saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/09/2000

Keranamu Malaysia semai keikhlasan

Oleh:ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
MALAYSIA hanyalah satu idea atau konsep yang digagaskan oleh Tunku Abdul Rahman bagi mewujudkan sebuah negara melalui gabungan Tanah Melayu dan bekas tanah-tanah jajahan Inggeris.

Tetapi konsep Malaysia ini apabila direalisasikan dalam bentuk sebuah negara yang berjaya, maka ternyata ia mendatangkan manfaat besar kepada penduduk negara ini.

Maka wajarlah tema Hari Kebangsaan tahun ini yang berbunyi Keranamu Malaysia akan mengingatkan rakyat negara ini bahawa segala kenikmatan yang kita peroleh di bumi bertuah ini adalah kerana kejayaan konsep Malaysia itu.

Secara rasmi Keranamu Malaysia memaparkan tanda kesyukuran, rasa terhutang budi dan bangga mengecapi kemajuan dan kemakmuran di negara ini. Seterusnya rakyat bertekad pula untuk meneruskan kecemerlangan ini di masa akan datang bagi mencapai Wawasan 2020.

Tahun ini juga secara rasmi, Hari Kebangsaan disambut dalam kerangka perayaan Bulan Kemerdekaan yang bermula dari 17 Ogos hingga 16 September 2000.

Walaupun Hari Kebangsaan adalah 31 Ogos tetapi sambutan yang dirayakan hingga 16 September memberi erti besar kepada konsep Malaysia itu sendiri kerana ia diwujudkan pada 16 September 1963 apabila Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak digabungkan.

Brunei yang pada awalnya dirancang untuk turut menyertai Malaysia telah menarik diri. Sementara Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Sememangnya sebagai entiti geografi, Malaysia meliputi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan batas sempadannya jelas.

Memang Malaysia hanyalah salah sebuah negara. Tetapi tidak semua negara di dunia ini berjaya.

Sekadar konsep kenegaraan, ia tidak menjamin kejayaan sedangkan keberkesanan sesebuah negara menjadi kunci kepada keamanan dan kemakmuran. Inilah istimewanya Malaysia. Negara ini memang sudah berjaya dan berkesan dalam memberi keamanan dan kemakmuran pada rakyatnya.

Memang benar seperti kata lirik lagu Keranamu Malaysia yang menyatakan bahawa rakyat mendapat tuah, berjaya, hidup selesa dan kemakmuran negara adalah Keranamu Malaysia.

Lagu rasmi Hari Kebangsaan tahun ini adalah ciptaan Pak Ngah dengan lirik oleh Siso Kopratasa yang menampilkan perubahan dalam persembahan lagu patriotik. Kalau dahulu, lagu-lagu patriotik adalah lebih kepada rentak semangat ketenteraan, kali ini lagu Keranamu Malaysia memberikan suasana ceria dan harapan indah bagi masa depan.

Tetapi apakah yang membuatkan konsep Malaysia berjaya berbanding dengan negara-negara lain?

Tentulah sekadar nama tidak menjamin kejayaan. Sebelum wujudnya Malaysia, nama ini digunakan oleh ahli-ahli akademik untuk merujuk keseluruhan kepulauan rumpun Melayu di Asia Tenggara - termasuk Filipina, Indonesia dan Tanah Melayu sendiri.

Tetapi Tunku Abdul Rahman telah menjadikan Malaysia sebagai nama rasmi bekas tanah-tanah jajahan Inggeris di Asia Tenggara.

Namun begitu kejayaan Malaysia terletak pada asas kenegaraan yang sudah dipakai oleh Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan Malaysia berasaskan kepada Perlembagaan Tanah Melayu, dan begitu juga dengan lambang-lambang negara termasuk Jalur Gemilang, lagu kebangsaan dan bunga kebangsaan adalah merupakan sambungan kepada apa yang digunakan oleh Persekutuan Tanah Melayu.

Negara Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 merupakan asas kepada kejayaan Malaysia. Sementara konsep Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1950 di atas keruntuhan gagasan Malayan Union yang ditolak oleh orang Melayu.

Gagasan Persekutuan Tanah Melayu dengan cara kepimpinan yang mengutamakan keamanan, keharmonian dan pembangunan merupakan asas kepada kejayaan Malaysia lebih 40 tahun kemudiannya.

Namun begitu, ciri utama gagasan Persekutuan Tanah Melayu terletak pada sifat negara yang mengiktiraf hak penduduknya untuk turut menikmati pembangunan. Ini bermakna orang Melayu dapat meneruskan tradisi pemerintahannya di samping mengajak pendatang yang menetap di negara ini untuk bersama menjadi warganegara.

Gagasan Persekutuan Tanah Melayu merupakan gagasan inovatif dan revolusioner. Ketika ia mengekalkan sistem beraja tetapi diubahsuai supaya berbentuk demokratik, dengan memberi jaminan peluang yang luas bagi semua rakyatnya tanpa mengira kaum.

Kalau Malayan Union mahu mengetepikan Raja-Raja Melayu dan meneruskan penjajahan British ke atas negeri-negeri Melayu, gagasan persekutuan itu memperakukan pemerintahan sendiri yang merintis kepada kemerdekaan. Musuh utama gagasan Persekutuan Tanah Melayu adalah pihak komunis yang melancarkan perjuangan bersenjata mulai tahun 1948.

Pihak komunis mendakwa Persekutuan Tanah Melayu hanyalah penjajahan bentuk baru British dan bukannya kemerdekaan seratus peratus. Memang Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1950 baru diisytiharkan merdeka tujuh tahun kemudian. Itupun kehadiran tentera British masih kuat dan pengundurannya dibuat secara berperingkat-peringkat. Sememangnya cara negara ini membuat suatu perkara berperingkat-peringkat bagi menjamin keamanan dan keberkesanan. Apa yang paling hendak dielakkan ialah pertumpahan darah.

Namun begitu, rancangan komunis adalah hendak menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah wilayah komunis yang pada hakikatnya tanah jajahan kepada negara komunis China.

Negara ini berjaya mengalahkan komunis apabila darurat diisytiharkan berakhir pada tahun 1960. Ternyata sistem demokrasi dan pasaran bebas yang diamalkan oleh Persekutuan Tanah Melayu memberikan keamanan dan kemakmuran. Lihatlah banyak negara Dunia Ketiga di Afrika dan Asia yang terpedaya dengan sistem sosialis dan komunis tetapi akhirnya ketinggalan dan terus berada dalam lubuk kemunduran.

Walaupun darurat berakhir, gerakan komunis di peringkat antarabangsa masih mengancam Tanah Melayu. Pada tahun-tahun 60-an, Asia Tenggara dilanda bahaya ini. Pihak komunis mara di Indo-China sementara gerila komunis di Thailand dan Filipina amat aktif. Indonesia di bawah pemerintahan Sukarno pula mempunyai pengaruh komunis yang kuat.

Di satu pihak, Indonesia mahu menguasai Sarawak dan Brunei sementara komunis menjadikan Singapura sebagai sasaran utamanya sebagai pengkalan untuk menguasai Tanah Melayu. Keadaan ketika itu amat genting dan Malaysia diwujudkan bagi menghalang sebarang peluasan pengaruh komunis. maka tidak hairanlah Indonesia yang berada di bawah pengaruh komunis ketika itu melancarkan konfrontasi. Sukarno menuduh Malaysia projek penjajahan bentuk baru, neo-kolonialisme.

Sedangkan Indonesia ketika itu sudah tunduk dengan kehendak komunis China.

Malaysia ketika itu menjadi benteng demokrasi dan pasaran bebas di Asia Tenggara dan melakukan apa saja bagi mempertahankan kemerdekaannya. Andainya Malaysia gagal, komunis akan dapat menguasai rantau ini dan kita akan menderita seperti apa yang ditanggung di Eropah Timur dan Asia Tengah.

Perpaduan rakyat Malaysia merupakan kekuatan utama mempertahankan negara ini daripada dimusnahkan oleh komunis. Walaupun terdapat ancaman perpecahan dalam negeri yang mengakibatkan terkeluarnya Singapura dari Malaysia, tetapi negara ini terus berjaya bertahan.

Dengan kejatuhan komunis di Indonesia, ancaman luar dapat dipatahkan. Sebaliknya ancaman muncul dari dalam apabila berlaku Peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa itu mendorong Malaysia memperkemaskan dasar-dasarnya supaya negara ini mencapai kejayaan. Di sinilah bermula gagasan-gagasan seperti Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ternyata sejak itu, Malaysia terus mencapai kejayaan demi kejayaan di samping mengatasi pelbagai cabaran. Kejayaan ekonomi memberi kemakmuran di mana semua warganegara dapat menikmatinya. Ketika memasuki dekad 90-an, bukan saja ancaman komunis sudah tumpas dan Malaysia berupaya menampilkan keyakinan untuk dapat mencapai sasaran Wawasan 2020.

Apabila zaman teknologi maklumat menyelubungi dunia, Malaysia tidak ketinggalan dengan rancangan Koridoraya Multimedia (MSC) yang menampilkan laluan bagi negara ini untuk terus maju dan tidak ketinggalan.

Namun begitu, pada tahun 1997, muncul satu ancaman baru yang datang serentak dengan proses globalisasi. Ancaman spekulator mata wang yang boleh menjerumuskan negara ke dalam gawang penjajahan bentuk baru.

Tetapi sekali lagi Malaysia yang dipimpin secara proaktif telah berjaya melalui krisis kewangan dan pada tahun ini, negara ini dapat memulihkan ekonomi.

Rakyat negara ini sudah sewajarnya merasa bersyukur dengan kejayaan ini supaya Malaysia dapat terus memberi kemakmuran di samping harapan masa depan yang cerah.

Namun begitu, segala kejayaan-kejayaan masa lalu memerlukan usaha dan komitmen, tidak kurang pula pengorbanan daripada warganegara. Pada masa-masa akan datang, warganegara dituntut supaya lebih banyak berusaha dan meningkatkan komitmen serta pengorbanan kalau hendak memastikan Malaysia terus mencapai kejayaan.

Usaha pula perlu ikhlas. Ikhlas kerana Malaysia, dan bukan atas kepentingan peribadi semata-mata. Dengan semangat Keranamu Malaysia, hasilnya kelak akan datang kembali kepada semua warganegara dan generasi akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.