saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 24/12/2000

Rayuan ibu Amelina menjelang syawal

Kemenangan itulah sebenarnya yang dirayakan dengan penuh keinsafan dan kegembiraan pada Aidilfitri.

Namun makna lebaran barangkali sudah tidak memberi erti bagi Hasmah Ramli, apatah lagi selepas anak yang dikandungnya selama sembilan bulan 10 hari, Amelina sepi menghilangkan diri selama hampir setahun.

Sesudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang tidak dikenali ramai Riduan Mahmud, Amelina atau manja dengan panggilan Along terus berubah dan membuang keluarga. Perkahwinan itu tidak direstui keluarga.

Lebih menyedihkan, kata Hasmah, apabila Amelina langsung tidak kelihatan untuk menjenguk bapanya, Amir Shariffuddin Abdul Raof yang kini terlantar sakit di rumah.

Mesra dengan panggilan emak, Hasmah ketika ditemui Pancaindera memberitahu SAHARUDIN MUSTHAFA, Aidilfitri 1421 merupakan tahun kedua dia dan suami serta anak-anak yang lain menyambut hari raya tanpa anak sulungnya itu.

"Ini adalah permintaan kali kedua emak buat Along, kalau ada salah dan silap ampunkanlah emak Along dan pulanglah beraya bersama kami,'' rayu Hasmah kepada Amelina.

SEPERTI juga dengan persekitarannya, banglo putih yang tersergam indah di kediaman Hasmah Ramli di Labu, Nilai, Negeri Sembilan tidak lari daripada sunyi dan berdiri seolah-olah tidak bermaya.

Susun atur banglo itu cukup sederhana. Sebaik menjejakkan kaki ke dalam banglo itu, pandangan tetamu pastinya tidak terlepas daripada melihat barisan anugerah cakera hasil jualan album penyanyi terkenal Amelina yang digantung di dinding.

Potret penyanyi itu juga dapat dilihat di setiap sudut banglo itu yang menandakan betapa dia sebenarnya masih disayangi dan terus dirindui.

Didirikan di atas tanah seluas satu ekar, banglo itu sebenarnya menyimpan makna tersendiri buat penyanyi Amelina.

Jika dahulu, setiap kali menjelang lebaran kediaman itu begitu riuh-rendah dengan gelak ketawa Amelina serta adik-beradiknya yang lain, namun kini semuanya sepi dan hilang ditelan masa.

"Emak rasa Along telah tersilap memilih masa depan. Apa yang dipilihnya hari ini amat merugikan dirinya sendiri. Rugi di dunia kerana kehilangan punca rezekinya dan rugi di akhirat kerana membuang keluarga.

"Apakah Along tidak menyedari bahawa syurga itu sebenarnya terletak di bawah telapak kaki ibu,'' soal Hasmah yang nyata tidak mampu lagi untuk membendung perasaan sedih dalam dirinya.

Pada pertemuan itu, Hasmah tidak keseorangan kerana beliau turut ditemani beberapa saudara yang rapat dengannya seperti Syamsidar Ibrahim @ Induk, Rasiah Chik @ Kak Siah, Rasidah Ibrahim dan Abdullah Hidir @ Pak cik Hidir, serta Amir Hanafi iaitu adik Amelina.

Manakala suaminya hanya terlantar di atas katil di dalam bilik utama rumah tersebut.

Di antara mereka, Amelina sebenarnya begitu rapat dengan Induk dan Kak Ras dan keakraban itu juga membuatkan Amelina sering berkongsi apa sahaja cerita atau masalah peribadi yang pernah ditanggungnya.

"Sebagai ibu, saya sebolehnya enggan mendoakan sesuatu yang buruk kerana tidak mahu hidup anak saya huru-hara baik di dunia mahupun di akhirat kelak,'' rendah sekali ungkap Hasmah.

Sesekali mengesat air matanya Hasmah menambah, pada hari dan bulan yang baik ini dia sebenarnya cuba untuk tidak mengungkit perkara silam.

"Yang lepas biarlah berlalu pergi Along. Emak tidak mahu Along menanggung penderitaan. Sedarlah Along bahawa sesungguhnya kasih dan sayang emak kepada Along tidak pernah pudar. Pulanglah sayang.

"Kalau benar sekalipun emak dan abah yang bersalah... maafkan kami,'' katanya.

Dan sebagai ibu, Hasmah tidak dapat lari daripada merindui dan kepingin untuk menimang cucu kerana daripada apa yang didengarnya, Amelina khabarnya sudah melahirkan anak lelaki.

"Yang pasti kasih sayang saya kepada Along tidak berubah dan saya akan terus sabar menanti kepulangannya pada pagi raya,'' kata Hasmah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.