saya nak baca ..

GAYA HIDUP


ARKIB : 19/03/2000

Keajaiban hutan tropika Malaysia


Melihat keindahan alam semula jadi dengan menaiki bot meredah sungai memang menyeronokkan apabila menyusuri di tepi-tepi pohon yang rendah dan rendang.


Terletak di Banjaran Titiwangsa, meliputi sebahagian Daerah Lipis dan Jerantut di Pahang, taman yang amat luas itu menyimpan pelbagai rahsia alam untuk dihayati oleh para pengunjungnya yang mencintai kejadian alam.

Ia menarik perhatian sesiapa sahaja termasuklah yang terbaru, Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mengunjungi taman itu baru-baru ini.

Ketika diajukan soalan mengenai kunjungannya, menteri dari Kedah itu secara berseloroh berkata: "Saya ni orang ulu... saya suka tempat-tempat macam ini.''

Pada sidang akhbar keesokan harinya Abdul Kadir yang sebelum ini tidak pernah mengunjungi taman itu melahirkan rasa 'kesalnya' kerana tidak dapat berada di Taman Negara selama tiga atau empat hari.

"Saya merasa kesal kerana tidak melawat tempat ini sejak dahulu lagi kerana tempat ini begitu indah, apatah lagi produk pelancongan yang ditawarkan di sini bertaraf antarabangsa,'' ujarnya.

Sesungguhnya Taman Negara amat bertuah apabila dikunjungi oleh Abdul Kadir yang kini dalam rangka meninjau produk pelancongan di seluruh negara.

Sebenarnya Taman Negara menanti para pengunjung menikmati keheningan dan keunikan tumbuh-tumbuhan liar, hidupan liar, burung, serangga, sungai yang indah dan sebagainya.

Hutan semula jadi itu menghasilkan tidak kurang 10 produk pelancongan semula jadi yang tidak akan dapat dinikmati di tempat lain di negara ini secara serentak.

Ia boleh dinikmati dalam suasana nyaman, tenang, menyeronokkan serta boleh melepaskan segala bebanan kerja yang ditanggung sejak bertahun-tahun.

Yang menariknya produk-produk pelancongan di Taman Negara tidak mahu para pengunjung sekadar menikmati keindahannya.

Lebih daripada itu ia memaksa pengunjung melakukan pelbagai aktiviti untuk menikmatinya.

Keindahan Taman Negara akan mula dinikmati sebaik sahaja para pengunjung menaiki bot dari jeti Kuala Tembeling di Jerantut menyusuri Sungai Tembeling ke Kuala Tahan yang memakan masa tidak kurang dua jam.

Sepanjang perjalanan dengan bot laju dengan tambang yang dikenakan RM19 seorang, para pengunjung akan menyusuri Sungai Tembeling sambil menikmati sebahagian daripada lebih 10,000 spesies flora yang amat menakjubkan.

Mungkin agak keterlaluan jika dikatakan bahawa Taman Negara adalah sebuah syurga hutan yang sangat cantik. Bayangkanlah, di tengah-tengah hutan yang sunyi dan sepi itu anda akan menyaksikan kehidupan manusia yang mencintai alam setibanya di Kuala Tahan.

Kuala Tahan merupakan 'pelabuhan' kecil yang sentiasa sibuk menerima kedatangan pelancong dalam dan luar negara serta para pekerja Taman Negara Resort yang ramah melayan para pengunjung sepanjang masa.

Terdapat 117 buah calet dengan pelbagai jenis bilik ditawarkan oleh Taman Negara Resort untuk para pengunjung.

Jika bernasib baik menginap di sini, pada sebelah malam, para pengunjung dapat melihat sendiri landak, babi hutan dan rusa berkeliaran di sekitar calet.

Tetapi para pengunjung dilarang tidur di anjung calet kerana dikhuatiri ular yang bahagia hidup di kawasan sedemikian akan merayap di atas badan anda.

Selain itu beribu-ribu spesies serangga, burung dan binatang liar di Taman Negara mengundang para pengunjung melakukan aktiviti berjalan malam.

Para pengunjung juga boleh melihat binatang liar seperti rusa datang ke Bumbun Tahan untuk mendapatkan bekalan garam pada waktu malam.

Di sinilah juga manusia dapat mempelajari bagaimana binatang liar, serangga dan burung menguasai alam melalui bunyi-bunyi serta sifat-sifat semula jadinya menyamar di sebalik pokok.

Aktiviti berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 400 meter dengan ketinggian 30 meter sebenarnya akan mengajar manusia supaya bersikap berani apabila membuat sesuatu keputusan - kerana anda akan malu untuk berpatah balik apabila sudah berada di tengah jambatan.

Anda terpaksa meneruskan perjalanan yang menyeksakan dan sebagai gambaran, cuba bayangkan anda berada di atas pokok setinggi 30 meter dan di bawah anda terdapat gaung dan sungai. Gayat.

Selain itu terdapat beberapa buah gua di Taman Negara antaranya Gua Telinga, Gua Kepayang dan Guan Daun Mentari untuk para pengunjung menikmati hidupan di dalamnya.

Dalam pada itu aktiviti meredah jeram di Sungai Tembeling dan Sungai Tahan akan membolehkan para pengunjung secara tidak langsung melihat sendiri kehidupan suku kaum Batek di Kampung Yong yang bangga dengan kehidupan tradisi mereka.

Taman Negara juga menawarkan Gunung Tahan yang terbuka untuk sesiapa mendakinya, Bukit Teresek yang indah, Lata Berkoh yang menawan untuk dijadikan tempat berkelah, memancing serta berfikir tentang kejadian alam.

Walaupun banyak produk pelancongan menarik di Taman Negara, hasilnya belum dapat dimaksimumkan kerana ia hanya menjadi tumpuan pelancong asing.

Hal ini turut ditegur oleh Abdul Kadir dalam lawatannya itu.

Menurutnya, Taman Negara Resort terlalu memberi tumpuan promosi kepada pelancong asing.

"Saya fikir pakej yang sesuai perlu diberi kepada pelancong tempatan kerana impak ekonomi dan kewangan yang diberikan oleh pelancong tempatan tidak kurang hebatnya berbanding pelancong asing,'' katanya.

Satu renungan kepada Kerajaan Pahang dan Pusat, bagi orang luar yang buat kali pertama datang ke Taman Negara yang menakjubkan itu, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa jalan yang menghubungkan Jerantut ke Kuala Tahan sejauh 60 kilometer itu terlalu teruk.

Demi nama baik Malaysia dan Taman Negara yang disayangi itu, semua pihak baik kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat perlu mengetepikan apa juga masalah dan perbezaan, ambillah jalan tengah untuk memperbaiki jalan berkenaan seberapa segera.

Walaupun kerja-kerja memperbaiki jalan berkenaan yang kini hanya boleh dilalui oleh kenderaan empat roda sedang dijalankan, prosesnya teramat lambat sehingga kemajuannya tidak seiring dengan perkembangan pesat Taman Negara.

Sebenarnya Pahang adalah sebuah negeri yang kaya dengan destinasi pelancongan yang tidak ada di negeri-negeri lain - baik tasik, sungai, pantainya yang panjang dan dijaga bersih, Banjaran Titiwangsa, hutan rimba dan lain-lain lagi. Itulah Pahang.

Lebih mudah ke Taman Negara melalui Kuala Tembeling di Jerantut dengan menaiki bot yang memakan masa tidak kurang dua jam untuk sampai ke Kuala Tahan.

Bot laju hanya mengambil masa 45 minit dan kemudahan ini disediakan oleh Taman Negara Resort.

Anda dinasihatkan tidak menggunakan jalan darat melainkan mempunyai kenderaan pacuan empat roda.

Meniti jambatan gantung, berjalan malam, melihat binatang di beberapa bumbun, meredam jeram, memancing, memanjat gunung, meneroka gua dan lain-lain.

Hubungi Taman Negara Resort, Kuala Tahan di Jerantut 09-2662200, 2663500 atau 2661500.

Taman Negara Resort juga mempunyai pejabat di Lot 6, Tingkat Dua, Hotel Istana, 73, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Maklumat juga boleh diperoleh daripada Ibu Pejabat Lembaga Penggalakan Pelancong Malaysia di Kuala Lumpur dengan menelefon 03-2935188.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.