saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 29/07/2000

'Along pernah ucap setakat cium sahaja'

SEREMBAN 28 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu bahawa penyanyi kumpulan Spoon, Sabi'ul Malik atau Along pernah memberitahu Lans Koperal Mohd. Ya'cob Demyati mengenai perhubungannya dengan isteri tertuduh yang hanya 'setakat cium sahaja.'

Perkara itu ditimbulkan oleh seorang saksi utama, Lans Koperal Mohd. Fadzli Mohd. Yatim, 33, yang bertugas sebagai petugas am di Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Menurut Mohd. Fadzli, dia mendengar perbualan antara tertuduh dan Along ketika mereka bertiga dalam perjalanan dengan sebuah kereta dari bangunan Wisma Tani, Kuala Lumpur ke Kuala Klawang, Jelebu pada malam 25 Disember tahun lalu.

Menurutnya, selepas itu dia terdengar bunyi orang ditampar di kepala beberapa kali dan kemudiannya mendengar suara Along meminta maaf.

''Selepas jawapan (setakat cium sahaja) daripada Along, saya dengar orang ditampar beberapa kali diikuti oleh kata-kata minta maaf daripada Along,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah, dalam prosiding hari keempat perbicaraan Mohd. Ya'cob, atas tuduhan membunuh Along dan perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Muhamad Ideres Muhamad Rapee.

Mohd. Ya'cob yang bertugas sebagai pengawal pengiring dituduh membunuh Along di tepi jalan Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada pukul 1 pagi pada 26 Disember tahun lalu.

Tertuduh yang beralamat di 52-1-11, Kelompok Cempaka, Taman Keramat Wangsa, Kuala Lumpur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, anggota polis terbabit memberitahu mahkamah, tertuduh telah menghubunginya pada pukul 8.30 malam pada 25 Disember tahun lalu ketika dia sedang bertugas di Istana Selangor dan memintanya datang ke Lorong 3 Pandan Jaya kerana ada hal mustahak.

Katanya, selepas menerima panggilan dia telah menaiki kereta Proton Saga berwarna coklat gelap untuk berjumpa dengan Mohd. Ya'cob.

Saksi ke-13 itu memberitahu, Mohd. Ya'cob yang berdiri di tepi jalan tersebut terus menaiki keretanya serta duduk di sebelah pemandu dan pergi ke pasar malam.

''Selepas itu, Ya'cob telah meminta saya ke Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya dan kemudiannya dia menunjuk sebuah kereta berwarna merah yang berada di petak meletak kereta kira-kira 50 meter dari kereta saya.

''Ya'cob memberitahu saya bahawa kereta merah itu kepunyaan penyanyi kumpulan Spoon, Along,'' ujarnya.

Dalam perbualan mereka, saksi berkata, tertuduh ada mengesyaki isterinya telah keluar dengan Along dan mengajak dia menunggu di situ kira-kira 20 minit untuk kepastian.

Semasa di dalam kereta, tambahnya, tertuduh memberitahunya dia ada masalah rumah tangga dan isterinya selalu keluar rumah serta balik lewat.

Tertuduh juga memberitahu yang isterinya telah tinggal di rumah mertuanya di Cheras Baru.

Ketika berbual, katanya, sebuah kereta Proton Wira biru melintasi jalan tersebut dan Ya'cob memberitahu kereta tersebut dipandu oleh isterinya selepas menurunkan Along di belakang kereta penyanyi berkenaan.

''Kira-kira lima minit kemudian saya nampak kereta merah melintasi kereta saya dari arah kiri ke kanan dalam kadar kelajuan biasa dan tiba-tiba Ya'cob beritahu saya 'OK jalan','' ujarnya.

Beliau memberitahu mahkamah, dalam perjalanan ke Jalan 3, Mohd. Ya'cob ternampak kereta Along semasa melintasi Jalan 3/9 dan mengarahkannya supaya berpatah balik kerana tertuduh ingin mengenal pasti kereta yang dilihatnya.

Katanya, Mohd. Ya'cob keluar dari kereta sebaik sahaja sampai ke tempat berkenaan dan datang semula dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai penyanyi kumpulan Spoon iaitu Along sebelum masuk dan duduk di belakang kereta.

Mohd Fadzli menambah, tertuduh kemudian memintanya menuju ke Kuala Klawang melalui Pekan Batu 9, Hulu Langat sehingga sampai ke satu tiang yang dipacakkan di tepi jalan bertanda 28.

''Ya'cob kemudiannya mengarahkan saya pandu dua hingga tiga kilometer ke hadapan dan kedua-dua mereka turun dari kereta lalu ke belakang keretanya.

''Ya'cob telah meminta saya tinggalkan mereka berdua di situ dan datang selepas 30 hingga 45 minit kemudian. Pada ketika itu jam menunjukkan pukul 12.50 malam,'' katanya.

Selepas tempoh masa itu, saksi memberitahu, dia ke tempat tersebut semula dan mendapati hanya Mohd. Ya'cob sahaja berdiri di sebelah kanan jalan dan Along tidak ada bersamanya.

''Sebaik sahaja memberhentikan kereta, Ya'cob masuk lalu saya bertanya kepadanya di mana Along dan dia menjawab balik, biarkanlah dia,'' ujarnya,

Ketika menjawab soalan Othman, Mohd Fadzli memberitahu, pada malam tersebut Along memakai baju T dan seluar jean berwarna gelap dan Mohd. Ya'cob memakai jaket hitam dan seluar jean berwarna gelap.

Anggota polis itu berkata, dia pernah berjumpa dengan tertuduh di pejabat selepas membaca tentang berita penculikan Along dalam sebuah surat khabar berbahasa Melayu.

''Saya tanya kepada beliau dan beliau tidak memberi jawapan dan hanya beritahu (jika terjadi) apa-apa hal, saya bertanggungjawab,'' katanya.

Mohd. Fadzli juga memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah diminta melakukan pemerhatian terhadap Salina pada awal tahun 1999 di kawasan Pekeliling (Kuala Lumpur).

''Semasa itu, saya nampak isteri Ya'cob bersama seorang lelaki, setelah ditunjukkan pada majalah hiburan, saya pasti lelaki itu Along.

''Saya melihat mereka pada pukul 9 malam ketika mereka di dalam kereta yang sedang bergerak di kawasan Hotel Vistana,'' ujarnya.

Perbicaraan disambung pada 31 Julai ini.

Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.