saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 07/11/2000

Murad didenda RM500,000 gagal isytihar harta RM24j

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid hari ini didenda RM500,000 atau penjara enam bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan gagal mengisytiharkan saham-saham Ben Harta Sdn. Bhd. (BHSB) dan 51 hartanah bernilai hampir RM24 juta.

Hakim Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu setelah Abdul Murad, 47, yang sepatutnya dibicarakan hari ini menukar pengakuan kepada bersalah.

Mohd. Zaki ketika menyampaikan penghakimannya berpendapat, pemenjaraan bukanlah hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh.

Katanya, ini kerana mahkamah berpuas hati bahawa Abdul Murad telah banyak berjasa ketika berkhidmat sebagai pegawai tinggi di BNM.

Sebelum itu, peguam Radzuan Ibrahim yang mewakilinya memohon mahkamah mengambil kira bakti tertuduh sepanjang 22 tahun di BNM termasuk jawatan terakhir sebagai Penolong Gabenor.

Ujar Mohd. Zaki, kesalahan tersebut lebih berbentuk teknikal kerana ia tidak mengakibatkan kerugian kewangan kepada mana-mana pihak.

Menurutnya lagi, pengakuan bersalah Abdul Murad bukan sahaja menggambarkan keinsafannya malah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

''Oleh itu, saya mengambil kira bentuk dan darjah kesalahan, rayuan, hukuman setimpal yang di-mohon oleh pendakwa dan yang paling utama ialah kepentingan awam,'' ujarnya.

Sungguhpun begitu, Mohd. Zaki menyatakan, denda yang rendah tidak memadai kerana ia tidak akan dapat memberi pengajaran dan ingatan kepada orang ramai.

Abdul Murad meninggalkan mahkamah kira-kira pukul 4 petang selepas menjelaskan denda.

Dia juga memperoleh semula pasport antarabangsanya yang disimpan oleh mahkamah sejak didakwa pada 16 September tahun lalu bagi membolehkannya menjalani rawatan pergigian di Singapura.

Abdul Murad dituduh gagal mengisytiharkan harta bernilai RM23,925,369.40 yang dipegang oleh dua ahli perniagaan, Gan Hong Sing @ Lan Hong Sing dan Gan Sor Ting bagi faedah diri tertuduh.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 11.56 pagi, 20 Ogos tahun lalu di BNM, Jalan Datuk Onn di sini.

Ketika kesalahan dilakukan, Abdul Murad juga memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif RHB Bank Bhd.

Dia didakwa tidak mematuhi notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 87(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Notis itu menghendaki tertuduh mengisytiharkan semua hartanya dalam dan luar negara beserta alamat secara bertulis sepanjang tempoh 1 Januari 1994 hingga 6 Ogos tahun lalu.

Harta-harta tersebut termasuk yang dimiliki oleh isteri, tanggungan atau mana-mana pihak yang memegangnya, bagi faedah diri tertuduh.

Menurut notis itu, harta yang dinyatakan berupa tanah dan nilai pasarannya, saham-saham yang tersenarai atau tidak serta sekuriti atau aset-aset lain.

Abdul Murad didakwa mengikut Seksyen 87(2)(c) akta yang sama.

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 103(10)(a) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pada 6 Ogos tahun lalu, Abdul Murad telah menandatangani satu notis yang dikeluarkan oleh Unit Penyiasatan Khas, Tingkat 13, Blok B, BNM.

Hasil siasatan lanjut mendapati, tertuduh tidak mengisytiharkan saham BHSB dan harta-harta tak alih yang kesemuanya di bawah kuasa dan kawalan tertuduh tetapi didaftarkan atas nama orang lain.

Menurut fakta lagi, cek-cek Allied Bank Berhad kepunyaan BHSB yang dihantar kepada Pemeriksa Dokumen Malaysia mengesahkan bahawa ia diisi oleh Abdul Murad.

Siasatan juga menunjukkan bahawa segala urusan kewangan diuruskan oleh tertuduh yang mengeluarkan arahan untuk menggunakan harta-harta serta wang BHSB.

Sebelum itu, ketika merayu untuk meringankan hukuman, Radzuan memohon mahkamah mengambil kira bahawa harta-harta itu bukan didaftarkan atas nama Abdul Murad tetapi atas nama BHSB.

Lagipun menurut peguam bela, anak guamnya bukan pengarah atau pemegang saham BHSB.

Katanya, elemen kepentingan awam atau pemalsuan tidak terlibat dalam kes ini kerana tiada pihak ditipu atau wang dirampas.

Radzuan juga memohon mahkamah menimbangkan keadaan Abdul Murad yang kini tidak bekerja.

Menurutnya, dengan publisiti pihak media yang diterima, agak mustahil untuk mencari pekerjaan lain yang sesuai dengan kelayakan dan pengalamannya.

Selain itu kata Radzuan, Abdul Murad terpaksa menjalani tiga lagi pembedahan gusi di Singapura.

Peguam bela juga berhujah bahawa Abdul Murad tidak mempunyai rekod jenayah.

Oleh itu, Radzuan memohon hukuman yang bukan berbentuk pemenjaraan kerana anak guamnya telah mengaku bersalah yang sekali gus menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kamaruzaman Abdul Jalil bersama-sama Pegawai Pendakwa, Iskandar Ismail memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana tidak memberi kerjasama semasa siasatan dijalankan oleh BNM.

Menurut Kamaruzaman, walaupun kesalahan yang dilakukan itu bersifat teknikal, pendedahan harta oleh individu tertentu masih diperlukan bagi membantu siasatan pihak berkuasa untuk keadilan semua pihak.

Pada 2 Februari tahun lalu, BNM dalam satu kenyataan ringkas menyebut peletakan jawatan Abdul Murad berkuat kuasa 1 Februari tahun lalu tanpa memberi alasan.

Dia pernah bertanggungjawab bagi peraturan perbankan dan kawal selia BNM dan terlibat dalam siasatan terhadap Sime Bank.

Selain itu, Abdul Murad pernah mengambil alih operasi tukaran asing BNM pada lewat 1992 setelah bank itu menanggung kerugian melebihi RM9 bilion dalam kerugian atas kertas pada tahun yang sama.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.