dibayangkan di hadapan mata sukar mendapat tempat di hati panel dan menembusi minat pembaca, maka karyawan mana yang akan meneruskan khayalan mencipta karya seumpama itu?

Karyawan yang dapat bertahan lama dan hidup, memerlukan pasaran pembaca yang baik. Bagi mendapat pasaran, mereka harus melahirkan karya yang digemari ramai terutama novel yang memang bergantung sepenuhnya kepada jualan di pasaran terbuka.

Bagaimanapun, corak-rupa karya abad ke-21 sewajarnya tidak ditentukan 'mesti begitu-begini oleh sesiapa'. Kerana penulis jarang dapat mengikut telunjuk atau kehendak sesiapa kecuali desakan perasaannya sendiri dan pengarang.

Oleh: ZAHARAH NAWAWI

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.