saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/11/2000

Jangan tunduk pada desakan - Polemik penubuhan sekolah wawasan

Kim Sai menganggap Dong Jiao Zhong dan Hua Zong terlalu awal melatah, sambil menasihati mereka jangan meragui bidang kuasa Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong, yang memberi jaminan tidak akan meminda sewenang-wenangnya akta-akta yang memelihara kepentingan masyarakat Cina di negara ini, khususnya berkaitan bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Pada masa yang sama, Kim Sai berharap pihak Kementerian Pendidikan jangan membuat kenyataan "limbo'' iaitu "sekolah-sekolah yang mahu ikut, boleh ikut.''

Beliau melihat polemik sekarang tercetus kerana strategi penerangan yang tidak cukup oleh pihak berkuasa. Bagi beliau Sekolah Wawasan sudah cukup sempurna.

Beliau yang pernah dilucutkan gelaran Datuknya oleh Sultan Selangor pada Oktober 1987 kerana mencetuskan isu-isu perkauman berkata: "Kalau ada seorang cucu, saya akan menyekolahkannya ke Sekolah Wawasan.''

Bagi tokoh Maal Hijrah 1421, Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid, 71, sikap segelintir masyarakat keturunan Cina itu menimbulkan syak kepada beliau berhubung soal taat setia mereka kepada negara ini sebagai seorang warganegara.

Menurutnya, untuk menjadi satu bangsa Malaysia, semestinya mereka melalui satu bahasa dan satu pengalaman hidup.

Ikuti wawancara Mohd. Nor Ab. Samad dan Wahid Hashim dengan kedua-dua tokoh itu di Kuala Lumpur baru-baru ini, berkisar kepada isu Sekolah Wawasan.

MINGGUAN: Kenapa Sekolah Wawasan dibantah?

Kim Sai: Mereka bimbang Sekolah Wawasan akan menukar corak, ciri, identiti sekolah Cina dan mungkin suatu hari nanti, bahasa pengantar pun akan berubah.

Mereka kurang faham Akta Pelajaran. Kalau faham betul Akta Pelajaran 1961, dan disertai dengan pindaan-pindaannya sekali, akta itu sudah cukup menjamin sistem sekolah (Cina).

Perasaan takut itu kerana mereka meninjau ke belakang (sejarah). Mereka selalu menggunakan Laporan Razak yang menyatakan: bahasa Malaysia akan menjadi bahasa pengantar untuk sekolah-sekolah di Malaysia ini.

Kalau mengikut laporan ini, memang satu hari nanti, sekolah Cina pun akan ditukar menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Tapi 'satu hari' itu barangkali satu tahun, barangkali lima tahun, barangkali 50 tahun. Berapa lama objektif Laporan Razak akan tercapai, terpulang kepada hasrat rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Cina, sekolah Cina. Kalau mengikut Akta Pelajaran 1961, akta itu ada membayangkan kehendak masyarakat Cina. Sekolah Cina menggunakan bahasa pengantar Cina sebagai pengantar telah dimasukkan sebagai kuasa akta.

Yang sebenarnya, kalau Kementerian Pendidikan mahu menggunakan satu program, di bawah program apa sekalipun, dipanggil Wawasan atau apa-apa, ia akan tertakluk di bawah akta berkenaan.

Akta itu lulus di Parlimen. Ia kuasa (Yang di-Pertuan Agong).

Malaysia cukup demokrasi. Kebimbangan itu saya rasa, kalau ada pun berhubung pelaksanaan polisi.

Kalau faham betul, tahu kuasa akta itu, tahu kuasa muktamad Parlimen, menteri pun tak boleh tukar bahasa pengantar.

Bagaimana kalau akta itu dipinda?

Kim Sai: Kalau hendak dipinda, Parlimen kena setuju. Itupun kalau majoriti setuju, itu pilihan rakyat kerana mereka (ahli Parlimen) dipilih oleh rakyat.

Hanya ahli Parlimen saja yang ada kuasa, sama ada menyokong atau tidak. Ahli Parlimen tentulah membuat pertimbangan, ini perasaan rakyat.

Dia orang ahli Parlimen, dia orang ada akal.

Tetapi kenapa banyak yang tidak faham tentang akta ini.

Kim Sai: Tidak ramai orang cakap fasal akta ini. Saya seorang sahaja yang cakap pada hari ini. Saya takut nama Sekolah Wawasan itu sendiri sudah menjadi keliruan.

Mengikut akta, sekolah Cina diletakkan di bawah kategori Sekolah Jenis Kebangsaan menggunakan nama sekolah Cina.

Di bawah Sekolah Wawasan ini, mereka bimbang SJKC tidak lagi dikenali sebagai sekolah Cina. Apabila ini berlaku, sekolah Cina tidak akan dijamin oleh akta.

Jadi, kita kena jaga hal ini, sama ada sekolah itu sebuah sekolah Cina atau digabungkan dalam satu sekolah, iaitu sehingga hilang fungsinya sebagai sekolah Cina. Tetapi saya sudah mengkaji garis panduan (Sekolah Wawasan). Ini tidak akan berlaku.

Apakah ia berkaitan dengan semangat kecinaan yang tebal.

Kim Sai: Saya tidak rasa itu jadi alasan. Saya tidak rasa itu jadi pegangan. Tidak seharusnya begitu. Kita kena jelaskan. Sekarang ini, dasar Kementerian Pendidikan, yang setuju masuk (Sekolah Wawasan) yang tak setuju tak masuk (Sekolah Wawasan). Itu sudah 'limbo.'

Sikap begini tidak baik.

Apa pandangan Tan Sri mengenai Sekolah Wawasan.

Kim Sai: Itu satu konsep yang baik dan murni. Sebagai seorang murid sekolah Cina dulu, saya pernah jadi guru dan guru besar sekolah Cina, malah pernah terlibat dalam banyak perdebatan dan perbincangan mengenai sekolah Cina itu. Saya faham betul apa yang dicadangkan itu.

Cuma kita harus menjamin pelaksanaan program ini tidak akan mengubah identiti, karakter dan bahasa pengantar itu (bahasa Cina). Kalau itu dapat dijamin, dapat dilaksanakan dengan baik, saya rasa ada banyak kebaikan pada Sekolah Wawasan.

Bagaimana kalau Tan sri dipelawa untuk memberi penerangan kepada persatuan Cina berhubung isu ini.

Kim Sai: Para pemimpin MCA yang patut memainkan peranan.

Jika Tan Sri dilantik dalam jawatankuasa pemantauan?

Kim Sai: Saya sedia. Saya, Lee Kim Sai dengan suka hati, secara ikhlas akan memikul tanggungjawab, walaupun tidak dibayar apa-apa.

Mengenai hasrat masyarakat Cina yang mahu menyerapkan sistem pendidikan di China ke negara ini. Adakah perkara ini berlaku?

Kim Sai: Sekolah di negara China itu lain.

Sistem sekarang memang diterima oleh semua pihak. Saya rasa masyarakat (Cina) pun tidak pernah terfikir untuk sekolah-sekolah Cina (di Malaysia) dijalankan seperti (sistem) di negara China.

Ada di kalangan orang Melayu melihat bantahan itu sebagai tekanan kepada politik Melayu yang dilihat macam lemah.

Kim Sai: Rasa saya orang Melayu tidak harus melihat perkembangan ini dengan perasaan seolah-olah tekanan itu kepada pemimpin Melayu yang kononnya dikatakan lemah.

Situasi sekarang tidak mempunyai kepincangan sangat. Tapi saya berpendapat penubuhan Sekolah Wawasan sebagai satu bonus kepada murid-murid. Rasa saya, kalau ada cucu saya, barangkali (Sekolah Wawasan) ini jadi pilihan saya.

Apa pendekatan terbaik tangani masalah ini.

Kim Sai: Kita jalankan projek perintis. Biar rakyat lihat, biar rakyat menilai.

Kita memang perlu hirau (kritikan).

Tetapi kita tak payahlah cakap macam (Tan Sri) Musa (Mohamad). Itu saya tidak berapa setuju dari segi pendekatan.

Bagi ahli politik, walaupun (sesuatu) itu fakta, kita tidak boleh cakap terus terang, apa yang kita mahu biar mereka faham apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Kita melakukan ini untuk kepentingan negara. Tanggungjawab kita ialah mendapatkan semua sokongan supaya program ini dilaksanakan dengan berjaya.

Saya cukup simpati dengan Tan Sri Musa. Pendekatan itu tidak payahlah keras sangat. Pendekatan biar pintar.

Ada yang mencadangkan supaya mereka yang membantah dibawa melawat sendiri Sekolah Wawasan perintis.

Kim Sai: Lawatan bersama. Bawa bersama. Ini semua dari segi pendekatan sahaja.

Saya boleh cakap secara ikhlas, sebagai bekas menteri, saya tahu, cukup faham konsep Barisan Nasional. Apa yang dirancang dan dibuat untuk kebaikan semua.

Cuma pelaksanaan, barangkali tercetus rasa tidak puas hati di sana sini. Itu saja.

Bagaimana hendak jelaskan pada majoriti yang masih tak jelas dengan konsep sekolah ini.

Kim Sai: MCAlah kena jalankan satu kempen. Jangan pergi (kempen) ecstasy saja.

Sekarang ini Dong Jiao Zhong pergi ke tiap sekolah-sekolah, kempen, membantah. Tapi tak nampak ada tindakan balas. Pihak kerajaan nampak tidak ada sebarang tindakan. Reaksi terlalu lambat.

Yang sebenarnya, umumkan garis panduan secara telus, secara terbuka.

Kemudian kita lihat kesannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Kalau sudah menggunakan pendekatan begini, masih ada pandangan (negatif), kita simpulkan sebagai keras kepala.

Kenapa Sekolah Wawasan mendapat tentangan daripada segelintir keturunan Cina?

Ainuddin: Kalau hendak tubuhkan satu bangsa Malaysia, semestinya bahasa itu pun satu, pengalaman hidup itu pun sama. Kalau tidak, keadaannya seperti yang sedia ada sekarang.

Budak-budak (keturunan) Cina, India dan Melayu sekarang tidak begitu bercampur. Jadi, ini bertentangan dengan konsep satu bangsa. Saya rasa allahyarham Aminuddin Baki sebelum meninggal dunia, pernah mencadangkan sepatutnya kita ada satu sistem sekolah kebangsaan sahaja.

Seperti di Amerika Syarikat walaupun barangkali dari segi pemberian warganegara di sana lebih mudah kalau dibandingkan dengan kita, tetapi syarat pertama dia mesti lulus bahasa Inggeris.

Jadi, kalau kita sudah ada satu bahasa yang sama barulah boleh kita bertukar-tukar fikiran. Tetapi kalau tiada bahasa yang sama dengan sendirinya kita akan terus berasingan.

Saya juga ingin sentuh di sini, langkah kerajaan baru-baru ini mahu memaksa siswa Melayu, Cina dan India di universiti supaya duduk dalam satu bilik agak terlewat.

Kalau ada apa-apa prasangka semasa zaman kanak-kanak, perasaan itu akan terus terbawa-bawa sampai masa di universiti.

Seperti pada zaman pemerintahan British dahulu, tidak teringat pun kawan kita itu Cina. Tiada perasaan jangan kawan (keturunan Cina), sebab kita sama-sama bersekolah Inggeris. Jadi, sampai besar pun kami terus berkawan... sampai tua. Jadi, saya pun tidak begitu faham bagaimana masyarakat Cina menentang begitu hebat (Sekolah Wawasan).

Secara umumnya, adakah Sekolah Wawasan mampu memupuk integrasi kaum?

Ainuddin: Sepatutnyalah.

Adakah orang keturunan Cina menolak Sekolah Wawasan kerana tidak faham dasar pelajaran?

Ainuddin: Kalau nak kata dia orang tidak faham dasar pelajaran tidak diterima akal. Misalnya, dasar pelajaran yang digariskan oleh (allahyarham) Tun Razak, kalau mereka tidak faham memang tidak diterima oleh akal. Bukannya mereka tidak tahu membaca. Semuanya adalah orang-orang yang bijak pandai.

Misalnya, semasa mesyuarat kabinet baru-baru ini suruh (Datuk Seri Dr.) Ling Liong Sik, (Datuk Seri) Dr. Lim Keng Yaik (daripada) Gerakan dan SUPP supaya berjumpa dengan (Tan Sri) Musa Mohamad (Menteri Pendidikan).

Jadi nampak benar peliknya. Liong Sik berada dalam kabinet, Keng Yaik pun dalam kabinet, tetapi sekarang baru nak bertanya kepada Musa. Jadi, macam tidak kena betul kerana perkara ini sudah diberitahu dalam kabinet. Orang dalam kabinet sepatutnya sudah faham, tetapi sekarang ini masih nak main sandiwara. Tidak sesuailah.

Sepatutnya... sekurang-kurangnya mereka (MCA, Gerakan dan SUPP) sudah menjelaskan konsep Sekolah Wawasan ini kepada masyarakat Cina. Ia sudah diluluskan dalam kabinet dan sepatutnya selesailah. Alasan tidak dapat penerangan dengan jelas, tidak diterima dek akal di peringkat menteri.

Penolakan oleh segelintir masyarakat Cina mungkin kerana penerangan yang diberikan tidak mencukupi, atau tidak sampai di peringkat akar umbi sehingga timbul bantahan.

Ainuddin: Kalau hendak dikatakan di peringkat akar umbi itu mungkinlah. Tetapi kalau di peringkat atasan... tidak tahulah.

Dia orang sendiri (orang atasan) sudah beberapa kali berbincang dengan Kementerian (Pendidikan). Mereka hanya mengikut kehendak sendiri. Sepatutnya 'dia orang' mesti patuh kepada peraturan negara.

Contohnya, sesiapa hendak jadi warganegara Amerika jika tidak lulus bahasa Inggeris tidak dapat (kewarganegaraan).

Bila mahu menjadi warganegara Malaysia, ataupun sudah jadi warganegara Malaysia, itu diberi dulu. Walaupun tidak tahu bahasa Melayu pun dia boleh jadi warganegara Malaysia.

Allahyarham Aminuddin Baki juga memberi contoh rakyat Amerika di Hawaii. Macam-macam kaum ada - Jepun, Cina, Korea, tetapi semuanya bersekolah di bawah satu sistem sahaja... kalau hendak gunakan bahasa ibunda sendiri boleh, tetapi di sekolah lain selepas waktu sekolah biasa. Taat setia orang-orang Jepun di Hawaii itu pun tidak dapat dinafikan. Semasa Perang Dunia Kedua, ada tentera udara Amerika daripada orang keturunan Jepun... mereka sama-sama menyerang Jepun.

Soal taat setia. Daripada isu Sekolah Wawasan ini, ia secara tidak langsung mendedahkan soal taat setia kepada negara.

Ainuddin: Ini susah hendak dibuktikan. Tetapi dalam keadaan seperti ini timbul syak... syak pada taat setia. Seperti yang saya katakan tadi, kalau betul-betul hendak jadi warganegara Malaysia, mereka kenalah ikut peraturan di Malaysia. Di Malaysia, ada sekolah menengah Cina yang keluar terus daripada sistem (pendidikan) kita. Bahasa, sukatan pelajaran, semua sendiri.

SJKC adalah sebahagian daripada sistem kita, cuma ia lebih banyak gunakan bahasa Cina. Ini tidak apalah. Kita sudah terima. Saya sebut 'tak apa' sebab perkara itu sudah terjadi. Kalau ikut perasaan saya, tak patut pun (ada SJKC).

Sejak merdeka, adakah sistem pendidikan berjaya atau gagal membentuk rupa bangsa Malaysia?

Ainuddin: Dari segi membentuk rupa bangsa memang gagal. Ini memang jelas. Kita terlalu bertolak ansur. Kalau ada satu sistem sekarang, barangkali budak Melayu berkawan dengan Cina atau India. Dahulu kawan-kawan Cina saya datang ke rumah. Kawan-kawan adik-adik saya pun sama juga.

Mungkin pada masa itu orang Cina merasakan perlukan sahabat Melayu.

Ainuddin: Tidak juga. Tiada dalam ingatan kita sama ada ini orang Cina, Melayu... kalau dah sekolah tu... semua ini kawanlah. Tetapi bila ia berkaitan dengan agama, barulah kita beringat... ini Cina lain sikit... ini India lain sikit.

Ada orang kata sekolah Cina tak mahu berkongsi sumber kewangan?

Ainuddin: Tetapi kerajaan bukan hendak menyentuh perkara itu. Infrastruktur sekolah itu sahaja yang berada alam satu kawasan. Malah, pada saya, usaha (hendak membentuk Sekolah Wawasan) pun tak memadai kalau kita mahu mengintegrasikan kaum. Bila kanak-kanak itu akan bersama-sama sebenarnya? Masa rehat pun tidak juga sebenarnya.

Satu perkara yang dibangkitkan ialah masalah masa makan. Bila nak makan babi tentu di kantin yang berasingan. Atau bersebelahan setidak-tidaknya. Yang penting ialah hakikat bahawa Orang Asli di bumi Malaysia ini ialah orang Melayu, Sakai atau sebagainya.

Orang-orang Cina berasal dari kaum yang mendatang. Jelas. Jadi mereka kenalah menyesuaikan diri dengan keadaan kita. Ini tidak. Mereka hendak cara mereka juga. Tetapi satu perkara kita jangan lupa, setiap orang Cina masih warganegara China walau di mana dia berada.

Kita banyak bertolak ansur. Umpamanya, bermain mercun, di negara kita baru sahaja diharamkan. Tetapi di China sudah lama diharamkan. Begitu juga budaya Cina yang lain seperti tarian naga. Di China tidak ada tarian naga pada Tahun Baru. Di sini kita benarkan. Tak cukup juga lagi. Habis apa lagi yang mereka mahukan?

Dalam sistem pendidikan, kita tidak boleh sama sekali bertolak ansur, mesti adakan satu sistem.

Kalau tidak, bagaimana akan wujud satu bangsa?

Kalau mengikut keadaan yang dicadangkan itu (Sekolah Wawasan) saya rasa lambat sangat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.