saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 15/04/2000

Pencalonan Dr. M, Pak Lah bertambah

KUALA LUMPUR 14 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, masing-masing meraih 164 dan 163 pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO selepas mesyuarat perwakilan bahagian yang bermula 1 Mac lalu, berakhir hari ini.

Dua mata pencalonan terakhir diterima oleh Perdana Menteri dan timbalannya itu daripada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang pada sebelah pagi dan UMNO Bandar Tun Razak, malam ini.

Mesyuarat perwakilan bahagian selama lebih sebulan itu menyaksikan Dr. Mahathir, 74, dan Abdullah, 60, tidak dicalonkan oleh UMNO Bahagian Tanah Merah bagi kedua-dua jawatan tertinggi parti itu.

Bahagian yang diketuai oleh Datuk Hashim Safin itu menyerahkan mata pencalonan kedua-dua jawatan itu sekali gus kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Pendirian sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) pada 3 Januari lalu yang mengesyorkan kedua-dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dan ia disokong oleh pengerusi perhubungan UMNO negeri-negeri, tidak diendahkan.

Malah, Abdullah kehilangan mata kedua jawatan nombor dua itu selepas UMNO Bahagian Pasir Mas yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali menolak pencalonan beliau sebaliknya menyerahkan sekali lagi kepada Tengku Razaleigh.

Bagi persaingan jawatan Naib Presiden, seramai 10 orang termasuk Tengku Razaleigh yang baru melepasi kelayakan 17 pencalonan hari ini, beradu nasib untuk mengisi tiga kekosongan jawatan yang ditawarkan itu.

Beliau bagaimanapun perlu menunggu keputusan mesyuarat MT, Isnin ini yang akan menentukan kesahihan mesyuarat perwakilan 'kedua' UMNO Gua Musang, pagi ini.

Pencalonan Naib Presiden diungguli oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dengan 151 pencalonan, diikuti oleh Datuk Abdul Ghani Othman (80), Datuk Seri Abu Hassan Omar (58), Datuk Seri Syed Hamid Albar (37), Datuk Seri Osu Sukam (35), Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (32), Tan Sri Muhyiddin Yassin (30), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (28) dan Datuk Rais Yatim (21).

Tengku Razaleigh, menjadi calon ke-10 dan terakhir melayakkan diri. Dua calon lain, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, menolak dicalonkan jawatan Naib Presiden walaupun nama kedua-duanya turut dicalonkan.

Bagi jawatan ahli MT, sebanyak 74 daripada 121 calon melepasi kelayakan minimum lapan pencalonan yang disyaratkan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam menguasai arena dengan 154 pencalonan, diikuti oleh Datuk Nazri Aziz (151), Tajol Rosli (144) dan Datuk Azmi Khalid (139).

Persaingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO 10 Mei ini pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan bekas Ketua Wanita selama 12 tahun, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kedudukan pencalonan kedua-dua seimbang dengan Rafidah mendahului dengan 92 mata meninggalkan pencabarnya dengan 73 pencalonan.

Perebutan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti 2000 ini melibatkan tiga calon termasuk penyandangnya, Datuk Napsiah Omar.

Bagaimanapun kedudukan Napsiah, masih menimbulkan teka-teki walaupun namanya seperti yang direkodkan telah mencecah kelayakan minimum 25 pencalonan bahagian.

Ini kerana, wujud dakwaan beliau tidak dicalonkan oleh perwakilan Wanita Kulim-Bandar Bharu sebaliknya mata pencalonan itu diserahkan kepada Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Mesyuarat Exco Wanita yang dipengerusikan oleh Dr. Siti Zaharah pagi ini, tidak dapat mengesahkan perkara itu tetapi akan membuat semakan terakhir mengenainya. Ibu Pejabat UMNO hanya bertanggungjawab menyelaraskan penerimaan borang pengesahan pencalonan bagi jawatan MT.

Bagi persaingan jawatan nombor dua sayap kanan parti itu, Shahrizat mendahului pencalonan dengan 91 mata dan diikuti oleh Ainon Khariyah Mohd. Abas, sebanyak 49 pencalonan.

Dalam pada itu, kedudukan Datuk Hishammuddin Tun Hussein tidak dicabar apabila memonopoli dengan 164 pencalonan bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Pencabarnya, Ketua Pemuda Pahang, Raja Munir Shah Raja Mustapha sekadar meraih satu pencalonan.

Mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian UMNO lebih sebulan ini hanya menyaksikan beberapa kontroversi 'kecil'.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.