saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/09/2000

Mengimbas sejarah tilawah al-Quran

AKHIR-akhir ini terdapat banyak percanggahan pendapat mengenai musabaqah membaca al-Quran di negara kita.

Antaranya ialah kepentingan suara merdu, berlagu, tahfiz, tajwid dan tartil.

Walau apapun isunya penulis ingin membawa pembaca kembali ke zaman awal bagi melihat kembali jasa dan usaha mereka yang terlibat.

Jika diberi penghormatan terhadap individu yang berjasa kepada kewujudan musabaqah membaca al-Quran di Malaysia mahupun antarabangsa, maka ia sepatutnya diberikan kepada "Bapa Kemerdekaan kita Tunku Abdul Rahman Putra''.

Ketika negara masih bergelut menuntut kemerdekaan beliau telah membuka jalan dengan mewujudkan pertandingan membaca al-Quran di negeri Kedah di tahun 1951.

Sejak tarikh tersebut beliau kelihatan membawa idea musabaqah ke mana sahaja beliau berada.

Ketika menjadi Yang Di-Pertua Agung UMNO Malaya yang beribu pejabat di Johor Bahru, Tunku telah mengambil inisiatif sendiri untuk menganjurkan pertandingan membaca al-Quran di antara negeri Johor dan Kedah dalam bulan Ramadan 1959 (1378 hijrah)

Cita-cita beliau untuk mengembangkan pertandingan membaca al-Quran diteruskan setelah berpindah ke Kuala Lumpur dengan menganjurkan pertandingan membaca al-Quran peringkat kebangsaan, yang bertujuan meninggikan syiar Islam di seluruh pelosok tanah air.

Bagi memastikan ia berjalan dengan teratur, tugas menyelenggarakan pertandingan membaca al-Quran peringkat kebangsaan kali pertama ini diserahkan kepada sebuah jawatankuasa pengelola seramai 15 orang yang diketuai oleh Syed Ja'afar Albar, Menteri Muda Penerangan dan Penyiaran pada masa itu.

Mesyuarat yang merancang pertandingan membaca al-Quran kali pertama ini diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Januari 1960.

Selepas mesyuarat, Tunku telah berucap "bahawa adalah menjadi cita-cita kerajaan persekutuan untuk melihat bahawa pertandingan membaca al-Quran ini diadakan pada tiap-tiap tahun bukan sahaja kerana memelihara bulan puasa tetapi juga kerana selaras dengan kedudukan dan taraf Islam sebagai agama rasmi negara".

Di dalam mesyuarat pertama tersebut, wakil negeri Kedah, Tengku Seri Maharajalela (saudara sepupu Tunku) telah menawarkan dua naskhah Quran tulisan tangan kepunyaan beliau dan Almarhum Sultan Ahmad Tajaluddin (ninda mereka) untuk dijadikan hadiah kepada johan kebangsaan.

Al-Quran bersejarah yang berusia lebih 100 tahun tersebut bersampulkan perak dengan hiasan Jata Persekutuan yang bertatahkan emas.

Bermula dari tarikh inilah al-Quran mula berkumandang di Kuala Lumpur dan corong-corong radio dan TV di Malaysia.

Usaha murni untuk mengembangkan pertandingan membaca al-Quran tidak terhad di dalam negeri sahaja.

Cita-cita dan hasrat kerajaan pusat dilahirkan dalam upacara penutup Pertandingan membaca al-Quran kali pertama, iaitu supaya pertandingan ini diperluaskan lagi dengan menjemput qari dan qariah dari luar negera. Hasrat tersebut telah menjadi kenyataan pada tahun berikutnya.

Buat kali pertama di peringkat antarabangsa, Malaysia telah mempelopori usaha mengagungkan al-Quran dengan menganjurkan pertandingan membaca al-Quran peringkat antarabangsa pada 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadan 1380.

Sebelas orang qari dari Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura merupakan barisan perserta pertama bertanding di pertandingan perintis ini. Jika dilihat dari segi penyertaan, ramai tokoh agama turut menyertai pertandingan membaca al-Quran.

Di peringkat kebangsaan, Abdul Hamid Desa, seorang guru agama dari negeri Kedah yang berusia 40 tahun muncul sebagai johan qari yang pertama , manakala Cik Saodah Hanafi berusia 19 tahun yang juga anak seorang guru agama terkenal di Perlis muncul sebagai johan qariah.

Manakala johan qari pertandingan membaca al-Quran peringkat antarabangsa kali pertama pula ialah Ahmad Maasom Pergau yang berasal dari Kelantan dengan mengalahkan 12 peserta qari lain dari Brunei, Pakistan, Indonesia, Sarawak (sebelum masuk Malaysia), Filipina, Singapura dan Thailand.

Di dalam ucapan pertandingan membaca al-Quran kali pertama, Tun Abdul Razak menerangkan bahawa pada mulanya telah dicadangkan bahawa pertandingan membaca al-Quran diperingkat antarabangsa ini dibuka kepada negara-negara Asia Tenggara sahaja, tetapi ia juga telah menarik minat negara-negara Islam lainnya dan mereka menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian.

Menurut beliau kerajaan Malaya akan terus mengekalkan pembacaan al-Quran dan mengadakan kursus-kursus mempelajari dan menghafaz al-Quran.

Masjid Negara yang sedang dibina pada waktu itu akan dijadikan pusat untuk tujuan tersebut.

Hasrat kerajaan menjadikan pertandingan membaca al-Quran di peringkat antarabangsa tercapai juga pada Ramadan yang kedua di tahun 1967 yang juga merupakan jatuhnya ulangan abad yang ke-14 turunnya kitab suci al-Quran.

Buat pertama kalinya peserta antarabangsa mengatasi bilangan peserta kebangsaan. Sepuluh orang qariah dari 10 buah negara dan 27 orang qari dari 14 buah negara yang masing-masing dari Brunei (3 orang), Ceylon (2 orang), Cambodia (3 orang), Filipina (3 orang), Indonesia (3 orang), Iran (2 orang), India (seorang), Malaysia (3 orang), Maldives (3 orang), Pakistan (3 orang), Singapura (3 orang), Thailand (3 orang), Turki (2 orang) dan Vietnam (3 orang).

Namun penyertaan dari negara Arab hanya bermula pada tahun 1976.

Ketika merasmikan musabaqah pada kali ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ismail Nassaruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin bertitah:

" Adalah menjadi cita-cita beta untuk melihat usaha kita ini berkembang sehingga pada suatu kelak, Kuala Lumpur ini akan menjadi pusat perhimpunan qari-qari Quran, di mana dalam tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan Al Mubarak, orang-orang Islam dari seluruh dunia akan berhimpun untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran ".

Hasil dari musabaqah yang diadakan oleh kerajaan banyak pertubuhan, persatuan dan berbagai badan dan yayasan telah mengadakan musabaqah di peringkat masing-masing.

Dari segi perkembangan Islam pula roh pertandingan membaca al-Quran yang dianjurkan kerajaan mula menyinarkan sinarnya.

Pada tahun 1961, telah membawa satu perubahan penuh bererti apabila Radio Malaya Perkhidmatan Melayu mula memperdengarkan bacaan al-Quran selepas warta berita pagi tiap-tiap hari mulai bulan Mei.

Sebagai tambahan, Radio Malaya telah memperkenalkan pula tambahan dua rancangan agama Islam setengah jam tiap-tiap satu rancangan di bulan yang sama.

Manakala di bidang pendidikan Islam pula, mulai awal tahun 1961, murid-murid Islam yang belajar di sekolah bantuan kerajaan mula menerima pelajaran agama sekurang-kurangnya dua jam seminggu.

Di Kolej Islam Klang, 24 orang gadis merupakan kumpulan pertama dalam jumlah 70 orang pelajar baru yang mendaftarkan diri di kolej tersebut.

Upacara menetap arah kiblat di masjid negara pula telah di adakan pada 17 september 1961.

Jika perhatikan di peringkat awal pertandingan membaca al-Quran ini, haruslah kita menginsafi diri kita dan menilai kembali apakah usaha murni mereka yang terdahulu kita hargai. Janganlah kita menjadi mereka yang lupa kepada idea asal ini.

Kita seharusnya menterjemahkan musabaqah membaca al-Quran ini dalam sistem masyarakat.

Musabaqah akan lebih bermakna jika pembangunan rohani dan jasmani di negara ini dapat diseimbangkan.

Buat mereka yang suka mengkritik perhatikanlah kepada perubahan bahasa yang digunakan - daripada Pertandingan Membaca Al-Quran bertukar kepada musabaqah membaca al-Quran dan kini kita menggunakan tilawah membaca al-Quran.

Tidakkah ini dapat menggambarkan sesuatu? - SYAFIQ AQIL, Damansara, Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.