saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 02/02/2001

PM isytihar Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan


DR. MAHATHIR Mohamad menandatangani plak pengisytiharan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan di Putrajaya, semalam. Turut menyaksikan upacara itu ialah Abdullah Ahmad Badawi (tiga dari kiri), Ketua Setiausaha Negara, Samsudin Osman (dua dari kiri) dan Dr. Mohamad Khir Toyo (dua dari kanan). - Gambar ZAINI HUSIN.


PUTRAJAYA 1 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan secara rasmi Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan dalam satu majlis penuh bermakna yang diadakan di Dataran Perdana di sini.

Pengisytiharan itu menjadikan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Labuan.

Selain itu, ia mencatat sejarah kepada pembangunan negara apabila menjadi pusat pentadbiran negara yang baru secara rasmi.

Menurut Dr. Mahathir, penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan satu lagi petanda bahawa proses ke arah mencapai Wawasan 2020 sedang berjalan dengan baik.

``Kerananya juga sebuah negara Malaysia yang maju akan menjadi satu kenyataan,'' katanya sewaktu berucap pada majlis pengisytiharan tersebut.

Antara yang hadir pada majlis yang penuh simbolik itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd. Khir Toyo, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para diplomat asing.

Turut hadir ialah beberapa pemimpin pembangkang termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan, Abdul Halim Abdul Rahman.

Perdana Menteri berkata, kerajaan merasa amat gembira kerana berjaya membangunkan Putrajaya lebih-lebih lagi selepas kerajaan Selangor bersetuju menyerahkan kawasan tersebut kepada Kerajaan Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, dengan terbinanya bandar tersebut akan membolehkan kerajaan mempertingkatkan lagi khidmatnya kepada rakyat dengan lebih cekap, cepat dan berkesan.

``Dengan itu juga, pembangunan yang lebih pesat akan dapat dinikmati secara langsung oleh Selangor dan secara amnya oleh seluruh negara,'' katanya lagi.

Dr. Mahathir berkata, Putrajaya yang mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj itu sebenarnya dibina dengan ciri-ciri kemajuan yang dihasratkan oleh negara untuk memacu ke arah kemajuan yang melewati rangka Wawasan 2020.

Ujarnya, bandar tersebut juga dilengkapi dengan infrastruktur tercanggih dari segi komunikasi serta urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan pentadbiran yang moden, cekap, berkesan serta maju.

Kata beliau, pembinaan bandar itu tidak mengabaikan kepentingan penduduknya apabila mereka disediakan dengan suasana dan kemudahan yang membentuk cara hidup yang selaras dengan tahap kemajuan negara.

Pada ucapan yang sama, Dr. Mahathir sekali lagi membidas pihak-pihak tertentu yang masih melemparkan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan berhubung pembinaan Putrajaya termasuk mengatakannya sebagai projek mega yang membazir.

Jelas beliau, tuduhan sedemikian yang `amat aneh' itu pasti tidak akan timbul jika golongan berkenaan memahami tentang putaran ekonomi dan kepentingan pembangunan bandar baru.

``Kenapakah tidak ada tuduhan seperti ini apabila Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan bandar-bandar lain dirancang dan dibangunkan?

``Jawapannya ialah politik yang mencari isu untuk memburukkan kerajaan,'' katanya.

Tegas Dr. Mahathir, golongan tidak bertanggungjawab ini sanggup mengetepikan kepentingan negara semata-mata demi kepentingan politik mereka.

``Hanya dengan kepentingan politik ini, mereka sanggup bersubahat dengan orang asing dan menuduh kononnya Putrajaya adalah projek mega dan membazir,'' katanya.

Beliau menegaskan, pembaziran tidak berlaku dalam pembinaan Putrajaya kerana ia tidak sedikitpun menjejaskan kewangan negara.

``Jika ada pembaziran sudah tentu kewangan negara kita tenat dan bermasalah. Tetapi seperti mana semua tahu, kita bukan sahaja mampu membiayai perbelanjaan negara malah rizab kita lebih tinggi daripada sebelum kegawatan,'' katanya.

Tambah Perdana Menteri, Putrajaya bukannya didirikan semata-mata untuk pemimpin kerajaan pada hari ini.

Sebaliknya, ujar beliau, bandar itu adalah untuk semua pemimpin akan datang iaitu pemimpin sebuah negara yang sudah mencapai tahap pembangunan yang tinggi dan maju.

``Kita tidak ingin melihat setiap kali pemimpin baru ditabalkan maka rumah baru perlu dibina untuknya atau lebih buruk lagi bandar baru dijadikan ibu kotanya,'' kata beliau.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut menurunkan tandatangannya pada plak perisytiharan Putrajaya sebagai tanda simbolik bandar itu secara rasmi menjadi sebuah Wilayah Persekutuan.

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan AKMAR HISHAM MOKHLES

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.