saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 21/11/2000

Juara Lagu 2000 -- Etnik kreatif terus bertakhta


SUHAIMI MOHD ZAIN.


Tiga serangkai yang cukup serasi dalam industri muzik tempatan sekali lagi menjuarai siri pertandingan yang memilih ciptaan-ciptaan terbaik dalam Juara Lagu 2000 malam kelmarin.

Sebelum ini mereka berkongsi kemenangan pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Cindai, tahun ini Suhaimi Mohd Zain (pencipta lagu), Hairul Anuar Harun (penulis lirik) dan Siti Nurhaliza (penyanyi) mengulangi kejayaan yang sama dengan lagu Balqis.

Juara Lagu 2000 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu juga melangsungkan penguasaan lagu kategori etnik kreatif (sebelum ini irama Malaysia) sebagai juara keseluruhan.

Tahun lalu M. Nasir yang mencipta dan menyanyikan lagu Andalusia lirik oleh Loloq menjuarai pertandingan ini. Kejayaan lagu etnik kreatif kali ini juga memperlihatkan kecenderungan semasa terhadap lagu-lagu yang bertunjangkan muzik etnik.

Kejayaan Balqis memberi peluang kepada Suhaimi merangkul hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi. Lagu yang sama juga menjuarai kategori etnik kreatif yang memberikan hadiah wang tunai RM12,000.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh penyanyi veteran Datuk SM Salim dengan diiringi oleh Pengarah Urusan TV3, Hisham Datuk Abdul Rahman. Ini adalah suatu anjakan paradigma yang bukan sahaja sebagai penghormatan kepada golongan seniman tetapi yang veteran memberi anugerah kepada yang baru.

Walaupun begitu TV3 juga perlu mengubah persepsi khalayak bahawa Juara Lagu 2000 bukan pertandingan untuk penyanyi tetapi untuk mereka yang bekerja di belakang tabir kejayaan sesebuah lagu. Untuk penyanyi hanya diwujudkan satu hadiah iaitu persembahan terbaik dan tidak adil kalau keseluruhan Juara Lagu 2000 kelihatan sebagai pertandingan untuk penyanyi.

Mengenai kemenangan lagu Balqis, Suhaimi memberitahu, keakraban dan persefahaman antara dia, Hairul dan Siti Nurhaliza merupakan faktor yang membawa kejayaan lagu tersebut.

"Kebanyakan lirik lagu ciptaan saya dihasilkan oleh Hairul. Bukan saya tidak percaya kepada penulis lain tapi tidak ramai yang berminat seperti Hairul,'' kata Suhaimi.

Suhaimi juga mengakui saingan kali ini cukup hebat terutamanya cabaran daripada lagu Nian Di Hati ciptaan Azmeer yang juga dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza, Kau Kekasihku (Ajai) yang menjadi juara untuk kategori balada dan Ngajat Tampi (Rosli Selasih).

Walaupun Suhaimi mempertaruhkan Balqis dan Ting Ting tetapi dia lebih menaruh harapan pada lagu Balqis.

Sementara Noraniza yang memenangi kategori Persembahan Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut mengakui persiapan untuk lagu Ngajat Tampi dibuat Ogos tahun lalu. Untuk kategori itu, Noraniza menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Noraniza memberitahu, dia tidak kesal mengeluarkan belanja untuk membuat persiapan asalkan mesej lagu itu difahami oleh khalayak.

"Saya tidak peduli apa orang kata tentang corak persembahan saya. Tujuan saya ingin melihat irama tradisional kita dikenali hingga ke peringkat antarabangsa,'' jelasnya yang membawa penari-penari dari Rumah Budaya, Sarawak untuk menjayakan persembahan lagu Ngajat Tampi.

Ajai pula yang membabitkan diri dalam industri seni sejak 14 tahun lalu melahirkan rasa syukur kerana penantiannya sudah berakhir apabila lagu Kau Kekasihku menjuarai kategori balada.

Ajai yang pernah dicalon untuk lagu Juwita dendangan Saleem pada Juara Lagu tahun lalu mengakui kekuatan lagu Kau Kekasihku adalah pada vokal yang ditampilkan oleh Siti Nurhaliza.

Kategori pop rock dimenangi oleh lagu Bintang Hati ciptaan Goh Boon Hoe yang dinyanyikan oleh Amy Mastura.

Lagu-lagu lain yang berjaya ke peringkat akhir Impian Realiti (Aubrey N Suwito), Melodi Hati (Syed ENV), Pasrah (Saari Amri), Impian Cinta (Ajak) dan Cepat Kaya (Azmeer).

Juara Lagu 2000 yang menampilkan tema Andai dipisah lagu dan irama menyajikan beberapa sketsa dan nyanyian sebagai mengenang Allahyarham P. Ramlee, Saloma, Sudirman dan M.Sharif dalam bidang seni.

Segmen ini dijayakan oleh Jalaluddin Hassan, Hani Mohsin, Rosyam Nor, Umie Aida, Lynn, dua anggota kumpulan Cecupak, Jee, Jamal Abdillah dan Anuar Zain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.