saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/02/2000

Kota Kinabalu jadi Bandar Raya

Oleh: HARON SHAFIE
HARI ini, 2 Februari Kota Kinabalu secara rasmi diisytiharkan dinaikkan taraf sebagai bandar raya keenam sekali gus membuktikan bandar itu setanding dengan bandar raya lain di negara ini.

Kota Kinabalu yang tidak lama dulu merupakan sebuah pekan kecil yang menjadi tempat persinggahan kapal dagang kini disebabkan kedudukannya yang begitu strategik berjaya mengubah pekan kecil ini menjadi sebuah pusat pentadbiran terkenal di Sabah.

Kota Kinabalu bermula dengan penubuhan Jesselton pada abad ke-19 dengan Pulau Gaya berhampiran bandar Kota Kinabalu dijadikan pusat pentadbiran British.

Ketika itu, Pulau Gaya merupakan pelabuhan terbaik di Jesselton kerana pesisiran pantainya dilingkungi daratan penuh. Bagaimanapun, kewujudan batu karang berhampiran Pulau Gaya menyukarkan kapal berlabuh di pulau itu.

Faktor ini menyebabkan aktiviti perniagaan di situ merosot kerana kesukaran mentadbir Pulau Gaya daripada tanah. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku pemberontakan oleh Mat Salleh pada Julai 1887.

Berikutan peristiwa itu, British terpaksa mencari pusat pentadbiran baru yang lebih sesuai iaitu di Teluk Likas. Namun tempat itu juga tidak sesuai kerana kedudukannya terdedah kepada angin dan wujud batu karang di sekitarnya.

Dalam tempoh yang sama, British berminat membina landasan keretapi tetapi menghadapi kesulitan memilih kawasan yang sesuai dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi dengan kewujudan Sungai Inanam untuk melaksanakan rancangan itu.

Berdasarkan faktor itu, landasan keretapi itu dicadang dibina dari Api-Api ke Pulau Gaya dengan Api-Api di Selatan Putatan boleh dijadikan persimpangan meluaskan laluan keretapi ke Tempasok dan Kudat.

Bandar baru itu dikenali Jesselton sempena nama Naib Pengurus British North Borneo Company, Sir Charles Jessel. Menerusi penubuhan itu, bermulalah era baru kepada tempat yang sebelum ini hanya menjadi tempat persinggahan nelayan Bajau itu.

Pelbagai program pembangunan termasuk membina keretapi untuk memudahkan proses pengangkutan di situ dilaksanakan dalam usaha British menjadikan Jesselton Pusat pentadbiran dan persinggahan utama kapal dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, pada 1942 hingga 1945 mencatatkan sejarah hitam kepada Jesselton apabila Sabah jatuh ke tangan Jepun membawa kepada pengisytiharan negeri itu sebagai sebahagian 'Nippon' atau 'Jepun Agung'.

Jepun yang menawan Sabah menyebabkan negeri itu dibahagikan kepada dua residensi iaitu residensi Sandakan dan Tawau serta residensi Pantai Barat dan residensi pedalaman.

Kekejaman dilakukan penjajah Jepun itu membangkitkan kemarahan di kalangan penduduk Sabah yang akhirnya menyebabkan pemberontakan diketuai Albert Kwok menyerang gerila Jepun di Tuaran, Menggatal, Jesselton dan Kota Belud.

Serangan Jepun ke atas Jesselton yang turut dikenali nama Api-Api pada Mei 1945 menyebabkan hanya tiga bangunan yang ada di bandar itu terselamat, iaitu bangunan pejabat pos, Jabatan Kebajikan dan Menara Jam.

Dengan bantuan tentera dan pemimpin tempatan Allahyarham Mohammed Yassin dan Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun , pasukan tentera Division ke 9 Australia berjaya membebaskan Jesselton daripada Jepun pada 28 September 1945.

Selepas itu, Sabah diletakkan pada perlindungan kerajaan dan diisytiharkan sebagai jajahan British pada 15 Julai 1946. Gabenor Borneo Utara pertama ialah E.F Twininn dilantik pada 15 Februari 1947.

Sejak itu, British memulakan kerja membina semula Jesselton termasuk menaiki taraf lapangan terbang, mendirikan balai polis serta memulihkan pelabuhan pada 1952.

Apabila Jesselton ditukar nama kepada Kota Kinabalu pada 30 September 1968, ia melalui perubahan pantas termasuk menjadi pusat ekonomi dan pentadbiran yang maju selepas 32 tahun.

Kini, Kota Kinabalu terbahagi kepada Kota Kinabalu lama iaitu Jalan Pantai, Jalan Gaya, Segama, Sinsuran, Api-Api Center, Asia City, Karamunsing, Kompleks Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco) dan Bandaran Berjaya.

Ia bersesuaian kedudukannya sebagai pusat perdagangan serta pentadbiran bagi Sabah. Bandar Kota Kinabalu boleh dihubungi melalui pengangkutan darat dan udara antaranya lebuh raya Kota Kinabalu-Kudat dan lebuh raya Kota Kinabalu-Sandakan. Lebuh raya terbaru Beringis-Kota Belud dan Jalan Pantai Kota Kinabalu-Sulaman.

Selain itu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pula menjadi pintu keluar masuk utama pelawat dan pelabur menerusi hubungan terus pengangkutan udara Kuching, Miri, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.

Rangkaian perjalanan terus yang lain ialah Singapura, Brunei, Filipina, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun membabitkan lebih 10 syarikat penerbangan beroperasi.

Dari segi ekonomi, Kota Kinabalu merupakan pusat perdagangan yang semakin penting di rantau ini antaranya kewujudan lebih 40 bank dan syarikat kewangan menjalankan perniagaan di bandar itu berbanding lima bank beroperasi sejak 1963 lalu.

Dalam bidang perindustrian, kini wujud kawasan perindustrian Kota Kinabalu yang membabitkan banyak kilang seperti pemprosesan makanan, kayu, pengeluaran plastik, besi, perabot dan percetakan. Sebilangan besar kawasan perindustrian ini terletak di kawasan Inanam dan Lok Kawi.

Industri pelancongan pula turut memainkan peranan penting dan berkembang pesat di bandar yang bersejarah itu kerana kedudukannya yang strategik dengan dianugerahi keindahan alam semula jadi.

Tempat peranginan yang wujud di Kota Kinabalu ialah di Taman Tun Fuad Stephen, Bukit Padang, Taman Prince Philip Tanjung Aru, Air Terjun Kiom Som, Inanam, Taman Tunku Abdul Rahman dan Nexus Karambunai Resort.

Pusat membeli-belah juga tumbuh bagai cendawan di ibu negeri Sabah itu seperti Kompleks Karamunsing, Wisma Merdeka, Center Point, Wawasan Plaza dan Likas Square memudahkan penduduk berbelanja dalam keadaan selesa.

Dalam usaha kerajaan menampung penduduk setempat, tumpuan penuh diberikan kepada perancangan menyediakan kemudahan perumahan terutama untuk golongan berpendapatan rendah seperti rumah kos rendah.

Kewujudan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu pula merupakan kejayaan dan kebanggaan penduduk Sabah kerana pusat ilmu ini memberikan peluang anak-anak tempatan meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi.

Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) yang pernah dikenali sebagai Lembaga Bandaran Kota Kinabalu dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran pada 1 januari 1979. Kawasan pentadbiran MPKK meliputi Telipok di utara, Petagas di Selatan dan Penampang di Timur.

Selepas kenaikan taraf sebagai MPKK, Datuk Kamaruddin Linggam dilantik sebagai Presiden MPKK yang pertama. Lapan yang lain pernah menyandang jawatan yang sama ialah Datuk Bistari Jinurain, Datuk Lim Guan Yee, Datuk Monggoh Orrow, Datuk Peter D. Chong, Datuk Yee Fong Chun, Datuk Lee Thau Phin, Steven Shee dan Datuk Dayang Adline Leong.

Perlu disebut di sini, syarat utama yang melayakkan sebuah bandar dinaikkan taraf bandar raya ialah mempunyai 100,000 penduduk, hasil kutipan cukai mencapai RM20 juta setahun, mengadakan konvensyen perniagaan dan mewujudkan sebuah kompleks sukan.

Walaupun pengiktirafan itu bakal menjadi kenyataan, penduduk Sabah masih mempersoalkan kelayakan Kota Kinabalu mendapat gelaran itu kerana pelbagai permasalahan yang gagal ditangani oleh pihak berkuasa tempatan antaranya masalah kebersihan, setinggan, penjaja haram, kebanjiran pendatang tanpa izin dan kekotoran premis perniagaan yang dikatakan tidak pernah selesa sejak sekian lama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.