saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/10/2000

Mahu seksi atau sopan? - Artis-artis dikelilingi konsultan imej

Penyanyi cantik Siti Nurhaliza adalah contoh yang paling ketara.

Empat tahun dahulu hingga kini selepas memenangi pertandingan Bintang HMI 1995 dan berpeluang merakamkan album pada tahun 1996, Siti banyak berubah.

Pada usia baru mencecah 17 tahun ketika itu, setiap kali ingin tampil untuk sesi fotografi atau membuat persembahan, Siti Nurhaliza bersikap menerima saja.

Apa yang disolekkan ke wajahnya dan apa saja imejnya, ia diterima tanpa sebarang komen.

Dari segi pakaian juga, dia lebih selesa dengan pakaian sendiri tanpa campur tangan daripada pihak lain termasuk pereka pakaian.

Imej Siti berubah mengikut kehendak masa dan statusnya hari ini, kata ramai orang.

Siti, kini 21 tahun, sejak tahun 1996 sudah memenangi banyak anugerah di dalam dan luar negara.

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu kini merupakan model dan jurucakap produk kosmetik terkenal Maybelline. Dia juga model untuk minuman ringan Pepsi. Penampilan dan wajah penyanyi tersebut sering menjadi perhatian. Bukan saja gaya pakaiannya ditiru tetapi juga solekan.

Hari ini jika Siti tampil dengan gincu bibir merah jambu, esok peminatnya akan mendapatkan gincu bibir itu di kedai.

Apabila mengunjungi laman web Siti yang semakin banyak di internet dan mengikuti perbualan peminat sesama mereka, topik kegemaran adalah penampilan Siti.

Jadi Siti mempunyai alasan untuk berubah. Imej terbaru? Dia kini lebih moden dan anggun kerana matanya sudah berwarna-warni begitu juga dengan rambutnya. Siti juga memiliki jurusolek sendiri dan pereka pakaian yang merangkap konsultan imejnya.

Untuk pakaian, Siti akan memilih rekaan Michael Ong dan untuk solekan dia menggunakan khidmat jurusolek Nurul.

Keanggunan penyanyi tersebut pastinya lebih menyerlah dari sehari demi sehari. Itu tidak dinafikan.

Namun ada juga yang mengatakan bahawa perubahan imej penyanyi tersebut keterlaluan dan tidak ada lagi keaslian pada dirinya. Tetapi kata Siti, dia tidak berhasrat untuk mencipta imej yang keterlaluan.

"Ketika usia meningkat dewasa ini, saya merasakan bahawa saya tidak perlu menyerlahkan diri untuk meraih perhatian orang, jika saya bukan artis.

"Namun biar apa pun cara saya berpakaian saya tidak akan keterlaluan,'' akui Siti.

Untuk membeli-belah atau bersantai, Siti lebih selesa dengan seluar jeans, kemeja T dan jaket. Dia juga gemar mengenakan cap atau topi agar kehadiran di khalayak ramai tidak begitu disedari peminat.

Kata Siti, dia tidak cerewet memilih pakaian dan tempat dia membeli-belah juga tidak semestinya butik jenama terkenal. Dia tidak keberatan untuk membeli - belah di kedai-kedai biasa.

"Pakaian Siti tidak semestinya mahal, baju harga RM10 pun kalau Siti suka Siti akan beli.

"Begitu juga Siti tidak memperuntukkan belanja yang banyak untuk pakaian atau alat solek setiap bulan,'' katanya.

Tempat kegemaran artis itu untuk membeli-belah ialah sekitar Bukit Bintang dan KLCC.

Siti juga mempunyai juru tarian peribadinya sendiri iaitu Pec dan daripada Pec artis itu banyak mempelajari selok-belok tarian untuk persembahan. Semua itu kata Siti, untuk memuaskan hati peminat.

Begitu juga ada yang berpendapat bahawa adalah sesuatu yang biasa bagi artis seperti Siti untuk mengubah imejnya.

Kata juru solek peribadi Siti, Nurul, artis tersebut tidak melakukan perubahan yang keterlaluan.

"Imej itu penting bagi setiap artis sebagai salah satu syarat untuk mereka bertahan lama dalam dunia hiburan ini.

"Apa yang boleh saya katakan perubahan pada Siti itu bukan keterlaluan kerana dia masih kelihatan sopan,'' kata Nurul.

Nurul adalah salah seorang juru solek artis terkenal di Malaysia dan pernah bekerjasama dengan banyak artis terkenal.

Kata Nurul, dia senang bekerjasama dengan artis seperti Siti, Ziana Zain dan Erra Fazira.

"Mereka mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Bagi Siti imejnya mesti anggun tetapi sopan.

"Erra pula dengan imej lincah dan Ziana lebih sesuai dengan gaya feminin dan fresh, apatah lagi apabila dua sudah bergelar ibu kini,'' kata Nurul.

Apa yang pasti Siti tidak sendirian. Kebanyakan artis mengakui bahawa imej perlu untuk memantapkan penampilan mereka.

"Walaupun imej saya berubah tetapi itu tetap tidak keterlaluan dan masih bersesuaian dengan saya sebagai remaja,'' kata penyanyi Elly Mazlein yang baru berusia 19 tahun.

Kata Elly, dia memperbaharui imejnya melalui pembacaan daripada majalah fesyen dan pemerhatiannya.

Kemasyhuran, pengalaman dan usia mematangkan penampilan penghibur, Fauziah Latiff.

Namun setelah lebih 15 tahun dalam dunia hiburan, kata Fauziah, dia masih seperti dahulu.

"Saya serba sederhana dan tidak terlalu mengikut corak peredaran fesyen jika saya tahu itu tidak sesuai dengan diri saya,'' akuinya.

Ibu kepada dua anak itu juga mengakui bahawa dia bukan terlalu menggilai fesyen.

Fauziah yang merupakan jurucakap untuk produk kosmetik terkenal SK 11 itu memberitahu fesyen cyber atau millenium yang menjadi kegilaan ramai sekarang tidak sesuai untuknya.

Dari segi solekan, fesyen yang ketara hari ini adalah gabungan warna-warna natural dan lembut tetapi berkilat untuk kelihatan segar serta bermaya.

Kata Fauziah, gaya tersebut juga tidak sesuai untuk dirinya.

"Saya suka sesuatu yang natural tetapi kalau berkilat dan bersinar seperti yang sering dikenakan pada muka dan badan itu tidak mungkin,'' kata artis berusia 30 tahun itu.

Bercakap tentang penampilan dan imej artis, biduanita Sharifah Aini boleh diibaratkan sebagai penghibur yang versatil.

Biduanita itu sudah menghasilkan lebih 70 buah album dan sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia hiburan namun penampilannya tetap meraih perhatian.

"Dia seorang yang mengagumkan,'' kata juru solek, Zulfazdli.

"Ada ketika dia ingin menukar rambut dan solekannya. Tetapi biar apa pun dia masih bergaya,'' kata Zulfadzli.

Mungkin alasan terbaik untuk setiap perubahan tersebut adalah kerana wanita juga seperti berlian.

Berlian jika tidak digilap tidak akan menyerlah sinarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.