saya nak baca ..

GAYA HIDUP


ARKIB : 17/09/2000

Pusat Budaya Kraf Terengganu


KEMAHIRAN pekerja menenun songket boleh disaksikan di bengkel milik Pusat Budaya Kraf Terengganu.


TERENGGANU, selain terkenal kerana keindahan pulau-pulaunya, sebenarnya turut mempunyai budaya dan hasil seni yang amat menarik.

Antaranya ialah kegiatan mencetak dan melukis batik serta menenun songket yang merupakan pekerjaan yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh kebanyakan penduduknya. Selain itu terdapat juga penduduk yang bergiat aktif dalam pertukangan perak, tembaga, membuat perahu, anyaman, tembikar, ukiran kayu serta pelbagai jenis kraf tangan.

Ekoran kekayaan khazanah itulah, maka kerajaan negeri telah mengisytiharkan tahun 2000 sebagai Tahun Warisan Seni dan Budaya Terengganu. Untuk memenuhi minat pelancong yang ingin melihat dari dekat bagaimana kerja pertukangan dan penghasilan kain ini dilakukan, banyak tempat di sekitar negeri ini yang boleh dilawati.

Lebih-lebih lagi jika anda ingin mencari 'ole-ole' yang unik untuk dibawa pulang selepas puas bercuti di samping menikmati keindahan panorama di pusat pelancongan pilihan anda. Salah satu tempat yang menawarkan hampir keseluruhan usaha kraf tangan tersebut sudah semestinya Kuala Terengganu sendiri.

Tidak ramai pelancong yang mengetahui tentang kewujudan Pusat Budaya Kraf Terengganu (PBKT) di bandar tersebut yang banyak menghasilkan pelbagai jenis barangan kraf bermutu. Sebagai premis yang mempunyai keistimewaan tersendiri, ia menawarkan banyak pilihan kepada pelancong selain apa yang biasa dilihat oleh mereka di Pasar Besar Kedai Payang - satu daripada destinasi membeli-belah popular di Terengganu.

PBKT menggabungkan usaha tiga pihak iaitu Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), Permint Suterasemai serta Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Untuk sampai ke sini tidak sukar kerana ia terletak di atas tapak seluas lapan hektar di Kawasan Perindustrian Chendering, hanya kira-kira lapan kilometer ke selatan Kuala Terengganu. Sesuai dengan tujuan penubuhannya untuk memperkenalkan hasil seni kraf tangan Terengganu dalam satu kawasan khusus serta menyediakan ruang pameran bersepadu untuk kemudahan pelancong, ia turut menjadi living museum dengan demonstrasi aneka hasil kraf warisan seni. Di sini pengunjung boleh menyaksikan sendiri kemahiran serta kesabaran pelukis batik menghasilkan pelbagai corak floral. Bukan setakat itu sahaja, malah bengkel yang terdapat di pusat ini turut membolehkan pengunjung menyaksikan kerja-kerja menenun songket yang banyak dihasilkan dari benang emas dan perak.

Satu perkara yang menarik berkaitan songket yang ditenun oleh PBKT ialah kejayaannya menyiapkan tempahan songket corak Brunei berharga RM15,000 sehelai yang ditempah oleh Sultan Brunei. Songket tersebut boleh dianggap sebagai antara songket yang paling mahal berjaya disiapkan oleh penduduk negara ini.

Lawatan ke sekitar pusat ini tidak memadai juga sekiranya pelancong tidak mengambil kesempatan untuk melihat kemahiran kakitangan pusat ini menyiapkan pelbagai hasil kraf daripada anyaman mengkuang atau pandan.

Berdasarkan kemampuan pusat tersebut, secara umum bolehlah dikatakan bahawa semua hasil kraf tangan 'Negeri Cantik Budaya Menarik' itu boleh diperoleh di PBKT pada harga berpatutan. Andainya hasil kraf yang dijual tidak memenuhi cita rasa dan minat anda, usah merasa hampa kerana hasrat anda masih boleh dipenuhi.

Ini kerana tempahan boleh dibuat mengikut selera pembeli sesuai dengan peranannya sebagai pusat operasi yang mengeluarkan barangan kraf berkualiti bagi memenuhi keperluan hiasan dalaman, cenderamata, produk korporat serta produk kegunaan harian. Bagi mereka yang ingin membawa pulang 'ole-ole' yang lebih mahal dan tahan lama, kunjungan ke pusat ini adalah keputusan yang paling tepat kerana ia turut terkenal dengan barangan tembaga, logam bersadur warna emas dan batik. Barangan hiasan tembaga yang sering dihasilkan adalah seperti seterika, keris, tepak sirih, bekas lilin dan pasu. Untuk penampilan yang lebih menawan dan eksklusif, sesetengah produk tembaga ini pula disadurkan dengan warna emas.

Setelah penat menjelajah PBKT, pelancong boleh mengunjungi pula ruang pameran Permint Suterasemai Sdn. Bhd. yang terkenal dengan jualan kain sutera berjenama Suteramas. Premis yang terletak bersebelahan dengan PBKT ini diakui sebagai pusat menenun sutera terulung di negara ini dengan penghasilan kain dari sutera yang diambil 100 peratus dari ladang malberi di Kuala Berang.

Di Permint Suterasemai, turut disajikan ialah pameran peringkat-peringkat pembuatan sutera termasuk penghasilan benang sutera daripada kokun untuk pengetahuan para pelancong. Jika anda mahu menghabiskan lebih banyak masa di sini, apa kata anda saksikan proses melukis corak batik ke atas fabrik yang menghasilkan baju, skaf, sapu tangan, tali leher dan banyak lagi.

Tidak puas dengan apa yang ada di premis tersebut, anda boleh memanjangkan lagi langkah anda ke kilang Noor Arfa Batik pula yang tercatat dalam buku Malaysian Book of Records sebagai pengeluar batik terbesar di negara ini.

Kilang yang terletak hanya beberapa ratus meter dari Permint Suterasemai ini sering menghasilkan batik corak terbaru dengan lukisan bermotifkan corak terkini dan klasik.

Melalui kedai jualannya yang menawarkan potongan harga menarik, pengunjung boleh membeli pelbagai jenis pakaian dan kain untuk keperluan sendiri meliputi baju batik, seluar, kain sarung, kain sepasang serta beg batik.

Antara jenis kain yang dijual mencakupi sutera, rayon, syantom, kain kapas dan jacquard yang diimport dari luar negara.

Jika anda berminat untuk memiliki koleksi kraf tangan yang ada, jangan lupa singgah di pusat ini sekiranya anda berkunjung ke Kuala Terengganu.

MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:

* Kraf tangan Terengganu. Tel: 09-6171033/

6171034.

* Permint Suterasemai Sdn. Bhd. Tel: 09- 6171357/

1359.

* Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim). Tel: 09-6175030.

* Noor Arfa Batek Sdn. Bhd. Tel: 09-6175701

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.