saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/02/2001

Wetland: Dunia lembap untuk diteroka


TAMAN Wetland Putrajaya.


Oleh: NOOR AZAM SHAIRI
TAMAN Wetland Putrajaya yang dirasmikan pembukaannya hari ini akan dikenang dalam sejarah kerana dua peristiwa; pertama, ia dirasmikan sempena perisytiharan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan semalam dan keduanya, kerana hari ini juga ulang tahun ke-30 Perjanjian Ramsar.

Perjanjian Ramsar adalah yang tertua tentang alam sekitar. Pada hujung bulan Januari 1971, Ramsar, sebuah bandar kecil di Iran yang terletak di tepi Laut Kaspian, menjadi tuan rumah Persidangan Wetland Antarabangsa.

Pada 2 Februari berikutnya, perwakilan 18 buah negara itu mencapai kata sepakat tentang perlunya wetland dipelihara dan dimanfaatkan sebaik mungkin demi kesejahteraan umat manusia.

Malaysia menjadi negara anggota Perjanjian Ramsar yang ke-84 pada tahun 1995. Pelancaran Taman Wetland Putrajaya yang terletak dalam Wetland Putrajaya hari ini adalah kelangsungan ikrar Malaysia memulihara dan mempertahankan wetland serta memanfaatkan kegunaannya sebaik mungkin mengikut perjanjian itu.

Wetland Putrajaya itu merupakan kawasan simpanan atau pusat wetland yang keenam di negara ini selepas Tasik Bera di Pahang, Taman Alam Kuala Selangor dan Kawasan Perlindungan Wetland Paya Indah di Selangor, Wetland Likas di Sabah dan Kawasan Perlindungan Burung Kuala Gula di Perak.

Dari segi bahasanya, wetland bermakna tanah yang berair atau tanah lembap. Ini termasuk sungai, tasik, paya dan rawang. Tetapi ia juga merangkumi hutan paya bakau, hutan air tawar, hutan paya gambut, pesisir pantai dan beting. Malah kawasan berair buatan manusia seperti sawah padi, terusan dan empangan juga jatuh dalam kategori wetland.

Kalau melihat kepada rupanya, tidak ada apa yang menarik tentang wetland ini kecuali semak samun. Malah, apa yang menariknya tentang hutan paya bakau berbanding sebuah taman bunga?

Tetapi kawasan berair yang mungkin tidak memikat pandangan itu sebenarnya kaya dengan khazanah alam dan mempunyai pelbagai fungsi mengikut keadaan dan kedudukannya.

Di samping membekalkan air untuk kegunaan harian, ia memperlahankan larian air dan maka itu ia mengawal banjir apabila berlakunya hujan lebat.

Kalau di tepi pantai, ia menghalang kemasukan air masin yang boleh menjejaskan bekalan air tawar dan merosakkan tanaman selain mengadang angin dan mengawal hakisan.

Kawasan berair terutamanya di hutan paya gambut berfungsi mengimbangi suhu alam semula jadi apabila ia bertindak memerangkap karbon dioksida yang dilepaskan ke udara melalui proses pereputan kayu mati atau daun gugur.

Tetapi wetland di Putrajaya mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya iaitu sebagai penapis dan pembersih air yang akan masuk ke Tasik Putrajaya yang terletak di tengah-tengah bandar raya dan menjadi mercu tandanya.

``Inilah buah pinggang kepada Putrajaya,'' kata Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya, Jebasingam Issace John.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Bandar, Datuk Ir. Mohd. Othman Zainal Azim, tasik itu direka untuk pelbagai kegunaan.

Selain menyediakan ruang untuk kegiatan riadah, sukan air dan aktiviti keluarga di hujung minggu, Tasik Putrajaya juga memberikan nilai-nilai estetika kepada bandar itu.

Tetapi bagaimana proses penapisan dan pembersihan itu berlaku? Rangkaian Wetland Putrajaya terdiri daripada dua komponen iaitu Tasik Putrajaya dan siri sel wetlandnya. Tasik Putrajaya dibentuk dengan membentung Sungai Chuau yang mengalir melalui pusat pentadbiran.

Tasik itu mengelilingi kawasan utama Putrajaya dan mengandungi beberapa buah pulau buatan yang menjadi tapak kepada kawasan komersial dan kediaman serta menempatkan beberapa kemudahan infrastruktur.

Bagi mengawal pencemaran dan mendapan masuk ke tasik itu, Wetland Putrajaya seluas 162 hektar itu dibangunkan menjadi 24 sel yang bertindak sebagai perangkap dan penapis semula jadi. Siri sel wetland itu dibina di bahagian utara sempadan Putrajaya berhampiran dengan hulu pertembungan tiga cabang utama Sungai Chuau. Siri sel yang serupa turut dibina di hulu Sungai Bisa yang juga merupakan sumber utama kepada Sungai Chuau.

Sel wetland itu berfungsi memerangkap dan mengasingkan bahan cemar yang ada dalam air sebelum ia masuk ke Tasik Putrajaya. Keladak itu kemudiannya mendap ke dasar sel dan menjadi makanan kepada tumbuh-tumbuhan di situ. Sel wetland itu juga bertindak menapis zat berlebihan yang ada dalam air.

Selain menjadi makanan kepada tumbuh-tumbuhan, zat tadi juga akan melalui proses kimia dan biologi sebelum ditukar menjadi bahan lain yang kurang berbahaya.

Sekiranya air itu mengandungi bahan racun, sel wetland itu adalah penawarnya. Lazimnya tumbuhan seperti banat dan rumput gedabung digunakan untuk memerangkap bahan toksik atau logam berat yang ada dalam air termasuk kadmium, raksa, nikel dan tembaga. Bahan-bahan itu akan diserap oleh tisu pokok-pokok tadi.

Siri sel wetland yang 24 itu dibina berbeza-beza mengikut tahap air yang akan melaluinya. Ia ditanam dengan tumbuh-tumbuhan paya terpilih seperti rumput mensiang, rumput sadang, rumput butang, ubi puron dan rumput kercut yang bertindak sebagai penapis dan pembersih semula jadi.

``Cara ini lebih mudah dan murah berbanding kalau dibuat secara mekanikal,'' kata Mohd. Othman.

Apa yang dikatakan oleh Mohd. Othman itu ada kewajarannya. Pihak berkuasa bandar raya New York misalnya, menjimatkan antara AS$3 hingga 8 bilion (RM11.4 - 30.4 bilion) kos pembinaan pusat rawatan air (tidak termasuk kos penyelenggaraan sehingga AS$700 juta atau RM2.7 bilion setahun) melalui kaedah yang sama. Ia hanya melabur sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.7 bilion) dengan membeli tanah ke utara kawasan takungan airnya. Apabila tanah itu menjadi milik pihak berkuasa, mereka dengan mudah boleh melaksanakan langkah-langkah melindungi sumber air dan menjalankan proses pembersihan secara semula jadi.

Selain peranannya yang disebutkan di atas, Wetland Putrajaya juga menjadi habitat semula jadi kepada haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan di kawasan berair.

``Kita juga mahu ia jadi pusat kajian, penyelidikan dan pendidikan sains,'' kata Issace.

Pada masa yang sama, tambah Mohd. Othman, Taman Wetland itu adalah satu daripada 13 taman pelbagai tema yang dibangunkan di Putrajaya sebagai tempat rekreasi dan kegiatan kekeluargaan.

``Kita menawarkan pembangunan yang seimbang dan kehidupan yang berkualiti di bandar raya ini,'' katanya.

Wetland Putrajaya adalah wetland buatan manusia. Oleh itu, sejumlah 70 spesies tumbuhan wetland asli telah ditanam manakala 24 spesies ikan air tawar tempatan termasuk jelawat, patin, pelaga, belut, temakang, ketutu, belida, kaloi, tengalan, sebarau dan lampam sungai telah dilepaskan.

Menurut Issace, setakat ini sekurang-kurangnya lima spesis burung air telah ditemui di Wetland Putrajaya termasuk burung yang berhijrah seperti bangau kecil, pucung serandau selain burung tempatan seperti pucung merah dan wak-wak.

``Masa terbaik untuk melihatnya ialah pada awal pagi dan lewat petang,'' jelas Issace.

Selain burung-burung itu, dikatakan juga burung raja udang, pekaka dada putih, helang tikus, suala api, pucung bendang dan pucung keladi boleh dilihat di sekitar wetland itu.

Taman Wetland seluas 136 hektar yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempunyai pelbagai kemudahan bagi membantu orang ramai meneroka keunikan dan keindahan Wetland Putrajaya.

Ia dilengkapi dengan sebuah Pusat Penghayatan Alam yang menyediakan ruang pameran serta bilik pandang dengar, Menara Pandang Jauh setinggi 18 meter serta denai alam untuk kemudahan menikmati alam.

Di Pusat Penghayatan Alam itu, anda akan dibawa mendekati dan memahami dunia wetland, peranan dan kehidupannya dengan lebih dekat.

Sesuai dengan tema sambutan Hari Wetland Sedunia, `Dunia Wetland - Dunia untuk diteroka', Taman Wetland Putrajaya yang dilancarkan hari ini adalah tapak pertama untuk kita meneruskan langkah panjang menyingkap keunikan Wetland Putrajaya.

Taman Wetland yang dilancarkan pada hari ini adalah bukti nyata betapa Putrajaya merupakan sebuah bandar yang dibina dengan semangat dan falsafah zaman ini iaitu keseimbangan alam, penekanan kepada kualiti hidup serta pembangunan mampan.

Maka itu wajarlah ia mendapat julukan `Bandar Raya dalam Taman', malah ada yang menggelarkannya `Bandar Raya Abad Ke-21'.

Selebihnya, majlis hari ini mengingatkan kita betapa alam yang ada ini adalah untuk dipelihara dan bukan dimusnahkan kerana ia cuma kita pinjam daripada generasi akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.