saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/02/2001

LPT bakal merubah Pantai Timur

Oleh: SAMSOR JUNET
ABAD ke-21 nampaknya membawa tuah kepada Pahang apabila projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang menghubungkan koridor pembangunan Pantai Timur dan Barat berharga RM1.27 bilion kini giat dilaksanakan.

Pembinaan lebuh raya baru 169 kilometer menghubungkan Karak di Pahang dan Chendering di Terengganu dijangka siap sepenuhnya Ogos 2003 dan setakat ini lebih 10 peratus telah dilaksanakan.

Tidak seperti pembinaan beberapa lebuh raya lain di seluruh negara sebelum ini, isu LPT itu sangatlah riuh-rendah dengan kontroversi sejak awal 1990-an.

LPT mengundang pelbagai kontroversi dan semakin hangat selepas pilihan raya umum 1999 apabila kejatuhan Terengganu kepada pembangkang, sekali gus menyaksikan isu LPT diheret sama.

Macam-macam kontroversi timbul antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Terengganu mengenai sama ada hendak diteruskan projek itu atau tidak. Pendek kata, kedua-dua belah pihak bermain tarik tali mengenai projek ini.

Maklumlah, ia projek serampang dua hingga tujuh mata: di samping untuk pembangunan, ia juga mesti memberi impak politik yang menguntungkan pemerintah, ini perkara biasa.

Untuk kesekian kali LPT menghadapi kontroversi-kontroversi melucukan apabila Kerajaan Pusat mengatakan mesti ada tol, kerajaan Terengganu pula berkata sebaliknya.

Akhirnya kerajaan Terengganu berkata mereka akan buat LPT sendiri. Kerajaan Terengganu yang baru hendak memerintah `Kuwait Pantai Timur'' itu pula ditanya oleh rakyat: ``Bolehkah dia buat LPT''?

Apabila isu pembinaan LPT diperkatakan terlalu lama sehingga melebihi tujuh tahun, sedangkan bayang hutan yang hendak ditebas untuk dibuat jalan pun tidak nampak di Pahang, rakyat semakin keliru.

``Jadi ke tak jadi LPT ini'' merupakan ungkapan yang biasa diluahkan oleh orang ramai di kedai-kedai kopi di Kuantan khususnya apabila terbaca berita LPT kononnya akan dilaksanakan.

Bagi mereka, LPT ibarat menunggu bulan jatuh ke riba malah dalam nada berseloroh ada yang berkata, ibarat menunggu harimau belang tidur di sebelah kita - maksudnya langsung tidak jadi.

Apa pun, selepas lebih setahun pilihan raya umum 1999 selesai, yang turut menyaksikan isu LPT ini sekali lagi dibincangkan serta mendapat perhatian umum, akhirnya ia dapat juga dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Omar Othman yang begitu mengambil berat soal LPT ini telah melawat tapak projek berkenaan baru-baru ini.

Beliau sendiri mengakui hakikat, bahawa dengan bermulanya projek LPT ini, ia dapat menghapuskan sama sekali kesangsian penduduk Pahang yang tertanya-tanya status projek itu sejak sekian lama.

Sebenarnya, projek LPT ini pada mulanya dirancang oleh kerajaan untuk dilaksanakan secara penswastaan di mana perjanjian konsesinya telah dimeterai pada 9 September 1998.

Bagaimanapun disebabkan syarikat konsesi itu gagal menjadikan perjanjian berkenaan terbatal dengan sendirinya. Ekoran itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk membiayai sendiri LPT.

Sebagai permulaan, ia telah menawarkan pelaksanaan Fasa 1 LPT dari Karak ke Kuantan kepada MTD Capital Bhd. secara rundingan terus dengan kadar RM7.5 juta sekilometer.

Surat niat telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya kepada MTD Capital Bhd. pada 1 Mac tahun lalu.

Memandangkan projek ini dibiayai sendiri oleh kerajaan dan dikendalikan secara turnkey, maka segala kerja-kerja pengawasan, penyeliaan dan pemantauan projek dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Dokumen kontrak bagi projek ini telah ditandatangani di antara LLM dan MTD Capital pada 17 Januari tahun ini.

Hanya setelah semua ini selesai, barulah lebuh raya yang dinantikan ini serta menyebabkan orang Pantai Timur khususnya di Pahang seakan-akan kempunan merasainya, benar-benar menjadi kenyataan.

Fasa 1 LPT dari Karak ke Kuantan menelan belanja RM1.27 bilion dijangka siap sepenuhnya pada 14 Ogos 2003 merupakan sambungan dari Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak yang ada sekarang.

Apabila siap nanti, ia akan memendekkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan yang kini mengambil masa empat jam dapat dikurangkan kepada kira-kira dua jam sahaja.

Pembinaan LPT melibatkan pengambilan kawasan tanah rakyat seluas 2,203.45 hektar dengan kos RM292 juta yang terdapat di laluannya di sekitar Karak, Lanchang, Mentakab, Temerloh, Chenor, Maran dan Kuantan.

Ciri-ciri utama lebuh raya baru ini adalah menyerupai lebuh raya PLUS yang mana ia beroperasi secara sistem lebuh raya tol tertutup.

Ia juga mengandungi tujuh pakej iaitu dari Karak ke Lanchang sejauh 25 kilometer, Lanchang-Temerloh (25 kilometer), Temerloh Chenor (13km), Chenor-Maran (27km), Maran-Gambang (50km), Gambang-Kuantan (22km) dan dari Kuantan ke sempadan Terengganu sejauh tujuh kilometer lagi.

Lebuh raya canggih ini mempunyai empat lorong dua hala dengan reka bentuk had kelajuan 120 kilometer sejam.

Selain itu ia mengandungi tujuh persimpangan bertingkat, empat buah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di kedua-dua arah, enam hentian sebelah di kedua-dua arah dan stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tujuh persimpangan bertingkat akan dibina masing-masing di Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Gambang dan Kuantan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah LLM, Ghazali Mohd. Noor berkata, projek LPT ini akan menyaksikan penebangan pokok dan penarahan bukit yang minimum sekali.

Menurutnya, langkah itu sejajar dengan laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang memberikan penekanan terhadap usaha meminimumkan kesan-kesan pembinaan projek terhadap alam sekitar.

Oleh itu, katanya, piawaian antarabangsa akan diguna pakai dalam pembinaan LPT bagi memastikan laluan baru ini kelak tidak mempunyai banyak selekoh untuk perjalanan lebih selamat.

Yang pasti, pembinaan lebuh raya ini akan menjadi penjana utama merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi penduduk Pantai Timur khususnya di Pahang pada masa depan.

Apabila siap nanti, lebih banyak pelabur asing akan datang ke Pahang untuk membuat pelbagai jenis pelaburan terutama yang berkaitan petrokimia di Gebeng misalnya.

Malah baru-baru ini, Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Mohd. Salleh Sulong berkata, pihaknya sanggup memindahkan operasi kilangnya di Selangor ke Pahang disebabkan pelbagai faktor.

Faktor-faktor itu sudah tentunya ada kaitan rapat dengan soal penjimatan kos operasi kilang-kilang DRB-HICOM di Pekan dan salah satunya tentulah projek LPT yang dalam pelaksanaan ini.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, pemindahan kilang DRB-HICOM itu memberi kesan langsung kepada impian orang Pekan untuk melihat bandar diraja itu berubah wajah kepada bandar automotif.

Sebenarnya, bukan sahaja Kuantan dan Pekan sahaja yang dijangka berkembang lebih pesat dengan adanya LPT, malah kita percaya beberapa pekan kecil di Pahang yang tidak dikenali selama ini mungkin menjadi sebutan.

LPT ini juga dijangka memajukan lagi pekan-pekan kecil seperti Sri Jaya, Gambang, Chenor, Lanchang dan banyak lagi yang selama ini sangat tidak diketahui oleh orang luar.

Ini kerana sedikit sebanyak pekan-pekan kecil itu akan menjadi transit kepada persimpangan bertingkat yang akan dibina nanti.

Apabila keadaan ini berlaku, lama-kelamaan pekan-pekan ini yang dahulunya amat asing kepada orang luar akan berkembang perniagaannya apabila mempunyai banyak pelanggan yang singgah dengan selesa.

LPT turut memudahkan pelancong ke Pahang untuk menikmati keindahan produk Pantai Cherating, Taman Negara, Gunung Senyum, bekas kawasan perlombongan terdalam di dunia di Sungai Lembing, Pulau Tioman dan banyak lagi.

Kesemua kesan daripada projek LPT ini akan berlaku secara perlahan-lahan tetapi pada akhirnya ia juga mendorong kepada peningkatan jumlah penduduk serta meningkatkan kuasa beli di bandar-bandar tersebut. Jika keadaan ini berlaku berterusan untuk tempoh 10 atau 20 tahun selepas LPT dibuka 2003 nanti, tidak dapat tidak, Pahang akan mencapai kemajuan pesat sebagaimana berlaku di negeri-negeri Pantai Barat.

Bagaimanapun, ketika ini terdapat penduduk yang tidak puas hati dengan nilai pampasan yang ditawarkan bagi tanah mereka yang diambil untuk projek LPT sebagaimana berlaku di Lanchang dan beberapa tempat lagi.

Dalam hubungan ini kata Omar, Jabatan Penilaian Harta serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang mempunyai garis panduan tersendiri berkaitan jumlah yang wajar dibayar kepada pemilik tanah persendirian itu.

Menurutnya, pemilik tanah perlu memahami bahawa kadar bayaran yang dikeluarkan adalah berbeza sama ada tanah berkenaan jenis milik kekal, pajakan atau sementara.

Yang pasti LPT merupakan projek rahmat yang tidak ternilai harganya kepada penduduk Pahang yang selama ini begitu sabar menunggunya. Ia hanya menjadi kenyataan selepas kemunculan abad baru ke-21.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.