saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 09/05/2000

PM lancar Proton Waja


DR. MAHATHIR Mohamad mengangkat tangan tanda gembira dengan pelancaran Proton Waja, kereta pertama yang direka bentuk sendiri oleh Malaysia di Shah Alam, malam tadi.


SHAH ALAM 8 Mei - Proton Waja, dilancarkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad malam ini adalah inspirasi kepada kecemerlangan Perusahaan Otomobil Nasional Bhd., (Proton) untuk mengeluarkan kereta pertama yang direka bentuk sepenuhnya oleh rakyat tempatan.

Pengeluaran kereta itu melibatkan pelaburan sebanyak RM1 bilion merangkumi kos intelektual (bagi reka bentuk) dan kos kejuruteraan fizikal.

''Proton Waja dilahirkan hasil kerja selama 36 bulan, 1.7 juta jam dan 300 jurutera,'' kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Mahaleel Tengku Ariff.

Kereta itu dilancarkan dalam majlis gilang gemilang di Stadium Malawati di sini.

Proton Waja didatangkan dengan dua model iaitu Proton Waja GX 1.6 liter yang menggunakan enjin Mitsubishi dan GX 1.8 liter dengan enjin Renault.

Kedua-dua model itu dilengkapi dengan transmisi automatik dan manual.

Selain itu Proton akan melancarkan pula model GX 1.9 liter diesel yang menggunakan enjin Renault pada masa akan datang.

Proton Waja adalah merupakan kereta golongan pertengahan dan rakan saingnya ialah Honda Accord, Audi A4, Opel Vectra dan Peugeot 406.

Turut dilancarkan pada malam ini ialah logo korporat terbaru Proton yang akan menampilkan jenama Proton di semua pasaran domestik dan antarabangsa. Ia berupa kepala harimau emas.

Tengku Mahaleel pada satu majlis taklimat model itu di kilang Proton baru-baru ini berkata, Proton Waja menggunakan 95 peratus komponen tempatan dan menjimatkan RM400 juta hasil daripada aliran mata wang keluar untuk mengimport komponennya.

Malah selain itu Proton Waja mampu menjana pendapatan sebanyak RM450 juta untuk eksport model itu keluar negara, kata beliau.

Bukan itu sahaja, Proton Waja telah menyelamatkan penggunaan RM500 juta bagi bayaran royalti untuk jangka hayat kereta jika menggunakan platform model jenama lain untuk Proton Waja, katanya.

''Apa yang lebih penting, Proton Waja telah membolehkan Proton memiliki harta intelektual bagi platformnya sendiri (iaitu struktur badan dan casis).

''Ini membolehkan Proton melahirkan tiga atau empat model baru tanpa melibatkan kos pelaburan yang besar.

Ini bermakna, Proton Waja adalah model yang dibangunkan melalui casisnya sendiri, kata Tengku Mahaleel lagi.

Proton Waja akan dikeluarkan sebanyak 40,000 unit hingga 60,000 unit setahun dan boleh ditempah pada bulan Ogos sebelum memasuki pasaran pada bulan September.

Proton Waja disifatkan sebagai kereta 'Dalam Kawalan' yang dipenuhi dengan ciri-ciri keselamatan terkini bagi pemanduan.

Ia bukan sahaja dilengkapi dengan beg udara bagi pemandu dan penumpang, tetapi disertakan dengan beg udara sisi untuk bahagian kiri dan kanan.

Struktur badannya adalah lebih dua kali lebih kuat berbanding model lain dan memenuhi Piawaian Ujian Perlanggaran Eropah 2003.

Ciri-ciri tersebut adalah antara yang terkuat dalam kelasnya di dunia bagi memberi perlindungan maksimum kepada pengguna.

Enjin yang digunakan telah mematuhi piawaian 'European Step 111' yang mana piawaian itu akan dilaksanakan pada tahun 2001.

Seperti biasa, rakan kejuruteraan Proton iaitu Lotus turut menurunkan teknologinya untuk sistem Pemanduan dan Kawalan Proton Waja.

Tayar bersaiz 15 inci dan penyerap hentak MacPherson untuk bahagian depan dan Multilink untuk belakang akan mengurangkan lagi kebisingan dan gegaran.

Kelajuan maksimum bagi model Proton Waja 1.6 manual ialah 186 kilometer/sejam (Km/h) dan kepantasan untuk 0 hingga 100 kmh ialah 12 saat.

Kelajuan maksimum Proton Waja 1.6 liter automatik ialah 181 kmh dan 0 hingga 100 kmh ialah 14.7 saat.

Isi padu petrol maksimum bagi kedua-dua model itu ialah 60 liter.

Proton Waja dilahirkan daripada cabaran Dr. Mahathir supaya Proton mereka bentuk keretanya sendiri pada bulan April 1996.

Menyahut cabaran itu, rancangan kelahiran Proton Waja GX telah dimulakan pada bulan Jun 1996 dengan penubuhan pasukan program dan konsep.

Bermula daripada itu, 20 vendor tempatan berganding bahu bersama jurutera Proton untuk mereka bentuk komponen model itu.

Kesemua vendor dihubungkan secara digital. Kemudian komponen yang siap itu akan dihantar ke kilang Proton yang paling maju di Asia Tenggara untuk dipasang.

Kebanyakan Proton Waja dilahirkan menerusi konsep sumber digital (digital resources) dan pemasangan digital.

Bahagian reka bentuk dan bahagian kejuruteraan dihubungkan dengan komputer, dan setiap komponen disambungkan atau dipadankan menerusi komputer supaya dapat mengelakkan berlakunya kesilapan.

Secara keseluruhannya, Proton Waja merupakan kereta digital oleh Proton.

''Pada masa akan datang, Proton merupakan kereta digital di dalam proses pengeluarannya,'' kata Tengku Mahaleel.

Model terbaru kereta Proton itu akan dipamerkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai esok untuk orang ramai melihat lebih dekat kereta itu.

Bagaimanapun harga bagi model tersebut masih belum ditetapkan tetapi ia akan ditawarkan pada yang harga berpatutan.

Oleh: FAUZI JAAFAR dan DALIZA ARIFFIN

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.