saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/05/2000

Ahmad Nawab kecewa mutu ciptaan lagu diabai


AHMAD NAWAB dan Sharifah Aini.


JUMLAH syarikat rakaman yang semakin bertambah tidak dimanfaatkan oleh komposer tempatan untuk bersaing di antara satu sama lain bagi mempertingkatkan kualiti lagu-lagu yang mereka hasilkan.

Sebaliknya, kemunculan semakin banyak syarikat rakaman telah menghasilkan karya-karya yang kurang bermutu tinggi, jauh sekali untuk bertahan dalam jangka masa yang agak lama.

Pencipta lagu-lagu popular sepanjang zaman, Ahmad Nawab berpendapat, persaingan yang dihadapi oleh banyak syarikat rakaman tempatan ketika ini menyebabkan semakin ramai bakat-bakat baru muncul dalam bidang penciptaan.

''Di tahun-tahun 70-an dan 80-an tidak banyak syarikat rakaman bertapak di negara ini. Ini menyebabkan kami begitu berhati-hati untuk mencipta sesebuah lagu kerana hanya yang terbaik akan mendapat perhatian syarikat rakaman,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran semula album Hapuslah Airmatamu baru-baru ini.

Ahmad Nawab yang kelihatan agak kecewa dengan perkara itu menambah, tidak banyak lagu yang dihasilkan oleh komposer tempatan hari ini mampu bertahan dalam jangka waktu yang agak lama.

Ini kerana, penciptaan yang dibuat tanpa tahap kualiti yang memberangsangkan, menyebabkan karya mereka hanya mampu popular dalam jangka masa yang singkat sahaja.

''Lagu yang tidak lagi mementingkan mutu penciptaan tidak akan bertahan lama,'' tegasnya.

Selain itu, Ahmad Nawab juga turut kecewa dengan kebolehan artis-artis baru yang hadir dalam persada seni suara hari ini.

Beliau turut mengkategorikan penyanyi tempatan di dalam dua golongan iaitu yang dilahirkan sebagai penyanyi dan keduanya dibuat sebagai penyanyi.

''Antara dua golongan ini amat berbeza. Industri hiburan kita telah diserapkan dengan mereka yang dibuat untuk menjadi penyanyi,'' katanya lagi.

Ahmad Nawab dianggap salah seorang komposer yang bijak mengesan bakat seseorang penyanyi baru untuk diketengahkan sebagai penyanyi popular.

Buktinya, beliau yang memberi peluang kepada juara Bintang RTM 1978, Jamal Abdillah merakamkan lagu dan seterusnya Jamal muncul sebagai penyanyi yang mantap.

Difahamkan, sehingga kini, Ahmad Nawab telah menghasilkan lebih 2,000 buah lagu sepanjang penglibatannya dalam bidang muzik.

Beliau mengakui kesukaran untuk mendapatkan penyanyi yang boleh diketengahkan dalam dunia nyanyian.

Kebanyakan mereka menjadi penyanyi dan mengecapi populariti dalam masa yang singkat disebabkan oleh beberapa faktor lain antaranya mempunyai wajah serta personaliti yang menarik.

Kerana itu, Ahmad Nawab yang menggilap nama penyanyi angkatan 70-an dan 80-an lebih rela menyimpan lagu-lagu terbaru ciptaannya daripada diberikan kepada penyanyi yang tidak mempunyai mutu suara yang baik dan mantap.

Menurut Ahmad Nawab, sehingga kini dia mempunyai lebih 200 buah lagu baru di dalam simpanan peribadinya kerana tidak ada penyanyi yang boleh menyanyi dengan baik.

Sekalipun banyak syarikat rakaman yang berminat untuk mendapatkan lagu-lagu itu, tetapi Ahmad Nawab belum bersedia memberikannya kerana tidak yakin dengan kemampuan penyanyi baru yang akan membawakan lagu tersebut.

''Saya tidak akan memberikan lagu-lagu ciptaan saya kepada mana-mana artis yang saya tidak berpuas hati dengan mutu suara mereka,'' jelasnya lagi.

Antara penyanyi yang pernah digilap oleh Ahmad Nawab ialah Sharifah Aini, Hail Amir, Khaty Ibrahim, Latiff Ibrahim, Ramlah Ram, Jamal Abdillah dan Uji Rashid.

Pendekatan ini, menurut Ahmad Nawab, bagi memastikan kualiti lagu-lagu ciptaannya apabila dinyanyikan oleh seseorang penyanyi.

''Gandingan antara kehebatan lagu dan suara amat penting untuk mempopularkan sesebuah lagu. Saya tidak mahu mutu lagu kerana diberikan kepada penyanyi yang tidak sesuai,'' katanya.

Sementara itu, untuk album Hapuslah Airmatamu, Ahmad Nawab turut mengimbau nostalgianya bersama penyanyi popular Indonesia, Broery Marantika.

Antara kenangan paling abadi sepanjang berkerjasama dengan Broery ialah apabila menghasilkan lagu Sabar Menanti yang turut dimuatkan di dalam album berkenaan.

''Pertama kali mendengar lagu itu, Broery berkata kepada saya bahawa dia bagaikan sudah mengenali saya semenjak berpuluh tahun lalu, walaupun di studio itulah pertemuan kami yang pertama,'' kata Ahmad Nawab.

Hapuslah Airmatamu ini dianggap sebagai album paling bermutu yang pernah dihasilkan sepanjang penglibatannya dalam dunia muzik.

''Walaupun ini album soundtrack filem tetapi saya amat berpuas hati dengan penghasilan album ini. Berkerjasama dengan dua penyanyi yang mempunyai mutu suara terbaik seperti Broery Marantika dan Sharifah Aini membuatkan album ini mengembalikan nostalgia kepada saya,'' ujarnya.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.