saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 11/08/2000

Saya difitnah - Abu Hassan -- Ada pihak tohmah beliau punyai anak luar nikah dengan adik ipar


ABU HASSAN Omar bersama isterinya, Wan Nor Daud pada sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatannya di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM 10 Ogos - Datuk Seri Abu Hassan Omar yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor berkuat kuasa hari ini mendedahkan ada pihak cuba menjatuhkan beliau dalam politik termasuk membuat tohmahan menuduhnya mempunyai 'anak luar nikah' dengan adik iparnya sendiri.

''Sejak saya menjadi Menteri Besar, ada pihak yang tidak henti-henti menabur fitnah dengan mengada-adakan pelbagai isu yang mahu melihat saya tersungkur dari arena politik,'' katanya ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar di Bukit Megawati, di sini, lewat petang ini.

Antara isu-isu yang ditimbulkan, termasuklah soal belanja pengubahsuaian kediaman rasminya berjumlah RM5 juta, krisis air, masalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan yang paling menekan ialah mengenai isu surat layang yang menyentuh secara langsung peribadi dan keluarganya.

''Dalam kesemua hal ini, saya merasakan soal maruah keluarga saya lebih utama daripada segala-galanya. Saya tidak akan rugi apa-apa kerana saya telah berumur 60 tahun, jika saya meletakkan jawatan dalam politik yang telah pun berakhir di sini... tetapi masa depan saya dan keluarga lebih utama.

''Keputusan saya adalah muktamad,'' katanya dalam temu bual pertama selepas beliau membuat kejutan meletakkan jawatan itu hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menerima peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Badan Perhubungan UMNO Selangor pagi ini telah mengadakan mesyuarat tergempar di Bangunan UMNO Selangor di sini yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Mesyuarat itu telah bersetuju menerima peletakan jawatan Abu Hassan dan menyenaraikan 10 nama calon pengganti yang akan diserahkan kepada Dr. Mahathir esok.

Pengunduran Abu Hassan itu dikatakan berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan rakan-rakan rapat politik serta pegawai-pegawai kanannya terpinga-pinga.

Mereka tidak menjangka beliau akan membuat keputusan drastik berkenaan setelah isu demi isu yang dihadapinya telah dianggap selesai. Bagaimanapun Utusan dalam laporannya hari ini telah memetik satu sumber eksklusif yang menyatakan bahawa pengunduran itu dilakukan atas ''keputusan keluarga.''

Bagaimanapun, Abu Hassan berkata, beliau kini hanya Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor. Untuk jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, beliau berkata secara automatik jawatan itu juga turut dilepaskannya.

Semasa beliau membacakan kenyataan akhbarnya kepada pemberita tengah hari ini, beliau memberikan alasan kesihatan dan keluarga sebagai sebab peletakan jawatan itu.

''Demi menjaga kepentingan kesihatan saya dan seterusnya supaya mampu menumpukan lebih masa kepada isteri, anak-anak, cucu-cucu dan ahli keluarga, saya berpendapat bahawa adalah wajar saya meletakkan jawatan dengan secepat mungkin,'' katanya dalam kenyataan itu sambil menjelaskan dia pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1994.

Dalam temu bual berkenaan, beliau berkata, isu surat layang yang menuduh beliau mempunyai hubungan sulit dengan adik iparnya timbul sebelum Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang lepas.

Menurutnya, surat setebal 12 muka itu telah diedarkan kepada perwakilan sehingga menyebabkan beliau kalah dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

''Saya fikir semua ini akan berakhir setelah saya kalah, tetapi ia terus disebarkan ke seluruh negara, pejabat-pejabat kerajaan, UMNO Bahagian Kuala Selangor dan orang ramai.

''Malah ia juga telah dihantar dan disiarkan dalam akhbar Jawa Post di Indonesia,'' katanya yang kelihatan tenang sepanjang temu bual berkenaan.

Diminta menjelaskan perkara yang sebenar mengenai isu surat layang itu beliau berkata, sebenarnya adik ipar saya telah berkahwin dengan rakan karib saya seorang mualaf berketurunan Cina.

Secara kebetulan, kata beliau, rakan karibnya itu mempunyai nama yang sama dengan beliau iaitu Abu Hassan Tan Abdullah.

''Selepas mereka berkahwin mereka menamakan anak yang dilahirkan dengan bin yang sama dengan nama saya... anak itu kini sudah berusia 11 tahun.''

Kebetulan bin yang sama itu, tegas beliau, telah digunakan oleh beberapa pihak untuk membuat tohmahan bagi menjatuhkannya dengan mendakwa beliau adalah bapa kepada anak adik iparnya itu.

Ekoran isu yang dianggap keterlaluan itu, kata beliau keluarganya tidak dapat menerima tekanan tersebut.

''Inilah yang menyebabkan keluarga saya iaitu isteri dan anak-anak meminta saya berundur diri dari jawatan Menteri Besar... kami telah berbincang dan kemudian memutuskan saya harus meletakkan jawatan,'' katanya.

Isu surat layang itu, difahamkan turut disebarkan oleh musuh politiknya dari dalam parti selain pihak pembangkang yang membangkitkannya di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor tidak lama dulu.

Abu Hassan menjelaskan beliau tidak mahu mengheret keluarganya dalam tohmahan yang tidak berasas itu dengan membuat kenyataan umum mengenainya.

''Malah adik ipar saya dan suaminya (Abu Hassan Tan Abdullah) sedia tampil untuk membuat kenyataan akhbar bagi membersihkan nama saya... tapi saya rasa lebih baik saya hadapinya seorang,'' katanya.

Ditanya apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menerima hasrat peletakan jawatannya itu, Abu Hassan berkata:

''PM memberitahu, saya boleh membersihkan nama saya dengan mengadakan sidang akhbar dan mengemukakan bukti-bukti termasuk sijil nikah adik ipar dan suaminya, tapi sebagai orang Melayu perkara ini bukan senang hendak dilakukan kerana terpaksa mengheret seluruh keluarga yang akan menghancurkan kehidupan mereka walaupun mereka tidak bersalah,'' jelasnya.

Semalam semasa menemui Dr. Mahathir di Seri Perdana, Putrajaya, Abu Hassan yang ditemani oleh dua anak perempuannya serta Setiausaha Politik, Datuk Abdul Aziz Noh dan Ketua Unit Strategik dan Penyelidikan UMNO Selangor, Datuk Hanafi Suliman, Abu Hassan telah mengemukakan dokumen berkenaan sebagai bukti.

Mengenai penggantinya, Abu Hassan berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Dr. Mahathir bagi memilih calon yang terbaik menggantikannya.

Ditanya rancangannya selepas ini, beliau dengan tersenyum berkata:''Saya tumpu pada keluarga dan perkahwinan anak lelaki saya tak lama lagi... kira-kira pertengahan bulan ini.''

Sementara itu, anak perempuan sulungnya, Murni Nora berkata, peletakan jawatan bapanya itu adalah hasrat keluarga yang tidak mahu melihat beliau terus tertekan.

''Saya bangga dia akhirnya memenuhi hasrat keluarga kerana jadual kerjanya yang terlalu ketat boleh mengganggu kesihatannya,'' katanya di sini.

Murni Nora, anak sulung daripada lima beradik berkata, keluarganya akan memastikan bapa mereka mendapat rehat yang mencukupi.

''Ia menunjukkan, bapa saya sanggup melepaskan satu jawatan yang penting demi keluarga,'' katanya.

Mengenai tohmahan terhadap bapanya itu, Murni Nora berkata, keluarganya menganggap ia satu tuduhan yang tidak berasas.

Oleh: ZAINI HASSAN, AMIR SARIFUDDIN dan RADHUAN HASSAN

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.