saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 19/06/2000

Hanya sekutu Amerika

Oleh: GAMAL NASIR MOHD. ALI
PESURUHJAYA Tinggi Australia ke Malaysia, Peter Varghese melihat dirinya sebagai 'Pegawai Perhubungan Awam' (PRO) bagi Australia bagi membetulkan apa yang disifatkannya sebagai tanggapan silap di kalangan banyak pihak di Malaysia.

''Saya melihat misi utama saya di sini adalah untuk membetulkan tanggapan tersebut khususnya yang terdapat di media,'' ujarnya dalam satu temu bual khas dengan Utusan di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengalaman mungkin dapat membantu Varghese kerana beliau pernah mengetuai bahagian perhubungan awam, Kementerian Luar Australia dan berkhidmat dengan pejabat Perdana Menteri.

Namun, beliau berdepan dengan banyak cabaran yang memerlukan usaha-usaha 'PR' yang kental dan gigih memandangkan Kuala Lumpur mempunyai banyak perkara yang mahu 'dibangkitkan' berhubung cara Canberra mengendali hubungan dua hala.

Sejak mengambil alih tugas pada Februari lalu, Varghese berdepan dengan tuduhan bahawa Australia bertindak laksana 'timbalan' Amerika Syarikat di Asia Tenggara. Doktrin Howard itu timbul selepas Australia dilantik sebagai ketua pasukan pengaman antarabangsa bagi Timor Timur.

Australia dituduh bertindak sebagai 'kaki buli' (membuli Indonesia) dalam menangani krisis persengketaan kaum di bekas wilayah Indonesia itu. Malah, Australia dituduh cuba mengambil kesempatan daripada krisis berkenaan untuk mengaut keuntungan politik tempatan dan antarabangsa.

Malaysia jelas tidak menyenangi tindak-tanduk Australia di Timor Timur yang dilihat 'cuba mengajar kita bagaimana hendak mentadbir negara kita sendiri.'

Menurut Malaysia, ''... Australia bukanlah sebuah negara besar jika diambil kira jumlah penduduknya, maka, mereka harus bersikap seperti sebuah negara kecil, dan bukan sebagai guru.''

Namun bagi Varghese, yang baru menyerahkan watikah pelantikan pada 16 Februari lalu, terdapat tanggapan silap mengenai Australia di Malaysia, dan ini adalah antara beberapa sebab beliau mahu mengadakan pertemuan dengan media di Malaysia untuk cuba membetulkan sesetengah tanggapan silap tersebut.

Ditanya apakah mungkin tanggapan sebegitu timbul dengan munculnya ahli Parlimen rasis seperti Pauline Hanson dari Parti One Nation?

Menurut Varghese, Hanson mungkin berjaya mengeksploit isu perkauman, yang sebelum ini tidak dilakukan, dan jika dilihat kembali kepada sejarah Australia, mungkin banyak yang dapat memahami bagaimana sentimen perkauman itu boleh timbul.

Namun, jika dilihat Australia dalam tahun 2000 ini, ia sebuah negara yang berbeza jika dibandingkan dengan Australia semasa dasar kulit putih dulu, jelas beliau.

Katanya, sesiapa yang melihat kepada rakyat Australia masa kini akan menemui bahawa aspek pelbagai budaya (multiculturalism) telah berakar-umbi di Australia dan dasar pelbagai budaya tidak mampu berfungsi jika masyarakat Australia sebuah masyarakat rasis yang tidak menerima kepelbagaian dalam budaya. Dan jika dilihat pada kadar penghijrahan dan perkahwinan campur, banyak yang akan mendapati kadar tersebut mungkin sangat tinggi, mungkin antara tertinggi di dunia.

Itu semua menunjukkan betapa Australia telah banyak berubah dari tempoh sebelum dan selepas perang (Perang Dunia Pertama dan Kedua), tegasnya.

Bagaimanapun, bila dilihat kembali hubungan Malaysia-Australia tentang tanggapan silap itu, ramai rakyat Malaysia masih ingat komen kurang wajar yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Australia, Paul Keating terhadap Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dalam tahun 1993.

Ini mungkin bukan soal dasar kerajaan, tetapi bagaimana Australia melihat Asia. Ini diperkuatkan dengan persepsi Australia yang melihat dirinya sebagai 'timbalan' Amerika Syarikat (AS) di Asia.

Meskipun (Perdana Menteri Australia) John Howard berusaha menafikan beliau mahu Australia menjadi 'timbalan' Amerika (kerana katanya, perkataan itu dicetuskan oleh wartawan yang menemu bualnya), namun ia menguatkan lagi tanggapan bahawa dalam masa Australia berkata, ia mahu menjadi sebahagian daripada Asia, ia tidak bertindak sebagai sebuah negara Asia.

Bagaimanapun Varghese menjelaskan, isu 'timbalan' Amerika itu tidak masuk akal kerana beliau bekerja rapat dengan Perdana Menteri semasa itu.

Howard, katanya, tidak pernah menggunakan perkataan tersebut, malah ia tidak mencerminkan pemikirannya (Howard).

''Apa yang berlaku ialah seorang wartawan mendakwa wujudnya apa yang disebut sebagai Doktrin Howard, dan asas doktrin itu ialah Australia dilihat sebagai 'timbalan' AS. Semua itu tidak masuk akal,'' ujar beliau.

''Kami mengakui kami sekutu Amerika, dan tidak berpura-pura dalam hal ini. Kami bersekutu dengan AS kerana kami berpendapat, ia penting bagi kepentingan negara kami. Kami bersekutu dengan AS kerana kami percaya hubungan pertahanan antara Australia dengan Amerika akan membantu kami dan keselamatan negara kami.

''Tetapi itu tidak bermakna kami bertindak bagi pihak Amerika di rantau ini atau kami menerima 'arahan' dari Washington,'' tambahnya.

Bagi Varghese, Britain dan Filipina juga merupakan sekutu kepada Amerika, tetapi tidak siapa yang mempersoal bahawa negara-negara itu mempunyai pandangan bebas mengenai dunia dan keselamatan antarabangsa.

Berhubungan hubungan Australia dengan negara-negara Asia, beliau berpendapat, terdapat banyak tanggapan silap di Malaysia kerana wujud satu dilema.

''Dari satu segi, kami dikritik kerana tidak melakukan yang secukupnya untuk menghubungkan Australia dengan negara-negara Asia, tetapi dari segi lain pula, kami dikritik kerana berpura-pura menjadi sebuah negara Asia sedangkan kami bukan sebuah negara Asia.

''Bagi saya, Australia tidak melihat dirinya sebagai sebuah negara Asia. Kami melihat diri kami sebagai Australia dan kami tidak mahu melabel diri kami lain daripada itu.''

Beliau menambah, dari segi sejarah dan budaya, Australia memang mempunyai hubungan dengan Eropah dan Amerika, tetapi kini semakin mempunyai hubungan dengan Asia.

''Oleh itu, kami tidak melihat diri kami sebagai mahu menjadi sebuah negara Asia. Apa yang kami kata ialah Asia Timur (ASEAN campur Jepun, China dan Korea) merupakan kepentingan utama strategik dan ekonomi kami dan dasar ini kekal sedemikian bagi tempoh yang panjang.

''Maka, kami mahu mewujudkan hubungan rapat dengan Asia Timur dan bekerja ke arah matlamat tersebut, dan ia tidak terbatas kepada hubungan politik dan ekonomi, tetapi hubungan antara rakyat serta budaya,'' tegas beliau.

''Kami melihat hubungan kami dengan rantau ini ialah untuk menjadi jiran yang akrab di rantau ini. Dan kerajaan yang ada ini tidak berhajat untuk berdebat mengenai sama ada Australia perlu menjadi sebuah negara Asia atau tidak.''

Namun, Varghese diingatkan tentang terdapat juga tanggapan bahawa Australia mahu campur tangan di dalam hal-ehwal dalaman sesebuah negara. Contohnya, dalam isu-isu berkenaan hak asasi manusia yang banyak menjejas hubungan dua hala antara negara-negara.

Kenyataan-kenyataan berkenaan hak asasi manusia dibuat oleh Australia mengenai isu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mengenai krisis persengketaan di Timor Timur tidak diterima dengan baik di kalangan negara-negara Asia. Malah Australia telah diberitahu oleh rakan-rakan Asianya agar jangan campur tangan dan sebaliknya berusaha menyelesaikan masalah di negara sendiri.

Apakah Australia perlu membuat kenyataan-kenyataan terbuka mengenai sesuatu isu. Apakah tidak boleh Howard menghubungi Dr. Mahathir secara terus untuk menyatakan pendapat dan pandangan Australia? Mengapa perlu bermain di hadapan kamera?

Varghese menjelaskan, dalam sistem di Australia, ''kami tidak boleh berkata setiap masa yang kami tidak boleh memberi komen dan tidak akan membuat komen terhadap pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh media.

''Apabila kerajaan diajukan sesuatu soalan mengenai sesuatu isu, sebahagian besar daripada masanya, kerajaan akan cuba memberi reaksinya. Dan bila dan jika kami memberi reaksi, kami berusaha untuk tidak dilihat sebagai mahu mencampuri hal-hal dalaman sesebuah negara.

''Malah komen-komen kami mengenai isu hak asasi manusia juga dibuat secara peribadi kerana kita tidak menguruskan hubungan antara negara, termasuk dengan Malaysia, melalui media. Kami juga menyalurkan komen kami menerusi saluran-saluran kerajaan.''

Malah, jelas Pesuruhjaya Tinggi itu, semasa Howard berada di Malaysia bagi menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam tahun 1998, kedua-dua Perdana Menteri telah mengadakan perbincangan yang baik, yang turut membincangkan kes Anwar.

Tetapi apa yang menghairankan ialah ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan melawat Australia, Annan diberitahu oleh Howard agar jangan bersyarah kepada negara itu mengenai hak asasi manusia.

Aneh, bila seorang pemimpin yang tiba di Australia dan bercakap mengenai hak asasi manusia penduduk asli Australia, beliau pula diberi amaran agar jangan bersyarah.

Apakah ini bukan sikap pilih bulu (double standard).

Australia boleh bercakap mengenai hak asasi orang lain, mengenai apa yang perlu dilakukan oleh sesebuah negara, tetapi orang lain tidak boleh bercakap mengenai hak asasi Australia, orang lain tidak boleh memberitahu Canberra apa yang perlu dilakukan.

Varghese berkata, Canberra tidak cuba memberitahu orang (negara) lain apa yang mereka perlu lakukan (katakan).

''Tiada komen dari kerajaan Australia yang memberitahu negara-negara lain apa yang mereka perlu lakukan dan kami juga tidak akan memberitahu anda apa yang perlu dilakukan.''

Dijelaskan bahawa Annan berada di Australia dan bercakap mengenai hak asasi manusia penduduk Aborigin yang tertindas dan ketinggalan dari arus perdana di Australia, maka amaran Howard kepada Annan dilihat sebagai aneh.

Howard 'bersyarah' kepada Indonesia dan Malaysia agar menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. Tetapi kini Howard pula berkata kepada Annan, 'jangan bersyarah kepada kami.'

Komen Howard itu, menurut Varghese, dibuat berhubungan hukuman mandatori yang dikenakan ke atas penjenayah tegar, yang berulang kali melakukan kesalahan.

''Apa sebenarnya yang cuba diperkatakan oleh Perdana Menteri ialah bukanlah sesiapa itu tidak boleh membuat ulasan, termasuk kritikal, tentang hukuman mandatori dan keadaan penduduk Aborigin kerana kami menerima hakikat bahawa setiap orang mempunyai pandangan mereka sendiri terhadap sesuatu isu.

''Apa yang cuba perkatakan mengenai isu hukuman mandatori ialah ia diputuskan oleh dewan undangan negeri Northern Territory, sebuah badan perundangan yang dipilih secara bebas dan demokratik, yang dibuat satu undang-undang secara sahih dan mengikut kaedah-kaedah yang ditentukan.''

Katanya, Howard berpendapat, isu berkenaan harus diselesaikan mengikut kaedah-kaedah tersebut.

''Anda tidak akan mendapat tanggapan bahawa orang lain atau penduduk Australia sendiri tidak boleh membuat kritikan terhadap apa yang berlaku di Australia.

''Tetapi terdapat perbezaan di antara membuat komen yang kritis dan memperkata mengenai proses perundangan tempatan, khususnya penguatkuasaan undang-undang jenayah, dan hubungannya dengan PBB.

''Apa yang cuba dikatakan oleh Perdana Menteri (Howard) ialah hal-hal perundangan dan penguatkuasaan undang-undang hanya boleh ditentukan oleh Australia atau kerajaan negeri.''

Benar, hal-hal perundangan tempatan sewajarnya ditentukan oleh kerajaan tempatan untuk tetapkan. Tetapi Australia juga pernah mengecam Malaysia kerana melaksanakan undang-undang negara ini bila ia menggantung rakyat Australia kerana kesalahan mengedar dadah.

Jika berdasarkan alasan di atas (kerajaan tempatan menentukan perundangan dan penguatkuasaan undang-undang tempatan) Australia tetap tidak berpuas hati.

Bagi Varghese, itu berpunca daripada penentangan Australia terhadap hukuman mati di mana-mana jua di dunia. Ia bukan sebab Canberra mengkritik cara Kuala Lumpur menguat kuasa undang-undangnya.

Kerajaan Australia, tanpa mengira parti mana, sejak dulu lagi menentang hukuman mati terhadap sebarang jenayah, termasuk jenayah paling serius, jelas beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.