saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/08/2000

''Saya sengaja tidak difahami''


MENURUT Abdul Ghani, isu KPRJ adalah kompleks dan dia memerlukan whiteboard untuk memberi penjelasan. Itulah yang dilakukannya dalam interviu dengan Baharom Mahusin, Zulkifli Hamzah dan Mir Azri di Johor Bahru Jumaat lalu. - Foto Raja Jaafar Raja Ali.


MUKADIMAH
MENTERI Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menjadi tumpuan beberapa hari lalu apabila dia mengumumkan kerugian terkumpul Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebanyak RM426 juta sehingga akhir tahun lalu.

Beberapa pihak mengkritik Abdul Ghani dengan mendakwa penubuhan KPRJ merupakan satu kesilapan besar. Hutang itu adalah buktinya, kata mereka.

Dalam satu interviu di pejabatnya di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Abdul Ghani memberikan penjelasan panjang lebar mengenai KPRJ kepada wartawan BAHAROM MAHUSIN, ZULKIFLI HAMZAH dan MIR AZRI SAHARUDDIN.

Dia juga bercakap mengenai Johor dan Singapura, dan cerita yang lebih ingin diketahui orang iaitu hubungannya dengan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Ghani dan Muhyiddin belajar dalam kelas yang sama di Sekolah Tinggi Muar pada tahun 1966, dan orang yang menganalisis politik kontemporari perlu mengkaji sejarah peribadi itu untuk memahami suasana politik Johor hari ini.

Sebelum pemilihan UMNO Mei lalu, Muhyiddin menuduh Abdul Ghani menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk mensabotaj pencalonannya dalam pemilihan UMNO - satu tuduhan yang dinafikan oleh Abdul Ghani.

Ditakdirkan Tuhan, Muhyiddin menang pemilihan Naib Presiden. Abdul Ghani pula hanya menduduki tempat ketujuh.

Dalam interviu selama dua jam, Abdul Ghani tidak dapat lari daripada menjawab soalan-soalan berhubung isu ini, dan dia nampaknya begitu cermat ketika mengupas hubungan dengan bekas rakan sekolahnya itu.

MINGGUAN: Apakah yang menyebabkan kerajaan Johor menu-buhkan KPRJ?

GHANI: Perkara yang mendesak di Johor ialah pembangunan kemudahan asas.

Di antara isu penting dalam pilihan raya umum 1995 ialah jalan kampung. Ketika itu terdapat kira-kira 2,000 kilometer jalan kampung di Johor yang masih lagi dalam kategori jalan merah. Ia mencakupi hampir 1,000 batang jalan di 600 buah kampung di seluruh Johor.

Pada pilihan raya umum 1995 kita sudah pun merdeka selama 40 tahun. Pada tahun itu di kawasan saya di Muar, antara isu yang agak besar ialah jalan kampung.

Dalam setahun kita dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat tidak lebih RM8 juta untuk membina jalan kampung. Saya datang dari Muar. Berdasarkan peruntukan Kerajaan Pusat, paling banyak Muar boleh dapat ialah RM1 juta dan peruntukan itu pula terpaksa dibahagi antara empat kawasan Parlimen dalam daerah Muar. Cuba saudara bayangkan empat buah kawasan Parlimen berkongsi RM1 juta untuk membina jalan kampung.

Berdasarkan perkiraan ini, kita memerlukan dekat-dekat RM200 juta untuk melaksanakan projek jalan kampung di seluruh Johor. Kalau kita dapat peruntukan katakan RM10 juta setahun, bermakna kita perlukan 20 tahun untuk membina kesemua jalan kampung.

Adakah itu sahaja masalah pembangunan di Johor?

GHANI: Jalan kampung hanyalah satu daripada beberapa kekurangan. Dalam kajian kita minta semua pegawai daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) senaraikan kampung dan bilangan pemohon rumah.

Ketika saya baru-baru menjadi Menteri Besar pada tahun 1995, saya mendapat senarai lebih kurang 40,000 penduduk ''rumah rakyat'' di Johor Bahru yang mendaftar untuk memiliki rumah murah di Johor Bahru sahaja. Berdasarkan bilangan itu, saya berpendapat kerajaan negeri perlu memberi penekanan kepada usaha membina seberapa banyak rumah murah.

Pembangunan rumah murah di Johor ini terbahagi kepada dua. Pertama, swasta yang disyaratkan membina rumah murah. Kedua, ialah projek rumah murah yang dibina di atas tanah kerajaan.

Kita berpendapat kerajaan juga memerlukan komitmen untuk membina rumah di Johor Bahru. Oleh itu, kerajaan perlu mencari tanahnya sendiri di daerah Johor Bahru untuk membina rumah murah bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh 40,000 buah keluarga itu.

Selain masalah jalan kampung dan rumah murah, kita juga ingin membina 40 buah perpustakaan di kampung-kampung yang juga boleh dijadikan pusat teknologi maklumat.

Dalam hal membina, membaik pulih masjid dan membesarkan masjid, selama ini tidak ada peruntukan khusus untuk tujuan tersebut sekian lama. Dan selalunya kerajaan negeri terpaksa meminta bantuan Kerajaan Pusat untuk membina masjid dalam bentuk menampung peruntukan kerajaan negeri yang tidak cukup.

Ataupun, dalam kes masjid di Kampung Datuk Onn, orang Singapura derma satu juta, maka kita kena tambah untuk meneruskan projek itu.

Jadi, tidak ada peruntukan khusus sedangkan mengikut JKR dan Jabatan Agama ada lebih 100 buah masjid di seluruh Johor perlu dibesarkan atau dibina baru. Untuk projek ini sahaja kita memerlukan RM100 juta.

Mengapa semua projek infrastruktur itu tidak boleh dibina menggunakan sistem lama iaitu sistem se-belum Datuk menjadi Menteri Besar?

GHANI: Untuk makluman saudara, hasil kerajaan negeri tidak sampai RM500 juta setahun. Belanjawan kerajaan negeri setiap tahun pun ngam-ngam. Kalau ada lebih pun, mungkin dalam terkumpul. Tetapi kalau saudara kata ada lebihan sampai RM100 juta atau RM50 juta, memang kami tidak ada.

Memang ada lebihan tetapi ia hanyalah RM3 juta atau RM5 juta. Kalau misalnya kita hendak bina kemudahan kerajaan elektronik yang menghubungkan seluruh jabatan dan agensi kerajaan negeri, bagaimanakah kita hendak mulakannya.

Ini belum diambil kira projek-projek infrastruktur yang saya jelaskan kepada saudara pada awal tadi.

Apa yang saudara perlu ingat ialah dalam pertimbangan saya, pembinaan jalan kampung perlu disiapkan dalam tempoh 3-4 tahun ini sebelum pilihan raya akan datang.

Kerana kekurangan-kekurangan inilah saya menubuhkan KPRJ (dengan modal berbayar RM1 juta pada 1995) iaitu untuk memesatkan pembangunan infrastruktur supaya penduduk kampung diberi perhatian, setinggan dan mereka yang tidak berumah dibela, keadilan ditegakkan dan membangunkan syiar Islam. Inilah agendanya, dan dalam melaksanakan agenda ini kita berhadapan dengan sumber kerajaan negeri yang tidak cukup.

Kalau jalan kampung sahaja cuba anda bayangkan saya kena tunggu 20 tahun. Kalau saya masuk kampung sebagai Menteri Besar, bila rakyat tanya saya pasal jalan saya kata insya-Allah kerana saya tahu jalan itu mungkin dibina di antara lima tahun pertama, atau kerana kekurangan sumber ia akan dibina 10 atau 20 tahun kemudian. Saya tahu bahawa kita tidak mampu.

Jadi, saya perlu mengambil langkah bagaimana kita dapat membantu kerajaan negeri menyelesaikan perkara ini dalam jangka masa yang agak lebih singkat secara merata dan adil di samping itu memperkukuhkan parti kita dengan sokongan yang kita raih daripada pembinaan kemudahan asas itu tadi.

Saya menemui jawapannya iaitu KPRJ.

Bagaimana KPRJ beroperasi?

GHANI: Kerajaan negeri tidak mampu tetapi kita mempunyai tanah. Kalau kerajaan ada sekeping tanah yang boleh dibangunkan, satu pendekatan yang biasa dibuat sebelum ini ialah memberikannya kepada pihak ketiga iaitu diswastakan.

Dalam kes KPRJ, kita mengambil pendekatan mengapa tidak diserahkan sahaja tanah itu kepada satu syarikat milik kerajaan yang akan membangunkan tanah itu bersama rakan kongsinya supaya syarikat kerajaan mendapat nilai tambah, supaya kerajaan turut memperoleh keuntungan.

Matlamat KPRJ ialah untuk menyelesaikan kesempitan kewangan dan cara kerja yang lambat menggunakan sistem lama. Masalahnya mengapa begitu banyak bantahan termasuk di kalangan sesetengah pemimpin UMNO Johor sendiri?

GHANI: Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi saya akan cuba terangkan. Matlamat KPRJ dari segi politik memang tepat kerana melalui syarikat ini kita mempertahankan sokongan orang kampung, dan kita bela nasib mereka.

Bagaimanapun untuk mengurniakan tanah kerajaan negeri kepada KPRJ, ia mengambil masa setahun dua sebelum projek boleh dimulakan. Kemudian untuk melaksanakan semua projek itu, KPRJ memerlukan pinjaman bank dengan mencagarkan tanah yang dikurniakan.

Kejayaan KPRJ yang paling ketara dalam tempoh tiga tahun lalu ialah kita telah dapat membina 1,732 kilometer jalan kampung di lapan buah daerah di Johor bernilai antara RM140 juta dan RM160 juta. Apa yang sepatutnya dicapai dalam tempoh 20 tahun, kita dapat siapkan dalam tempoh tiga tahun.

Kira-kira 946 kilometer jalan itu dibina oleh 153 kontraktor bumiputera di Johor yang terpilih melalui undi pejabat-pejabat daerah. Cuba anda bayangkan bantuan yang telah diberi oleh KPRJ kepada kontraktor-kontraktor itu semasa kegawatan ekonomi. Ini faedah yang penduduk kampung di Johor dapat dan ini faedah yang usahawan-usahawan Melayu dapat.

Menggunakan pinjaman yang diperoleh oleh KPRJ daripada bank-bank, kemudian kita mulakan kerajaan elektronik yang membangunkan intranet menghubungkan pejabat saya dengan jabatan-jabatan kerajaan negeri di semua daerah.

Kita juga telah membaik pulih 71 buah masjid, membina semula tiga buah masjid dan membina 10,000 unit rumah murah. KPRJ telah membina sebuah perpustaka-an, tetapi bila kita hendak teruskan kita tidak mampu kerana kegawatan ekonomi.

Bagaimanapun, ketika kita berusaha membangunkan tanah kerajaan di Danga Bay dengan tujuan untuk membayar pinjaman yang dibuat oleh KPRJ, pasaran tidak membenarkan. Cuba saudara bayangkan: KPRJ mula merancang pada 1995, mula bekerja 1996 dan kegawatan ekonomi bermula pada bulan September 1997.

KPRJ jadi mangsa keadaan. Memang siapa pun tidak boleh mulakan projek, kita tidak ada pilihan: Pasaran tidak membenarkan, kemudahan pinjaman tak ada, kadar faedah pun melambung tinggi. Maka kita tertangguh membangunkan tanah yang kerajaan kurniakan kepada KPRJ untuk tujuan membayar pinjaman bank.

Di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini Datuk memberitahu bahawa pada hujung tahun lalu KPRJ berhutang sebanyak RM426 juta. Apa sebenarnya yang berlaku?

GHANI: Dalam jawapan bertulis saya kepada Yang Berhormat Mohamad Kasbi (BN-Tanjung Puteri) di Dewan Undangan Negeri, saya kata apabila keadaan ekonomi pulih pada pertengahan tahun ini, hutang KPRJ dapat diselesaikan.

Penyelesaiannya ialah kawasan seluas 400 hektar milik KPRJ di Danga dapat dimajukan melalui perkongsian dengan syarikat Pembinaan Limbongan Setia (PLS). Menggunakan perkongsian itu, daripada RM426 juta hutang KPRJ kepada bank - yang dananya digunakan untuk membina jalan kampung, rumah murah, menyelenggara masjid dan perpustakaan - PLS mengambil alih RM160 juta hutang KPRJ. Dengan eksesais itu, hutang KPRJ hanya tinggal RM266 juta.

Dalam PLS, KPRJ mempunyai 25 peratus kepentingan bernilai RM55 juta yang memberikan kita pulangan dalam bentuk dividen dan faedah pelaburan jangka panjang. Jadi perkembangan KPRJ bukan hanya empat lima tahun. Saya mempunyai harapan daripada tanah yang dikurniakan oleh kerajaan kepada KPRJ, ia memberikan KPRJ keupayaan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Orang tidak begitu faham mengapa faktor jalan kampung menjadi begitu penting kepada politik?

GHANI: Saudara fikirlah, kita sudah merdeka lebih 40 tahun. Sebagai wakil rakyat, apabila saya pergi ke kampung-kampung, orang bertanya takkan kita sudah merdeka 40 tahun jalan kampung kami masih tidak dibina.

Sekarang dengan sumbangan KPRJ, soal jalan kampung tidak berbangkit lagi. Isu jalan kampung pada umumnya telah selesai di Johor. Dulu sebagai wakil rakyat saya hanya dapat berjanji membantu mereka. Selepas ada KPRJ saya tahu bahawa semua itu dapat diselesaikan lebih cepat.

Alhamdulillah, rasa saya inilah di antara faktor yang menyebabkan orang kampung di Johor memberi sokongan kepada kerajaan. Saya tidak kata orang kampung akan tolak UMNO jika jalan tidak dibina tetapi sekurang-kurangnya mereka berterima kasih kepada kerajaan kerana jalan merah telah jadi tar.

Tetapi Datuk, yang menjadi kebimbangan banyak pihak ialah apabila satu syarikat kerajaan negeri yang baru ditubuhkan empat tahun sudah mempunyai nilai hutang terkumpul RM426 juta. Wujud kebimbangan adakah syarikat ini mengalami progres yang betul?

GHANI: KPRJ telah memberi banyak faedah kepada rakyat biasa, kepada kontraktor-kontraktor Melayu. Orang yang dapat faedah diam sahaja.

Okey, mengenai masalah hutang saya telah jelaskan bahawa jika keadaan pasaran mengizinkan dan hartanah KPRJ boleh dibangunkan, masalah hutang ini akan selesai. Sekarang baru pasaran hendak pulih pada pertengahan tahun 2000, dan kita telahpun dapat bayar RM160 juta daripada RM426 juta hutang KPRJ. Suasana ekonomi semakin baik.

Kalau saudara datang jumpa saya untuk interviu ini lapan bulan lebih awal, saya tidak boleh jelaskan. Tetapi kerana keadaan ekonomi sudah pulih, saya boleh jelaskan. Saudara timbulkan soal hutang, saya faham. Tetapi cubalah saudara bayangkan kalau tidak ada kegawatan. KPRJ memang ditakdirkan terpaksa menghadapi kegawatan ekonomi. Tanah milik KPRJ yang dulu bernilai RM70 satu kaki persegi merosot harganya.

Tentang baki hutang KPRJ sebanyak RM266 juta, apakah bentuk penyelesaiannya?

GHANI: Saya bercadang untuk melaksanakan tiga projek besar pembangunan di tanah-tanah pinggir sungai yang dimiliki oleh KPRJ. Tiga projek itu ialah projek hartanah di Sungai Luncu, Sungai Kim-Kim dan Sungai Tebrau-Plentong.

Sungai Tebrau-Plentong paling menarik. Di sepanjang sungai itu ada lebih kurang 6,000 keluarga setinggan. Pembangunan KPRJ di kawasan itu akan menempatkan semula keluarga setinggan dan membolehkan mereka memiliki rumah sendiri. Saya percaya pulangan daripada tiga projek ini akan membantu KPRJ membayar hutangnya.

Harapan Datuk melalui KPRJ begitu baik, tetapi mengapa Datuk terus dikritik. Apa tujuan tersembunyi kumpulan yang mengkritik?

GHANI: Saya rasa saudara tentu boleh mentafsirkan tujuan mereka.

Oh, kami tidak dapat membuat tafsiran. Kami datang dari Kuala Lumpur. Datuk yang berada di Johor tentu lebih tahu?

GHANI: Orang Kuala Lumpur kata KPRJ sudah kucar-kacir. Tujuan saya menubuhkan KPRJ kerana ada agenda luar bandar, ada agenda keadilan. Saya hendak menyelesaikan masalah pembangunan negeri ini dengan cara berani tetapi kreatif. Dalam melaksanakan agenda itu, KPRJ terpaksa berhutang tetapi saya tidak gunakan duit kerajaan negeri untuk bayar hutang KPRJ. Saya tidak sentuh pun.

Adakah tepat jika kami membuat kesimpulan bahawa kecaman terhadap Datuk dalam kes KPRJ ini ada kaitan dengan politik di peringkat negeri? Ia mungkin lebih berbentuk peribadi.

GHANI: Okey, saudara tanya saya hal ini. Macam inilah. Ada satu hamba Allah bekas wakil rakyat, dia panggil kawan dia: Mari kita jatuhkan Ghani. Kenapa perlu jatuhkan Ghani? Kerana dia (Ghani) gadai tanah kerajaan. Tetapi dia tidak faham saya menggunakan cara yang berani bagi membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Orang ini mengkritik saya, tetapi cuba saudara tanya orang kampung, mereka gembira kerana mereka dapat jalan baru dan masjid.

Tidakkah Datuk terfikir bahawa Datuk tidak difahami?

GHANI: Saya berpendapat begini. Ada kalangan orang yang sengaja tidak mahu faham.

Tidak hendak faham? Siapa orangnya?

GHANI: Okeylah. KPRJ sebenarnya dapat headline dalam Utusan. Minggu ini Utusan masuk beritanya di muka dua, sebelum ini KPRJ menjadi tajuk besar di muka satu. Saya terima itu sebagai hak akhbar memilih berita mana yang ia hendak perbesarkan. Jadi hari ini saya berterima kasih sekurang-kurangnya saudara beri saya peluang menjelaskannya.

Kalau saudara tanya saya hal ini, saya akan kata bahawa ada orang yang mungkin tidak mahu faham. Mungkin mereka tidak dapat maklumat tepat, atau mereka tidak suka satu-satu maklumat dan memilih untuk memakai maklumat lain.

KPRJ ditubuhkan ketika Datuk ambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan jawatan Menteri Besar bukan untuk selamanya. Tidakkah Datuk terfikir selepas Datuk berundur, ada orang akan ubah KPRJ balik kepada sistem lama?

GHANI: Memang ada kemungkinan tetapi sekurang-kurangnya saya cuba menyempurnakan satu matlamat yang saya fikirkan baik untuk kerajaan negeri, parti dan agenda Melayu di Johor.

Inilah antara apa yang telah saya buat. Bila saya hendak berhenti, sekurang-kurangnya saya telah selesaikan masalah pembangunan ini. Saya telah tinggalkan satu mekanisme yang saya fikir baik dan terpulang kepada sesiapa untuk merombaknya tetapi sekurang-kurangnya saya telah berusaha. Secara peribadi saya berpendapat isu KPRJ ini bukan isu besar bagi rakyat Johor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.