saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 19/01/2001

Asasi Sains UM ditutup -- Pensyarah, bekas pelajar desak pusat itu dipertahankan

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) yang ditubuhkan pada 1977 untuk membantu meningkatkan pencapaian pelajar Melayu dalam bidang sains pada peringkat prauniversiti akan ditutup April ini.

Cadangan penutupan pusat itu mendapat bantahan bukan sahaja daripada para pensyarah yang sedia ada, malah oleh bekas pelajarnya serta beberapa cendekiawan - yang mahu ia dipertahankan selari dengan kewujudan UM sendiri.

Penubuhan pusat berkenaan diilhamkan oleh bekas Naib Canselornya Profesor Diraja Ungku Aziz dan mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang pada ketika itu adalah Menteri Pendidikan.

Ia kemudian dikembangkan dengan penubuhan Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ) di bawah Dasar Pandang Ke Timur.

Objektif asal penubuhan pusat itu adalah untuk mengimbangi kemampuan para pelajar Melayu untuk bersaing secara kompetitif dengan bukan Melayu dalam semua bidang berteraskan sains di UM.

Langkah penutupan itu dikhuatiri akan mengembalikan ketidakseimbangan pencapaian akademik yang teruk di antara pelajar Melayu dan bukan Melayu di fakulti-fakulti sainsnya sepertimana yang pernah berlaku 23 tahun lalu.

Malah UM dikhuatiri akan berdepan dengan masalah mengisi kuota pelajar Melayu di beberapa fakulti sainsnya.

''Terimalah kenyataan... pemansuhan pusat ini merupakan satu kerugian besar dan menggugat survival pelajar Melayu di UM,'' kata salah seorang pensyarah pusat berkenaan Prof. Madya Dr. Rustam Puteh dalam satu pertemuan dengan Utusan di sini hari.

Pusat itu yang kini mempunyai saki baki 300 pelajar asasi hanya menunggu masa untuk ditutup pada April ini.

Kata mereka, setelah 23 tahun sekumpulan cendekiawan cuba memupuk kecemerlangan akademik di kalangan para pelajar Melayu melalui pusat berkenaan, kini secara tiba-tiba sahaja usaha itu hendak dihentikan.

''Kenapa satu usaha yang sudah secara terang-terangan memberi kebaikan, secara tiba-tiba sahaja hendak ditutup?'' tanya beliau.

Para pensyarah yakin seandainya pusat itu ditutup maka dalam tempoh lima hingga 10 tahun sahaja akan wujud fenomena pelajar Melayu paling ramai gagal atau dibuang universiti, sementara bukan Melayu paling ramai yang mendapat keputusan cemerlang.

Para pensyarah berkenaan tidak meyakini kemampuan pusat-pusat Matrikulasi Kementerian Pendidikan menyediakan pelajar yang dapat memenuhi standard fakulti-fakulti sains di UM berdasarkan beberapa kajian kes mereka.

Sehingga kini Kementerian Pendidikan telah membina 18 buah pusat matrikulasi di seluruh negara, yang akan mengambil alih program matrikulasi universiti-universiti, termasuk Pusat Asasi Sains UM itu.

Dr. Rustam berkata, selama lebih 20 tahun ini mereka tercari-cari rumus terbaik untuk menyediakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada satu persekitaran fakulti yang ideal.

Beliau membayangkan kesan ketara penutupan itu ialah akan berlaku ketidakseimbangan tebaran intelektual pelajar di UM.

Pelajar-pelajar terbaik daripada semua latar belakang keturunan akan memasuki UM dan akhirnya tekanan akademik akan dirasai oleh pelajar-pelajar Melayu kerana gagal bersaing, kata Dr. Rustam.

''Para pensyarah pusat ini akan diserap ke fakulti, kami tidak rugi apa-apa tetapi pelajar Melayu yang rugi,'' katanya.

Seorang lagi pensyarah di pusat berkenaan, Prof. Madya Dr. Ismail Mat berkata, alasan-alasan seperti para pensyarah di pusat berkenaan yang 'terlebih kelayakan' serta tidak perlu UM mempunyai pusat prauniversiti tidak boleh diterima.

''Rata-rata pensyarah di sini adalah Melayu dan pemegang ijazah kedoktoran dan sebahagian besar bergelar profesor madya, malah profesor,'' katanya.

Katanya, berbanding dengan tenaga pengajar di pusat-pusat Matrikulasi Kementerian Pendidikan, maka tenaga pengajar di Pusat Asasi Sains UM lebih berkelayakan dan memahami acuan-acuan yang sepadan dengan kehendak di fakulti.

''Secara peribadi.. saya rasa masih belum terlambat untuk menarik balik arahan menutup balik Pusat Asasi Sains UM ini,'' ujarnya.

Seorang lagi pensyarah yang telah berkhidmat selama pusat itu diasaskan berkata, masalah paling serius kesan daripada penutupannya ialah untuk memenuhkan kuota pelajar Melayu.

''Kita bimbang yang tidak berkelayakan pun akan disumbat ke fakulti-fakulti sains, menyebabkan kualiti graduan Melayu akan dipersoalkan kelak,'' kata pensyarah itu.

Oleh: WAHID HASHIM

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.