saya nak baca ..

FORUM


ARKIB : 18/09/2000

Leftenan Adnan angkat martabat filem Melayu

Saudara Pengarang,
MENONTON filem Leftenan Adnan pada hari pertama tayangan pembukaannya pada 31 Ogos lalu, cukup memberikan kesan yang mendalam buat diri saya dan adik-adik.

Darah perajurit yang mengalir dalam diri kami secara tidak langsung membuatkan kami menghayati filem tersebut sepenuh hati.

Pemilihan waktu tayangan amat bertepatan iaitu bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan negara.

Selepas 43 tahun negara mencapai kemerdekaan, Leftenan Adnan lahir membawa visinya yang tersendiri, iaitu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat amnya dan para remaja khususnya betapa 'perjuangan kita masih belum selesai'.

Kisah perjuangan dan pengorbanan anggota tentera pada zaman sebelum negara mengecapi nikmat kemerdekaan membuatkan kami benar-benar insaf dan bersyukur kerana dilahir dan dibesarkan di saat negara sedang mengecapi nikmat keamanan dan kemakmuran.

Kegigihan dan kesungguhan mereka mempertahankan negara daripada ancaman Jepun membuktikan mereka rakyat Malaysia sejati, sedia dan sanggup berkorban demi negara yang tercinta.

Walaupun jumlah tentera Jepun begitu ramai jika dibandingkan dengan tentera kita, mereka berjuang bermati-matian bagi memastikan maruah agama, bangsa dan negara terbela.

Syabas diucapkan kepada seluruh tenaga produksi filem ini yang pada saya telah berusaha sedaya upaya bagi memastikan filem ini memuaskan hati semua pihak.

Sudah menjadi adat jika terdapat kekurangan atau kelemahan dalam sesebuah filem, namun itu semua masih boleh diperbaiki kerana tiada benda yang sempurna di dunia ini.

Para pelakon yang menjayakan watak masing-masing telah memberikan penghayatan yang cukup baik, terutama sekali 'hero' dan nadi filem tersebut iaitu Hairie Othman.

Hairie dikatakan hanya mempunyai masa dua minggu untuk membuat persiapan bagi menjayakan watak dan hasilnya tidak mengecewakan.

Sewaktu menonton, terdengar juga suara-suara 'sumbang' beberapa orang tentera pelakon tambahan yang berpeluang berlakon dalam filem ini. Kenyataan seperti Hairie 'lembik' dan tidak bersemangat ketika berkawat menerjah telinga. Hairie orang luar, yang kerjayanya bukan sebagai seorang tentera. Tempoh waktu dua minggu yang diberikan untuk membuat persiapan memang suntuk.

Latihan ketenteraan yang lasak dengan aktiviti memanjat, berkawat, latihan peperangan dan sebagainya memang payah untuk diikuti sekiranya tiada tahap disiplin yang tinggi. Di sini, kemampuan Hairie seharusnya dipuji.

Bukan calang-calang orang yang boleh mengisi watak bersejarah itu. Seorang yang kental, tabah, bersemangat waja, tahan dugaan, tegas dan penuh disiplin menggambarkan Leftenan Adnan. Aziz M. Osman bertindak bijak dengan memilih Hairie.

Pada saya, Leftenan Adnan merupakan filem Melayu terbaik setakat ini. Lari daripada tema dan jalan cerita yang remeh-temeh dan meleret-leret. Leftenan Adnan mengangkat martabat filem Melayu yang selama ini memualkan, disogok dengan air mata dan percintaan yang membosankan. Inilah filem yang kita cari!

Leftenan Adnan penuh teladan. Bagaimana nilai persahabatan ditunjukkan ketika Prebet Malik hampir menemui ajal dan sikap semangat berpasukan yang tinggi yang ditunjukkan oleh Sarjan Ngah dan Koperal Ibrahim.

Begitu juga nilai kasih sayang yang erat antara Leftenan Adnan dan isterinya Safiah serta anak-anaknya. Lebih mengesankan ketika Leftenan Adnan seorang diri bertempur dengan pihak lawan. Lagaknya memang 'berani mati' tetapi akhirnya dia tewas.

Tidak kurang juga nilai bertentangan yang ditunjukkan oleh Prebet Ayob, mengaku kalah sebelum berjuang. Ayob lambang rakyat yang pengecut, suka memandang rendah kelemahan orang lain pada hal diri sendiri tiada keyakinan.

Kematian Ayob amat sia-sia, seperti mati katak. Ayob boleh memilih untuk mati syahid di medan perang tetapi dia memilih ajalnya di hujung senapang tentera Jepun. Darah hitam pekat yang mengalir melambangkan hatinya yang busuk.

Kita tidak mahu rakyat Malaysia seperti Ayob, membiarkan orang lain berjuang sedangkan diri sendiri berpeluk tubuh bersenang-lenang.

Kematian Leftenan Adnan pada 14 Februari 1942 begitu menyayat hati. Tragedi di Bukit Chandu itu pasti menjadi kenangan abadi bagi sesiapa yang terlibat. Al-Fatihah buat semua yang terkorban.

Serasakan tidak puas menonton filem Leftenan Adnan. Alangkah bagusnya jika disambung menjadi Leftenan Adnan 2. Tetapi ini bukannya Sembilu atau Senario The Movie. Jika Yusof Haslam mempunyai idea untuk menerbitkan Sembilu 2 dan Aziz M. Osman pula mengarahkan Senario Lagi, apakah cerita yang ingin diketengahkan dalam Leftenan Adnan 2 nanti? Ini kerana 'hero'nya sudah 'pergi' - pergi yang tak mungkin kembali!

Sekalung takziah buat ahli keluarga Leftenan Adnan dan semua pejuang negara yang bersama-sama bertempur di medan perang. Filem ini sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan yang kalian tunjukkan. Perpisahan sewaktu hayat masih dikandung badan sememangnya perit untuk dihadapi, apatah lagi jika berpisah mati. Ini semua ketentuan Tuhan. Anggaplah ia sebagai dugaan bagi hamba-Nya yang beriman. - AIREEN 229, Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.