saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/02/2000

Muzium Padi pertama di dunia


PAPAN tanda yang menunjukkan projek Muzium Padi yang terletak berhampiran Gunung Keriang dekat bandar Alor Setar. Di kejauhan kelihatan Gunung Keriang.


Oleh: SAAD TAIB
SEBUAH muzium yang diberi nama 'Muzium Padi' sedang dalam pembinaan di Kedah. Apabila siap kelak ia menjadikan muzium padi pertama di dunia pernah didirikan.

Kos perbelanjaan membina muzium tersebut dianggarkan menelan belanja RM28 juta.

Pembinaannya adalah atas inisiatif dan kesedaran Kerajaan Kedah yang dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia bertujuan menyimpan segala peralatan menuai padi dan berjenis-jenis spesies padi yang terdapat di dunia.

Syarikat Ekran Berhad menjadi pihak swasta yang menggabung sumber tenaga dan kewangan bagi menjayakan projek ini. Ia terletak di Gunung Keriang, 12 kilometer ke barat Alor Setar, dijangka siap April ini.

Ia disifatkan sebagai sebuah projek unik menempatkan pelbagai peralatan berkaitan dengan industri penanaman padi sejak zaman berzaman lagi.

Menurut Menteri Besar, Datuk Syed Razak Syed Zain, kerja-kerja pembinaannya berjalan dengan lancar, sehingga kini kemajuannya mencapai lebih 80 peratus untuk disiapkan dalam masa kira-kira tiga bulan sahaja lagi. Terdapat 50 orang tenaga dari Korea Selatan diberi tanggungjawab menggunakan kepakaran masing-masing bagi menjayakan pembinaan muzium berkenaan dilengkapi banyak peralatan pertanian padi yang digunakan oleh pesawah sejak dahulu.

Dari aspek sejarah, Gunung Keriang memang tempat yang sesuai bagi pembinaan muzium berkenaan. Kerana sejak dahulu lagi, pada puncak gunung itu telah dijadikan sebagai panduan kepada pelayar-pelayar daripada Myanmar, India dan beberapa negara Arab dan Afrika yang datang ke negeri itu, begitu juga penerbangan sentiasa melihat gunung itu untuk mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Halim, di Kepala Batas.

Generasi muda kini mungkin sudah begitu asing untuk mengenali alat-alat membajak tanah dan membersihkan sawah seperti penggunaan kerbau, tenggala, sisir, kuku kambing, tajak, pisau mengerat, ketam, tudung kepala daripada mengkuang, tong dan layar serta alat pengangkutan yang disebut ''anok''.

Syed Razak yakin muzium padi ini yang boleh disifatkan sebagai satu-satunya diwujudkan di dunia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Tahun lalu, pembinaannya ditangguhkan, berikutan kemelut yang menyerang ekonomi negara menyebabkan pembinaannya tergendala.

Menurut Syed Razak, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Kedah bertujuan mengekalkan kedudukan negeri ini sebagai 'Jelapang Padi' negara supaya dapat diabadikan sebagai imej sejarah untuk ditonton oleh generasi masa kini dan akan datang.

Menerusi projek ini, ia dapat mengekalkan sejarah peradaban bangsa yang terpamer sebagai bangsa petani begitu gigih berbakti kepada negara semata-mata untuk menghasilkan makanan secukupnya dari masa ke masa hingga masa kini.

''Pembinaan muzium ini begitu pesat dilaksanakan, di samping pelbagai kemudahan lain disediakan supaya segala warisan nenek moyang tidak luput begitu sahaja, malah diusaha untuk mengekalkan keperluan yang ada'' tambahnya.

Keperluan peralatan itu sebagai mengingati pengorbanan dan kegigihan generasi terdahulu sebagai sejarah bangsa dalam mengeluarkan makanan kepada negara secara berterusan hingga kepada masa akan datang,'' jelas beliau.

Kedudukan muzium di tengah-tengah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kata Syed Razak dapat memberi gambaran terhadap alam sekitarnya yang dikelilingi oleh kawasan persawahan yang berkeluasan hampir 100,000 hektar sebagai sebuah pemandangan menarik.

Jumlah kawasan persawahan itu termasuk di luar kawasan MADA yang kebanyakannya diusahakan dua musim dalam setahun, terutama di pinggir kampung, tetapi bekalan air mencukupi hingga dapat diusahakan dua musim.

Kata Syed Razak amatlah wajar sebuah muzium seumpama itu menjadi realiti untuk disaksikan oleh para penduduk tempatan. Begitu juga di kalangan para pelancong dari dalam dan luar negara, tentang betapa kerajaan Kedah mengenang jasa dan pengorbanan petani-petani yang terdahulu menabur keringat mereka untuk seluruh rakyat di negara ini.

Kunjungan pelancong-pelancong ke Kedah kelak dapat memberi tumpuan di kawasan-kawasan tarikan lain seperti Gunung Jerai, Tasek Pedu dan Langkawi, di samping berehat, selain Muzium Padi yang akan siap nanti dengan menyediakan kemudahan penginapan untuk menyaksikan beberapa pengisian yang membolehkan mereka tinggal lebih lama.

Tokoh sejarah Kedah 1999, Wan Shamsudin Mohd Yusof, berpendapat usaha kerajaan negeri membina muzium itu dialu-alukan, kerana ia memberi manfaat yang banyak kepada generasi sekarang dan akan datang mengenali warisan sejarah, dan betapa kegigihan generasi dahulu menjadi peneroka sawah dengan tenaga sendiri.

Katanya, pewujudan muzium seumpama itu memperlihatkan komitmen kerajaan begitu bersungguh-sungguh terhadap mengekalkan warisan negeri ini sebagai dataran persawahan yang diliputi oleh penanaman padi melalui beberapa proses yang banyak menggunakan tenaga pesawah sendiri di peringkat awal.

Usaha menanam padi tetap diteruskan oleh kalangan petani sebagai pekerjaan tradisi mereka, hingga kemasukan teknologi moden dalam bidang pertanian, seperti jentera pembajak/tuai dan pengangkutan. Kini masa bersawah didapati jauh lebih maju ke hadapan, tetapi masih dapat diikuti oleh petani.

''Dalam usaha mengisi muzium itu kelak, banyak lagi alat kelengkapan perlu dicari, walaupun pihak kerajaan terpaksa berurusan dengan negara-negara luar seperti Korea, Jepun, indonesia, Thailand dan lain-lain bagi mendapatkan segala keperluan itu supaya ia menjadi realiti sebuah muzium sebenar untuk dihayati dan dinilai oleh para pengunjung,'' jelasnya lagi.

Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK), Abdul Rahman Ahmad, pula menyifatkan pembinaan muzium berkenaan sebagai usaha yang patut dilihat dari perspektif sejarah Kedah yang begitu awal mengusahakan sawah, dan kini mencapai kemajuan pesat untuk melihat kepada kejayaan pelaksanaannya.

Apabila siap dan dibuka kelak seluruh rakyat, termasuk kalangan pesawah harus berbangga bahawa kewujudan muzium itu sebagai mercu tanda betapa keagungan sejarah Kedah mempamerkan jati diri pesawat dan keunikan alat-alat persawahan sejak dahulu diabadikan oleh kerajaan yang melihat kepentingannya.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Sik menambah, pembinaan muzium seumpama itu merupakan usaha yang berkesan dalam mengekalkan warisan sejarah peradaban bangsa untuk diperlihatkan oleh generasi yang semacam kehilangan peralatan tradisi yang pernah dimiliki dan diusahakan oleh nenek moyang mereka.

Di kalangan petani yang berterusan melibatkan diri di dalam industri pertanian juga mengalu-alukan pembinaan muzium seumpama itu untuk manfaat seluruh pesawah-pesawah sebagai satu memori yang cukup manis lagi berkekalan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.