saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/03/2000

Jalan penyelesaian JPN -- Hukum syarak tetap dipatuhi dalam penamaan anak angkat

Dalam satu interviu dengan wartawan BAHAROM MAHUSIN di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini, beliau meluangkan masa lebih sejam untuk menjelaskan isu penggabungan nama anak angkat Islam dengan nama bapa angkat mereka.

"Saya berharap saya akan difahami. Saya memberi jaminan bahawa kita akan mematuhi hukum syarak.

"Anak angkat Islam tetap anak angkat. JPN tidak akan ubah fakta itu dalam sijil kelahiran asal mana-mana orang Islam yang diambil sebagai anak angkat,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta supaya tindakan JPN tersebut difahami. Ia adalah jalan keluar kepada satu isu kemasyarakatan yang kompleks dan emosional.

Mingguan: Apa sebenarnya berlaku hingga timbul polemik berhubung prosedur penamaan anak angkat di kalangan orang Islam?

AZIZAN: Pada hari Khamis 2 Mac, Jabatan Pendaftaran Negara mengumumkan ia memberi sedikit kelonggaran dalam proses pendaftaran anak angkat. Nama anak angkat Islam kini boleh digabungkan dengan nama bapa angkat.

Langkah ini dilaksanakan untuk mengelakkan anak angkat dibin atau dibintikan dengan bapa angkat. Kita hanya membenarkan nama anak angkat digabungkan dengan nama bapa angkat, tetapi antara kedua-dua nama itu dilarang diletakkan bin atau binti.

Dengan kelonggaran ini, kita cuba mencegah anak angkat daripada dibin atau dibintikan dengan nama bapa angkat.

Itulah yang dikatakan pada 2 Mac. Tetapi tidak ada orang datang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan penjelasan terperinci bagaimana cadangan ini dilaksanakan.

Pada pandangan saya, ini berlaku kerana kekeliruan pemahaman orang ramai terhadap cadangan JPN itu. Inilah yang menyebabkan timbul polemik.

Selepas polemik timbul, apabila cadangan ini diperjelaskan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jakim tidak nampak ada masalah yang begitu serius.

Di pihak Jakim, mereka bersetuju supaya cadangan JPN dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah. Jakim berpendapat cadangan kita mempunyai justifikasi untuk dibincangkan oleh jawatankuasa tersebut.

Kenapa JPN memperkenalkan dasar baru penamaan anak angkat?

AZIZAN: Ada dua masalah besar dalam urusan pengambilan anak angkat yang JPN hadapi. Salah satu masalahnya ialah ada orang ramai mengambil anak angkat melalui jalan mudah dengan memasukkan nama anak angkat dalam sijil lahir. Jika mengikut undang-undang, anak angkat itu menjadi seolah-olah anak kandung.

Jadi kalau orang tidak tahu bahawa anak itu adalah anak angkat, berdasarkan dokumen itu kanak-kanak itu sudah menjadi anak kandung. Bapa angkat itu telah menjadi seolah-olah bapa kandung manakala ibunya itu yang bukan emak sebenar sudah menjadi emak kandung.

Tindakan ini adalah bahaya. Bahaya dari segi hukum syarak, dan bahaya dari segi undang-undang. Mengikut undang-undang, anak angkat tidak boleh dibin dan dibintikan dengan bapa angkat, tetapi ia banyak dibuat pada masa-masa yang lalu.

Sekarang agak sukar untuk dibuat. Dulu ada orang bagi maklumat palsu kepada JPN dan kita mendaftar anak itu berdasarkan maklumat palsu tersebut seolah-olah dia adalah anak sebenar kepada keluarga angkat.

Dalam tempoh dua bulan yang lalu, kita sebenarnya tidak tahu berapa banyak orang telah buat kerja macam ini. Dalam rekod kita, fakta seolah-olah macam betul, tetapi dua bulan yang lalu saya mendapati wujud empat kes di mana keluarga angkat menggunakan nama bapa dalam menamakan anak-anak mereka.

Kanak-kanak yang terlibat dalam keempat-empat kes itu telahpun dewasa. Tiga orang daripadanya berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun. Seorang lagi telah berusia 35 tahun.

Bila kita ketahui fakta bahawa mereka adalah anak angkat, kita terpaksa betulkan rekod sebenar. Kita pinda sijil lahir orang itu. Nama bapa angkat dalam sijil lahir dibatal dan digantikan dengan nama keluarga sebenar.

Dalam proses pembetulan itu, masalah yang timbul ialah peristiwa kelahiran itu telah berlaku lama. Kita hendak cari butir bapa sebenar kanak-kanak ini adalah payah. Bapa angkat sukar mencari bukti siapakah bapa sebenar anak angkatnya sebab ia telah berlaku 20 atau 30 tahun dahulu.

Bila butiran tidak dapat dipastikan, susah untuk JPN meluluskan pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak itu. Apabila seseorang kanak-kanak tidak diketahui emak dan bapanya, kita juga tidak dapat menentukan status kanak-kanak ini sama ada dia warganegara atau bukan warganegara, sama ada emak dia orang Melayu atau Cina atau Siam dan sebagainya.

Dalam empat kes yang saya sebut, ada anak orang Melayu dibela oleh orang Cina, ada orang Cina diambil oleh orang Cina sendiri, anak orang India diambil oleh Cina dan keempat orang Melayu dipelihara oleh orang India. Butiran anak-anak angkat itu menunjukkan mereka dinamakan sebagai anak kandung keluarga angkat tadi.

Inilah yang menimbulkan masalah. Apabila ia disedari selepas 18 tahun, urusan pendaftaran anak angkat sudah tidak boleh dibuat. Pengangkatan hanya boleh dilakukan bagi kanak-kanak yang berumur kurang daripada 18 tahun.

Bagaimana kes-kes ini boleh dikesan?

AZIZAN: Mereka datang memohon untuk membuat kad pengenalan. Pegawai-pegawai saya mengesan orang ini bapanya Cina, tetapi anaknya India. Orang Melayu tadi pula keturunan tidak sama dengan bapanya yang merupakan seorang India. Jadi kita siasat.

Bila kita siasat, bapa angkat ini mengaku bahawa anak itu bukan anak kandung dia. Anak itu diserahkan oleh orang lain kepada mereka.

Mereka mengaku butiran dalam sijil lahir adalah palsu. Bila mereka mengaku, kita terpaksa betulkan sijil lahir.

Empat kes yang Datuk sebut itu: Adakah itu sahaja kesnya atau masalah ini sebenarnya lebih besar?

AZIZAN: Lebih besar. Sebesar mana, saya tidak tahu. Itu yang kita kesan dalam tempoh dua bulan ini. Kita tidak tahu jumlah sebenar. Kalau orang tidak datang berurusan dengan kita, kita tidak tahu.

Itulah sebab ada di antara anak angkat ini tidak ada kad pengenalan. Mereka tidak berani buat.

Bolehkah kita simpulkan bahawa kes-kes ini berlaku kerana penipuan dibuat di peringkat pendaftaran anak-anak yang baru lahir atau ia sebenarnya terjadi kerana kesilapan JPN?

AZIZAN: Saya rasa lebih kepada penipuan. Maknanya semasa pendaftaran kelahiran anak, pemaklum memberi maklumat yang salah. Dahulu kita memang menerima apa yang dinyatakan oleh pemaklum. Dua puluh tahun lalu memang biasa kita menerima laporan-laporan ini sebagai benar. Sekarang tidak boleh lagi. Sekarang mana-mana pasangan perlu menunjukkan bukti-bukti yang sahih sebelum kita mengeluarkan sijil kelahiran anak.

Setelah JPN mengesan keempat-empat kes itu, bagaimana idea untuk memperkenalkan prosedur baru boleh muncul?

AZIZAN: Elok saya jelaskan. Tadi saya menceritakan masalah yang pertama. Masalah yang kedua ialah orang tidak mendaftar anak angkat. Maknanya orang mengambil anak angkat tetapi mereka tidak mendaftarkannya. Kadang-kadang mereka ambil anak yang diserah oleh orang kepada mereka, kadang-kadang mereka ambil daripada keluarga miskin, mereka pelihara.

Biasanya kita dapat cerita, ada sebuah keluarga datang serah anak: "Ini anak saya, saya susah, boleh tolong jaga, dan esok saya datang bawa dokumen.'' Kadang-kadang orang yang menyerahkan anak itu balik terus tak datang. Anak diterima tanpa sebarang dokumen.

Keluarga angkat selalunya terlalu suka bila ada orang nak bagi anak angkat. Mereka pergi ambil, dan kadang-kadang mereka pelihara tanpa minta apa-apa dokumen berkaitan anak tersebut.

Dokumen yang penting ialah sijil lahir. Kalau dia baru lahir, kita kena tahu di mana dia lahir, bila lahir, siapa emak dia dan siapa bapa dia. Sekarang bila dia ambil anak itu, dia tidak tanya dokumen-dokumen berkenaan, lepas ambil dia terus blah. Dia ingat itu sahaja prosesnya. Hendak ambil anak angkat ini ada proses dan prosedur. Tanpa butiran seperti sijil kelahiran, ibu bapa angkat tidak dapat mendaftar pengangkatan kanak-kanak itu.

Ada orang memelihara anak keluarga mereka, misalnya anak saudara dan sepupu kerana ibu bapa kanak-kanak itu telah meninggal dunia. Dia pelihara begitu sahaja dan tidak mendaftarkan anak angkat. Ada juga orang yang ambil anak-anak orang Indonesia tanpa mendaftar. Dia pun tidak ambil tahu sedangkan emak bapa orang Indonesia itu telah balik ke Indonesia.

Ini bahaya. Bahayanya begini. Yang pertama, budak itu tidak ada apa-apa dokumen. Jika dia tidak ada sijil lahir, dia tidak boleh buat daftar anak angkat. Untuk daftar anak angkat mesti ada sijil lahir. Tanpa sijil lahir, sampai bila-bila pun mereka tidak boleh jadikan budak tadi anak angkat.

Bila sudah daftar kelahiran, baru boleh daftar anak angkat, dan lepas tu baru boleh buat kad pengenalan. Tidak ada yang pertama, proses seterusnya tidak boleh dilakukan.

Adakah mereka yang tidak didaftar kelahiran ini bukan warganegara Malaysia? Apa status mereka?

AZIZAN: Status mereka tidak diketahui. Ini yang jadi masalah.

Berapa ramai kumpulan yang tidak ada sijil kelahiran di Malaysia sekarang?

AZIZAN: Kita tidak tahu berapa bilangan mereka dalam masyarakat. Kalau mereka tidak datang kepada kita membuat permohonan, kita tidak tahu berapa jumlah mereka.

Pada pandangan saya, bilangan mereka ramai. Saya agak dalam 500 keluarga, sekurang-kurangnya ada satu kes. Saya pergi rata-rata, ada saja orang pelihara anak orang tetapi tidak mendaftarnya sebagai anak angkat. Apabila mereka tidak mendaftar, satu mereka mengalami kesusahan untuk memiliki dokumen-dokumen pengenalan diri yang saya katakan tadi.

Yang kedua, inilah yang menyebabkan kemungkinan berlaku perkahwinan dengan adik-beradik sendiri walaupun di Malaysia untuk perkara ini berlaku agak susah sikit.

Ketiadaan dokumen menimbulkan kerumitan besar bagi anak-anak ini. Bila tidak ada dokumen, mereka susah untuk pergi ke sekolah, tidak dapat mengambil peperiksaan, sukar untuk memohon pekerjaan dan sebagainya.

Apa yang kita lakukan di JPN sekarang melalui prosedur baru yang kita perkenalkan ialah kita mahu menyelesaikan masalah orang yang mendaftar anak angkat sebagai anak kandung dengan bubuh bin dan binti. Yang kedua kita ingin menyelesaikan masalah orang yang tidak mendaftarkan anak angkat.

Bagi kumpulan pertama tadi kita minta mereka datang ke JPN dan betulkan butiran itu. Mereka tidak boleh binkan anak kepada bapa angkat dalam sijil kelahiran kerana ini bertentangan dengan hukum syarak.

Kita menggalakkan orang ramai daftar anak angkat. Apabila mereka datang untuk daftarkan anak angkat, mereka hendak bubuh nama Azmi bin Azizan tidak boleh, tetapi jika mereka hendak juga, anak angkat mereka boleh dikenali sebagai Azmi Azizan tanpa perkataan bin atau binti.

Mengapa penggunaan nama Azmi Azizan tanpa bin atau binti dibenarkan?

AZIZAN: Jawatankuasa Muzakarah melalui Jakim telah mengarahkan JPN bahawa anak angkat Islam tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa angkat mereka. Mereka hendaklah menggunakan perkataan maula dan maulat. Maula bagi anak lelaki dan maulat bagi anak perempuan.

Arahan ini telah diberikan kepada kita sejak 1990 dan inilah yang telah JPN lakukan. Jadi bila orang datang nak daftar anak angkat, kita daftar anak itu sebagai maula dan maulat, misalnya Azmi maula Azizan atau Habibah maulat Azizan.

Malangnya, perkataan maula dan maulat ini tidak dapat diterima oleh masyarakat kita. Ia tidak biasa digunakan dalam masyarakat kita dan menimbulkan kesan negatif terutama kepada kanak-kanak.

Bila mereka pergi ke sekolah, sekolah akan daftarkan nama budak itu sebagai Suffian maula Idris atau Fatimah maulat Ali.

Bila dipanggil Suffian maula Idris atau Fatimah maulat Ali, budak-budak itu sendiri hairan. Semua orang guna bin dan binti, mengapa dia guna maula dan maulat. Dia balik tanya emak dan bapa angkatnya; emak bapa angkat susah hendak terangkan. Ini menimbulkan serba salah kepada keluarga angkat, bagaimana hendak terangkan.

Yang lebih susah ialah mereka diejek. Mereka diejek oleh kawan-kawan di sekolah terutama kanak-kanak perempuan yang gunakan maulat. Kawan-kawan mereka panggil mereka anak ulat anak ulat. Terdapat kanak-kanak yang tidak mahu pergi ke sekolah kerana diejek.

Ada satu kes yang datang kepada saya, umur kanak-kanak ini 12 tahun. Dia hendak masuk ke sekolah menengah. Bapa angkatnya datang ke rumah saya merayu: "Tolonglah Datuk, keluarkan maulat ini. Anak saya tidak mahu pergi sekolah kerana nama begini.''

Apakah yang saya boleh buat? Saya keluarkan maulat itu, tinggalkan nama Fatimah Ali sebab dia sudah pakai nama itu selama 12 tahun. Kita kena pakai nama itu kerana itulah identitinya sejak 12 tahun lalu.

Kita tidak letakkan binti kerana ia salah dari segi syarak. Kita juga tidak letakkan maulat kerana panggilan itu tidak diterima oleh kanak-kanak, keluarga dan masyarakat.

Soal identiti dan hubungan kekeluargaan adalah satu soal sensitif dan emosional. Empat kes yang Datuk terima pada peringkat awal di mana mereka kena ubah balik butiran dalam dokumen asal, bila arahan itu dibuat, apakah penerimaan ibu bapa angkat?

AZIZAN: Saya fikir mereka suka. Kalau boleh dikeluarkan maula dan maulat tu, mereka suka.

Yang memberi masalah kepada orang ramai ialah bagaimana hendak memberitahu anak angkat bahawa mereka adalah anak angkat.

Umumnya kita berpendapat bagi kanak-kanak yang meningkat dewasa misalnya 15 tahun ke atas, kita rasa kebanyakan mereka boleh terima kenyataan bahawa mereka adalah anak angkat, dan pada usia itu ibu bapa angkat sudah mula hendak bagi tahu kedudukan sebenar.

Bagi kanak-kanak yang terlalu muda, keluarga angkat biasanya tidak mahu kanak-kanak itu tahu bahawa mereka adalah anak angkat. Lebih-lebih lagi jika anak angkat itu adalah tambahan atau keluarga itu telah ada anak lain. Mereka tidak mahu anak angkat merasa terasing daripada anak-anak yang lain.

Sekiranya saya ambil anak angkat ketika saya ada dua lagi anak, katakan nama Aman bin Azizan ataupun Azizah binti Azizan dan kemudian kalau saya ambil seorang lagi anak angkat katakan anak perempuan bernama Faridah, saya tidak mahu nama Faridah disebut sebagai Faridah maula Azizan. Sebab ini janggal.

Jadi saya selalunya minta diletakkan nama Faridah Azizan sahaja. Jadi tidak nampak kejanggalan sangat di antara keluarga itu. Yang penting dia tahu dia anak angkat. Tanpa maula atau maulat, dengan menggunakan Faridah Azizan tanpa bin atau binti, dia tahu dia anak angkat. Itulah maksudnya.

Apabila jabatan Datuk memperkenalkan prosedur baru penamaan anak angkat, adakah Datuk menjangka ia akan mendapat reaksi hangat di luar?

AZIZAN: Saya memang merasakan tetapi saya tidaklah menjangka ia menjadi begitu serius.

Langkah yang kita buat adalah selaras dengan dasar yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Muzakarah 10 tahun lalu. Saya tidak membenarkan pendaftaran anak angkat dibin atau dibintikan dengan bapa angkat.

Ini tujuan pertama saya iaitu hendak melaksanakan secara 100 peratus larangan penggunaan bin atau binti bagi penamaan anak angkat.

Saya faham keputusan Jawatankuasa Muzakarah berhubung penggunaan maula dan maulat tetapi maula dan maulat tidak dapat diterima oleh masyarakat kita. Apabila maula dan maulat tidak diterima oleh masyarakat, apakah pilihan yang saya ada.

Penggunaan maula dan maulat menyebabkan orang ramai tidak mahu mendaftar anak angkat mereka dan akan mencari jalan untuk menipu pendaftaran anak.

Prosedur baru yang saya perkenalkan ini adalah pilihan saya untuk mengatasi masalah itu.

Saya fikir jabatan Datuk kini berada dalam dilema iaitu seboleh-boleh JPN ingin mengikut nasihat pihak berkuasa agama tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan orang ramai yang tidak mahu menerima apa yang dicadangkan oleh establishment agama. Jadi Datuk memilih jalan tengah?

AZIZAN: Tidak, saya tidak cari jalan tengah. Saya cari jalan keluar dengan mematuhi hukum syarak, undang-undang pendaftaran dan pada masa yang sama menjaga perasaan orang ramai.

Adakah Datuk fikir dengan memilih jalan keluar itu jabatan Datuk akan lebih popular.

AZIZAN: Tidak, tidak. Itu bukan tujuan saya. Tujuan kita ialah untuk menggalakkan pendaftaran anak angkat, dan supaya butiran yang silap dibetulkan.

Kalau kita tidak buat macam ini, orang yang memaklumkan butiran yang salah itu tadi tidak akan mahu betulkan apa yang silap.

Itulah kesannya. Kalau dia datang nak bubuh maulat orang tak terima, nak bubuh bin tak boleh, jadi apakah pilihan dia. Itulah kadang-kadang orang tidak daftar anak angkat.

Di Johor bulan lepas ada dua kes. Anak angkat sudah umur 9 tahun. Waktu masuk sekolah, cikgu terima tapi bila masuk darjah tiga, cikgu tidak benarkan kanak-kanak itu mengambil peperiksaan penilaian tahap satu sebab tidak ada dokumen anak angkat.

Satu lagi kes ialah sebuah keluarga yang mengambil anak angkat daripada rakyat Indonesia. Umur kanak-kanak itu sudah dekat 10 tahun tetapi masih belum bersekolah kerana tiada pendaftaran anak angkat. Kesian budak itu, sampai sekarang dia hanya duduk di rumah sahaja.

Bila Datuk akan memulakan peraturan baru ini?

AZIZAN: Kita mulakan secara sementara dulu. Kalau diterima oleh orang ramai kita mulakan sepenuhnya tahun ini.

Apa perasaan Datuk apabila menyaksikan reaksi keras establishment agama terhadap apa yang Datuk cuba lakukan di JPN?

AZIZAN: Saya rasa hampa kerana orang ramai yang mengkritik itu tidak mendapat fakta sebenar. Sepatutnya saya diberi peluang menjelaskan apa yang ingin saya lakukan iaitu memenuhi tuntutan syarak, keperluan undang-undang negara dan perasaan orang ramai.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.