saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/06/2000

Ke mana tulisan jawi di alaf baru

Oleh:MOHAMED JUSOH (WARTAWAN UTUSAN)
SEKALI lagi, peminat dan pencinta tulisan jawi seluruh Malaysia akan berkumpul untuk membincang sesuatu yang agak serius dan seterusnya mencari jalan ke arah memertabatkan semula tulisan jawi.

Sesungguhnya, pertemuan dalam mesyuarat agung Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (Penjawim) kali pertama dan kedua di Pusat Islam Kuala Lumpur, dan ketiga di Perlis tahun lalu tidak banyak membuahkan hasil.

Jadi, diharap mesyuarat agung kali keempat yang agak berlainan daripada sebelumnya di Dewan Kuliah Satu, Fakulti Sains Komputer, Universiti Malaya, esok amat bermakna untuk merealisasikannya pada alaf baru ini.

Pastinya, majlis yang akan dirasmikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir akan dapat mengumpulkan natijah yang baik.

Ini kerana pada kali ini tidak ada pembentang kertas kerja seperti sebelumnya tetapi diganti dengan simposium untuk mencari jalan arah tuju tulisan jawi pada alaf baru ini. Simposium yang melibatkan perbincangan daripada hati ke hati itu diikuti dengan sesi soaljawab dengan Mahadzir dirasakan boleh memberi kesan dan impak yang kukuh dalam usaha mengintegrasikan tulisan jawi.

Pada masa yang sama, satu pameran berteknologi jawi yang merupakan projek usaha sama pelajar fakulti sains dan teknologi maklumat Universiti Malaya dan Penjawim turut diadakan.

Setiausaha Penjawim, Kamarulsaman Yaakub berkata simposium teknologi jawi kebangsaan itu nanti dapat merumuskan natijah yang baik bagi menjamin masa depan jawi pada alaf baru ini. Malah, bekas setiausahanya, Hakim Ahmad turut mengharapkan bahan yang di hasilkan oleh pelajar itu nanti dapat menarik perhatian semua pihak tentang betapa pentingnya pendidikan pengajaran dan pembelajaran jawi dimertabatkan semula. Ini di sokong kuat oleh Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (Pmapium) yang merancang untuk mengadakan program Gerakan Memartabatkan Kembali Tulisan Jawi (Gema Jawi) itu mencapai matlamatnya.

Malah Ketua Pengarah gerakan itu, Mohd. Hilmie Mat Daud yakin usaha ini dapat membangkitkan kesedaran pelajar Melayu khasnya masyarakat Malaysia tentang kepentingan tulisan jawi dan memertabatkan kembali tulisan jawi di peringkat kebangsaan.

Biar apa pun, langkah itu tentunya selaras dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Jawi menggunakan perisian dan aplikasi komputer di sekolah-sekolah. Dengan langkah baru ini akan menarik lebih ramai generasi muda mempelajari tulisan jawi yang kini kurang mendapat tempat di kalangan mereka.

Ini kerana penggunaan komputer yang dicadangkan itu boleh membantu memartabatkan tulisan jawi yang selama ini diketepikan oleh generasi muda terutamanya mereka yang baru tamat sekolah.

Sebelum ini pun, Setiausaha Parlimen kementerian itu pernah menyatakan Kementerian Pendidikan sudah mengambil beberapa langkah untuk memastikan tulisan jawi sentiasa dipelajari oleh para pelajar.

Ini termasuklah pelaksanaan mewajibkan pembelajaran tulisan jawi bermula dari tahun satu hingga tahun enam di sekolah-sekolah rendah seluruh negara.

Dalam pada itu, setakat ini Kementerian Pendidikan turut menggalakkan pelajar-pelajar di peringkat menengah supaya menggunakan tulisan jawi dalam pembelajaran mata pelajaran pendidikan Islam. Selain daripada itu kementerian itu turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk akhbar IFUtusan MelayuNF dan IFUtusan ZamanNF bagi meningkatkan lagi penggunaan tulisan jawi di kalangan rakyat. Malah, kata Mahadzir, penganjuran pertandingan tulisan khat jawi juga akan di pertingkatkan di samping menggalakkan penulisan iklan-iklan dengan menggunakan tulisan tersebut.

Jadi, perkembangan tulisan jawi kini tidak boleh lagi di dikategorikan sesuatu yang rendah martabatnya, apa lagi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) sudah pun menghasilkan Quran Braille Jawi Berkomputer yang pertama di negara ini.

Ini tentunya sebahagian lagi daripada usaha merangsang ilmu, khasnya kepada golongan kurang upaya penglihatan bagi memudahkan mereka mempelajari dan membaca jawi selain ayat suci al-Quran.

Biar apa pun, langkah beberapa buah sekolah untuk menubuhkan Kelab Tulisan Jawi (Kewi) adalah suatu lagi usaha memperkuatkan kelab sahabat Utusan Melayu yang sudah wujud di banyak buah sekolah di seluruh negara. Apa lagi kebelakangan ini, ramai mengharapkan tulisan jawi tidak lagi menghangatkan seminar-seminar, bengkel-bengkel dan perdebatan di media massa, tapi perlu diberi pengiktirafan.

Berbalik kepada peranan Penjawim untuk memertabatkan tulisan jawi sama status dan fungsinya dengan tulisan rumi, adalah wajar dikumpul dan disatukan golongan peminat, penulis dan pengguna tulisan jawi di seluruh Malaysia. Dalam masa yang sama, usaha untuk menggalak serta mengembangkan penggunaan tulisan jawi dalam segala urusan dan kehidupan harian dalam semua bidang dan institusi perlu dipertingkatkan.

Tentunya dengan komitmen Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad dan disokong oleh timbalannya, Datuk Aziz Shamsuddin tulisan jawi tidak lagi di pinggirkan. Apa tidaknya, mereka yang terlibat dalam soal dasar ini sudah memberi jaminan untuk mendaulat dan memertabatkan tulisan jawi supaya di laksanakan di sekolah-sekolah dalam tempoh terdekat ini.

Yang jelas, Kementerian Pendidikan sudah membuat cadangan untuk mewajibkan para pelajar menggunakan tulisan jawi bagi menjawab kertas peperiksaan pendidikan Islam dan diikuti dengan beberapa cadangan lain termasuk menjadikan tulisan jawi sebagai satu mata pelajaran berasingan. Oleh itu, sesuatu perlu dibuat supaya tidak berulang lagi kisah tahun 1950-an, bila hanya tinggal 35% sahaja buku-buku sekolah Melayu ditulis dengan jawi sedangkan 65% lagi ditulis dengan rumi.

Kita tidak mahu lagi buku-buku agama termasuk surah-surah dalam al-Quran seperti Yasin atau ayat Kursi misalnya di tulisan rumi sahaja sedangkan yang sepatutnya ditulis huruf jawi al-Quran.

Oleh itu, perjuangan mendaulatkan tulisan jawi perlu mempunyai sikap positif dan optimistik daripada semua pihak dengan mengenal pasti organisasi, institusi atau orang perseorangan yang berpotensi yang boleh berusaha menyemarakkan semula tulisan jawi di rantau ini.

Kita cukup gembira kerana selain dari Penjawim, ada pihak yang mahu mengambil inisiatif memertabatkan tulisan jawi bukan setakat dalam negara atau di peringkat nasional, malah menjangkau lebih jauh hingga ke seluruh nusantara dan antarabangsa. Yang lebih menarik lagi, usaha murni ini dianjurkan oleh sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sekali gus melibatkan diri dalam mendaulatkan bahasa ibunda.

Inisiatif Jabatan Pengajian Melayu Pusat Bahasa, UiTM Shah Alam untuk menganjurkan Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu Alaf Baru 'Ke arah mensejagatkan pengajian, pendidikan dan penyelidikan bahasa Melayu' selama lima hari bermula 25 September depan itu perlu di puji. Paling menarik lagi, dalam seminar antarabangsa itu sekurang-kurangnya 10 kertas kerja mengenai tulisan jawi daripada pelbagai bidang termasuk aspek pengajaran, pendidikan, penyelidikan dan pengajian akan di bentangkan.

Pengerusi jawatankuasa kertas kerja seminar itu, Che Siah Che Man mempunyai keyakinan amat tinggi dalam masa terdekat ini, tulisan jawi dapat memainkan peranan penting dalam semua bidang termasuk pendidikan.

Malah tulisan jawi kini sudah mampu digunakan sebagai perantaraan ilmu termasuk ilmu sains kerana tulisan ini tetap aktif menerima perubahan dari segi ejaan dan penambahan huruf-huruf yang diperlukan.

Ini penting kerana tulisan jawi mempunyai kaitan yang luas ke arah mensejagatkan pengajian, pendidikan dan penyelidikan bahasa Melayu yang menjadi tema kepada seminar bertaraf antarabangsa ini.

Dengan ini, secara tidak langsung kertas kerja mengenai tulisan jawi ini amat penting kepada seminar seumpama ini, apa lagi ia akan dibentangkan oleh ahli bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara. Ini meliputi pengajaran dan pembelajaran oleh mereka yang terdiri dari pengamal bahasa Melayu daripada pelbagai bidang khusus dan aktivis bahasa Melayu dari dalam dan luar dunia Melayu.

Sesungguhnya seminar ini boleh dijadikan platform kepada para pemikir, ilmuan, cendekiawan, pendidik dan pengamal bahasa Melayu sedunia menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan pengajian, pendidikan dan penyelidikan bahasa Melayu. Biar apa pun, kita tunggu apa kata Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdullah yang akan memberi ucap dasar pada seminar yang pertama kali di adakan di rantau ini.

Ini akan diikuti pula dengan ucap utama oleh tiga orang pakar pendidik yang tidak asing lagi iaitu Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (Pengajian Bahasa Melayu), Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad (Pendidikan Bahasa Melayu) dan Prof. Datuk Dr. Hajjah Asmah Haji Omar (Penyelidikan Bahasa Melayu).

Ketua Pusat Bahasa, Dr. Syed Omar M. Mashor dalam surat siaran kepada pembentang kertas kerja dan peserta turut menggariskan tentang seminar ini yang memfokuskan kepada empat objektif utama:

pi9016 Untuk mempertemukan pemikir, ilmuwan, cendekiawan, pendidik, penyelidik dan pengamal bahasa Melayu bagi menjalankan penyelidikan dan projek yang relevan dengan alaf baru;

pi9016 Untuk menjana minda para pemikir, ilmuwan, cendekiawan, pendidik, penyelidik dan pengamal bahasa Melau bagi menjalankan penyelidikan dan projek yang relevan dengan alaf baru;

pi9016 Untuk mengenal pasti bidang-bidang pendidikan dan pengajian bahasa Melayu yang memerlukan penyelidikan dalam usaha memperkaya dokumen dan bahan penyelidikan;

pi9016 Untuk mendaulatkan keutuhan pendidikan dan pengajian bahasa Melayu diperingkat antarabangsa bagi mensejagatkan bidang pendidikan dan pengajian bahasa Melayu secara profesional dan untuk memberi nilai ekonomi kepada bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Ini juga adalah selaras dengan keupayaan, kemampuan, kesediaan dan keterampilan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu yang telah pun terbukti memainkan peranan penting di rantau ini.

Di peringkat nasional pula dari semasa ke semasa pemantapan terhadap pengajian dan pendidikan bahasa Melayu biasanya telah dilaksanakan oleh berbagai pihak sama ada melalui bengkel, kursus, seminar, kolokium atau konvensyen. Begitu juga diperingkat antarabangsa, pengajian bahasa Melayu dan pengajaran serta pembelajaran bahasa Melayu sebenarnya telah pun bertapak di beberapa buah universiti terkemuka di dunia.

Oleh itu, tentunya, seminar seumpama ini amat wajar diadakan pada masa kini sejajar dengan era globalisasi dan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui medan akademik.

Pada masa yang sama, inilah salah satu usaha untuk mengembangkan pencapaian tulisan jawi, khususnya bahasa Melayu di rantau ini demi memperkukuhkannya bermula di peringkat pendidikan rendah lagi.

Yang tentunya menjadi kebangsaan kita, tulisan jawi berbahasa Melayu nanti dapat ditelusuri melalui wadah-wadah penyelidikan dan muzakarah ilmiah dan profesional serta bertaraf antarabangsa.

Jadi, pada warga Utusan Melayu (M) Berhad, tentunya sentiasa mengalu-ngalukan dan turut memberi sokongan padu supaya seminar ini membuahkan natijah dan hasil baik bagi menambahkan pengedaran akhbar bertulisan jawi, harian Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Dan ini secara tidak langsung membolehkan para pemikir, ilmuwan, cendekiawan, pendidik, penyelidik dan pengamal bahasa Melayu sedunia sebagai platform untuk menyampaikan maklumat terkini.

Ini termasuklah berhubung isu penyelidikan, pendidikan dan pengajian bahasa Melayu khususnya dalam tulisan jawi di pusat-pusat atau institusi pengajian tinggi negara masing-masing. Sehubungan ini, diharap seminar ini dapat mengumpulkan banyak maklumat mengenai kaedah-kaedah penyelidikan yang dibentuk daripada ramuan-ramuan hipotesis dan teori-teori baru.

Dengan ini membolehkan ia dimanfaatkan oleh para cendekiawan dan pendidik bahasa Malayu tempatan dan di seluruh dunia untuk meneruskan penyelidikan mengenai manuskrip tulisan jawi dan bahasa Melayu di luar negara. Pada masa yang sama, tentunya melalui seminar seumpama ini boleh mensejagatkan pengajian, pendidikan dan penyelidikan bahasa Melayu kerana skop kertas kerja dibahagikan kepada tiga bidang berkaitan selaras dengan usaha ke arah menjuruskan perkembangan tulisan jawi.

Daripada apa yang diketahui pengajian bahasa Melayu ini meliputi jawi, etimologi, sejarah bahasa Melayu, linguistik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik atau pragmatik, analisis wacana, sosiolinguistik, stilistik dan retorik. Dengan adanya pertemuan peminat dan pencinta tulisan jawi ini diharap tulisan jawi tidak lagi di pinggirkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.