saya nak baca ..

GAYA HIDUP


ARKIB : 06/04/2000

Pusat Selam tingkatkan tahap profesionalisme penyelam


SHAFIE bergambar bersama para penyelam TLDM di Lumut baru-baru ini.


Tidak ramai di kalangan masyarakat negara ini mengetahui wujudnya Pusat Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sentiasa melatih para penyelam TLDM dan agensi kerajaan bagi melaksanakan tugas-tugas getir lagi membahaya demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.

Walaupun negara aman dan sejahtera peranan penyelam amat penting dalam melaksanakan sesuatu misi yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Mengimbas kembali rentetan penubuhan pasukan selam TLDM, ia sebenarnya telah bermula pada tahun 1965, semasa TLDM berpangkalan di Woodlands, Singapura. Kemudian disusuli pada awal tahun 1977 di mana Sekolah Latihan menyelam ditubuhkan dan diletakkan di bawah pentadbiran KD Pelandok.

Menjelang akhir tahun 1981, kedua-dua unit ini telah berpindah ke Pangkalan TLDM Lumut dan pada awalnya menumpang kemudahan prasarana Markas Armada dan unit-unit yang lain sehinggalah pada akhir tahun 1995, kerajaan telah meluluskan pembinaan bangunan Pusat Selam sejajar dengan struktur organisasi baru TLDM.

Pusat Selam TLDM secara rasminya telah ditubuhkan pada 15 September 1998 berasaskan konsep penyatuan sekolah dan Pasukan Selam Markas Armada demi mengoptimumkan penggunaan sumber melalui perkongsian bijak kemudahan dan sumber manusia.

Kompleks ini telah dirasmikan pada 9 Oktober 1999 oleh Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd. Nor.

Antara kemudahan yang ada di pusat tersebut ialah kolam untuk menyelam, bilik tekanan, bangunan tadbir dan operasi, institusi pendidikan, bengkel, stor dan landasan bot.

Kolam berkenaan yang mempunyai keluasan 25 meter panjang dan 12.5 meter lebar dengan kedalaman sehingga 6 meter serta mempunyai tekanan air sehingga 1.5 bar, boleh melatih para penyelam baru mahupun profesional.

Baru-baru ini warga TLDM Pangkalan Lumut berasa bertuah kerana kesudian Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd. Shafie Apdal meluangkan masa sehari suntuk bersama-sama mereka dan menyaksikan sendiri demonstrasi operasi pasukan penyelamat TLDM.

Beliau yang melaksanakan lawatan ulung, sejak menjawat Timbalan Menteri Pertahanan ke pangkalan TLDM turut diiringi oleh Timbalan Panglima Laut Laksamana Muda Datuk Mohd. Ramly Abu Bakar sebelum itu telah diberi sambutan kawalan suku dan disambut oleh Panglima Armada Laksamana Muda Datuk Mohd. Anwar Mohd. Nor dan pegawai-pegawai kanan TLDM.

Datuk Shafie diberi taklimat tertutup oleh Panglima Armada dan seterusnya melawat sekitar Pangkalan, Psc-Naval Dockyard dan Pusat Maritim, kapal perang dan Pusat Selam yang terletak berhampiran pangkalan tersebut.

Walaupun Shafie sibuk dengan pelbagai program Kementerian Pertahanan namun beliau telah meluangkan masa sehari suntuk di Pangkalan TLDM Lumut.

Beliau yang pertama kali menjejak kaki ke TLDM, merasa bangga dengan prestasi para pegawai dan anggota TLDM Pangkalan Lumut.

Kemuncak lawatan beliau ialah demonstrasi pasukan penyelam yang menunjukkan pelbagai aksi yang mendebarkan dan amat berbahaya.

Untuk menyakinkan Shafie tentang keupayaan Pasukan Penyelam TLDM ini, Pegawai Memerintah Pusat Selam Komander Abdul Ghani Othman telah meminta meminta Shafie mengikat kedua-dua belah tangan dan kaki dua anggota penyelam TLDM dan dicampakkan ke dalam kolam renang.

Mereka berdua yakni penyelam telah membuktikan tahap profesionalisme yang tinggi dengan berupaya menyelamat diri masing-masing dengan selamatnya.

Menurut Komander Abdul Ghani, tujuan penubuhan pusat selam ini adalah untuk menjadikan cawangan penyelam TLDM sebagai satu organisasi yang mantap, teratur, cekap dan berkesan.

''Pusat ini bertanggungjawab kepada panglima Armada TLDM terhadap pelaksanaan tugas operasi selam sekali gus bertanggungjawab melatih penyelam-penyelam TLDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi kerajaan dan negara sahabat,'' katanya.

Menurutnya lagi sejak beroperasi mulai 15 September 1998 hingga kini pusat itu telah mampu memenuhi semua permintaan khidmat selam yang meliputi bantuan kepada ATM dan agensi kerajaan, bantuan selaman kepada agensi luar setakat ini sebanyak 23 kali bantuan dan khidmat selam di pangkalan setakat ini sebanyak 195 dengan purata 12 operasi selaman setiap bulan.

Berhubung matlamat Pusat Selam ini beliau berkata, matlamat pertamanya ialah mewujudkan kemahiran menyelam ke paras 90 hingga 120 meter dengan peralatan selam tertentu.

Katanya matlamat kedua pula ia giat memperlengkapkan dan mengemaskini keperluan untuk menjadikan pusat ini sebagai pusat bertauliah untuk Persijilan Kemahiran Malaysia di bidang selam melalui kerjasama dengan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan.

Matlamat ketiga adalah berusaha mewujudkan kemahiran melaksana major salvage operation dengan peralatan tertentu yang berkeupayaan menimbul berat objek lingkungan 400 ton yang mana keupayaan ini boleh menimbulkan kapal terbang C130.

''Manakala matlamat seterusnya adalah mewujudkan peraturan keselamatan dan kesihatan menyelam nasional secara bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Kementerian Sumber Manusia dan pusat ini juga giat berusaha mendapatkan kelulusan dan pengiktirafan daripada kerajaan untuk pusat ini dijadikan sebagai Pusat Rujukan Selam Negara,'' katanya mengakhiri ucapan.

Shafie mengambil kesempatan untuk berkenal mesra dengan para pegawai dan anggota TLDM di samping bertanya khabar dengan tujuan mengenai lebih dekat dan mengetahui masalah dan keperluan TLDM.

Sesungguhnya kehadiran dan keprihatinan Timbalan Menteri Pertahanan dengan 'turun padang' menyaksikan sendiri betapa susahnya tugas seorang anggota tentera memberi satu suntikan moral kepada warga TLDM di Lumut dan memberi erti besar kepada mereka kerana kesudian Shafie meluangkan masanya.

Bagi menjamin dan menentukan keselamatan, TLDM memerlukan Pasukan Armada yang lengkap dan sumber manusia mengikut era permodenan di alaf baru ini.

Kapal-kapal TLDM harus bersedia beroperasi bila-bila masa diperlukan.

Peranan TLDM adalah penting, ia meliputi Kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas rondaan bagi menjamin perairan negara, mengawal kegiatan lanun, pencerobohan nelayan asing, kepentingan industri maritim seperti cari gali minyak, perikanan dan perlombongan dasar laut serta pencemaran laut turut membabitkan TLDM.

Semuanya akan berjaya sekiranya setiap individu warga Malaysia menghargai sumbangan ATM demi untuk kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.

Oleh: MEJAR SULEIMAN MOIDEEN KUTTY

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.