saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/02/2001

Pentas baru suara Asia

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI (WARTAWAN UTUSAN)
TIDAK lama sebelum kematiannya, Rabindranath Tagore pernah menyuarakan impian betapa akan datang satu hari yang memungkinkan munculnya Asia yang cemerlang dan gemilang; Asia yang bangkit merebut semula warisannya yang hilang.

``Mungkin fajar itu akan menyingsing dari ufuk ini, dari timur tempat matahari terbit,'' kata penyair dan ahli falsafah pemenang Hadiah Nobel tahun 1913 itu.

Barangkali tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa fajar yang dibayangkan oleh Tagore 60 tahun lalu bakal terbit esok di Boao, sebuah bandar kecil di Kepulauan Hainan di China.

Boao akan menjadi tuan rumah kepada Forum Asia, satu inisiatif menghimpunkan para pemimpin perniagaan, negarawan dan ahli akademik di Asia untuk duduk semeja dan berbincang tentang cabaran yang dihadapi oleh rantau ini dalam arus perubahan dunia semasa khasnya gelombang globalisasi.

Dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar The Star minggu lalu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Protem Forum Asia, Tan Sri Ajit Singh berkata, forum itu adalah satu pentas baru untuk negara-negara Asia menyuarakan pandangan tentang kepentingan bangsa Asia.

Tidak seperti platform negara-negara Asia yang lain seperti ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) yang lebih bersifat politik, Forum Asia ini lebih menjurus kepada sektor perniagaan.

Forum Asia adalah satu idea yang dicetuskan oleh tiga pemimpin kanan iaitu bekas Perdana Menteri Jepun, Morihiro Hosakawa; bekas Presiden Filipina, Fidel Ramos dan bekas Perdana Menteri Australia, Bob Hawke ketika krisis ekonomi memuncak pada September 1998.

Ia dicadang dibentuk dengan mengambil pendekatan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland yang terlibat merangka agenda ekonomi dunia sejak tahun 1971.

Pertemuan di Boao bermula esok adalah satu mesyuarat jawatankuasa persediaan sebagai persiapan menghadapi persidangan rasmi yang dijadual diadakan tahun depan.

Apa yang akan berlaku di Boao pada minggu ini ialah pengesahan kenyataan misi Forum Asia dan struktur sekretariat tetapnya yang akan berpejabat di bandar itu.

Penglibatan Malaysia dalam Forum Asia ini begitu bermakna kerana Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama esok.

Selain itu, Ajit Singh yang berpengalaman luas dalam hubungan serantau pula akan disahkan pelantikannya sebagai Setiausaha Agung. Beliau sebelum ini adalah Setiausaha Agung ASEAN.

Dari segi operasinya, Forum Asia akan dibantu oleh satu Majlis Pemimpin yang dianggotai oleh negarawan, ahli perniagaan dan tokoh akademik dari seluruh Asia. Majlis itu akan bertindak sebagai penasihat kepada Forum Asia, dan Tan Sri Musa Hitam adalah salah seorang anggotanya.

Selain itu, satu institut kajian juga akan ditubuhkan yang berperanan sebagai kumpulan pemikir kepada Forum Asia. Institut itu akan membuat jaringan dengan institusi akademik di rantau ini. Antara aspek yang akan diberi tumpuan oleh institut itu ialah kesan globalisasi ke atas ekonomi Asia serta mengenal pasti peluang dan strategi baru menghadapi arus perubahan.

Pengarah Third World Network (TWN), Martin Khor Kok Peng ketika diminta mengulas penubuhan Forum Asia itu berharap ia akan menjadi ruang untuk negara-negara Asia membangunkan perspektifnya sendiri dalam isu-isu antarabangsa khususnya kesan globalisasi dan perubahan aliran ekonomi dunia.

``Kita perlu ada perspektif Asia, perspektif kita sendiri. Perspektif kita tentang krisis ekonomi yang lepas adalah tepat tetapi ia ditenggelami oleh perspektif IMF (Dana Kewangan Antarabangsa),'' katanya.

Ketika Asia menekankan bahawa kejatuhan ekonomi itu sebagai kesan daripada serangan tidak bertanggungjawab para spekulator mata wang asing, IMF yang dimonopoli oleh Barat menyifatkannya berpunca daripada kelemahan pengurusan ekonomi dan pentadbiran dalaman negara-negara terlibat.

``Krisis itu telah menyedarkan kita betapa pentingnya ada satu platform seperti Forum Asia yang hendak dizahirkan pada minggu ini,'' kata Martin.

Beliau yang banyak terlibat secara langsung dalam forum atau seminar ekonomi serantau dan antarabangsa berpendapat bahawa Boao adalah jawapan Asia kepada Davos.

``Davos itu forum yang disusun oleh mahaguru pengurusan dan perniagaan Barat. Walaupun wakil Asia ada dijemput hadir tetapi idea yang dibangunkan di situ lebih cenderung mengikut acuan pandangan Barat,'' tegasnya.

Pengarah Eksekutif World Enterprise Institute Malaysia, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkongsi pendapat dengan Martin. WEIM adalah sebuah pusat penyelidikan dan institut pembangunan pengurusan bebas yang dipengerusikan oleh Musa Hitam.

``Apa yang hendak dibuat di Boao itu menarik, cukup menarik. Ia WEF Davos versi Asia,'' kata Nungsari.

Beliau berharap Forum Asia mampu menjadi satu platform untuk membentuk pandangan dunia dari perspektif Asia yang akhirnya dapat mewarnai perbahasan isu-isu global.

``Selama ini, apabila dunia kita menjadi semakin kecil dan dekat, kebanyakan isu dunia dijana dan dibincang oleh para intelek dari Barat. Mereka ini pemain utamanya sedangkan negara-negara Asia hanya jadi penerima akibat,'' katanya.

Namun satu masalah yang mungkin timbul ialah negara-negara Asia itu mempunyai latar belakang yang pelbagai dari segi warna politik dan suhu ekonomi di samping sasaran kepentingan yang cukup berbeza.

Nungsari mengakui hakikat betapa saling berbezanya negara-negara Asia. ``Tetapi jangan lupa bahawa kita adalah sebahagian besar daripada dunia,'' katanya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju ketika dikemukakan pandangan kemungkinan Forum Asia akan menjadi pentas untuk menjuarai realiti jurang blok Utara-Selatan.

``Saya tidak fikir begitu. Timur-Barat lebih baik daripada Utara-Selatan kerana kita ada perbezaan dari segi budaya, nilai, perspektif dan pengalaman sejarah,'' katanya.

Forum Asia juga tidak harus menjadi pentas untuk berkonfrontasi dengan Barat kerana katanya, ``kita bukan hendak cari siapa betul, siapa salah.

``Sebaliknya, melalui forum seperti ini kita mempunyai peluang untuk menentukan dunia bagaimana yang kita mahu untuk 50 atau 100 tahun akan datang.''

Dalam hal yang sama, Martin Khor berharap agar forum itu dapat membincangkan masalah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dari perspektif Asia serta keperluan mengubah sistem kewangan dunia dan membentuk polisi yang berbeza daripada IMF.

Sementara itu, Nungsari berharap Forum Asia tidak ``dirampas'' oleh China untuk menjuarai kepentingannya sebagai salah satu kuasa besar dunia. Kebimbangan beliau itu _ dan orang lain juga _ timbul kerana Forum Asia akan didaftarkan sebagai sebuah syarikat di China dan beribu pejabat tetap di Boao.

Tegas beliau, Forum Asia bukan saja harus kekal bebas, tetapi ia harus terus dilihat menjadi milik semua negara Asia.

``Persepsi umum itu penting supaya kredibiliti Forum Asia akan terus dihormati oleh masyarakat dunia,'' katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Majlis Sekuriti Makanan dan Perdagangan Adil Asia Tenggara (SEA Council), T. Indrani mempunyai pandangan yang sedikit skeptikal terhadap Forum Asia.

Beliau menyifatkannya sebagai `terlalu memberi tumpuan kepada sektor ekonomi dan menyempitkan ruang untuk pembangunan masyarakat secara umum.'

Dengan ruang yang terhad kepada pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama menyuarakan pandangan mereka tentang kesan globalisasi kepada masyarakat secara umum, Indrani berpendapat Forum Asia tidak ubah sama seperti forum atau platform serantau dan antarabangsa yang lain.

Kerana globalisasi adalah satu fenomena perubahan dunia yang memberi kesan bukan saja kepada ekonomi malah kebudayaan, pembangunan dan hak asasi manusia, maka beliau percaya CSO dan NGO perlu diberi ruang untuk terlibat demi kepentingan warga Asia.

``Jangan kita lupa bahawa kemajuan ekonomi dan kemakmuran perniagaan akhirnya harus membawa pembangunan yang menyeluruh kepada manusia itu sendiri,'' katanya yang berpengalaman mengikuti dengan dekat perjalanan beberapa forum antarabangsa yang serupa.

Barangkali Forum Asia di Boao boleh mengambil jalan tengah antara WEF di Davos yang ketara agak bertumpu kepada aspek ekonomi dan Forum Sosial Dunia (WSF) yang pertama kali bersidang di Porto Alegre, Brazil. WSF adalah pentas baru yang dikuasai oleh kumpulan anti-Davos, kebanyakannya terdiri daripada CSO dan NGO.

Boao mungkin satu nama yang cukup asing kepada kita tetapi itulah nama sebuah bandar yang mulai esok diharap akan menjadi pentas untuk Asia melontarkan suaranya ke seluruh dunia.

Suara Asia sebenarnya telah lama tenggelam, tidak pernah dipeduli malah sering diperlecehkan. Ketika negara Asia terkapai-kapai mengharung krisis ekonomi pada tahun 1997, suara Asia langsung tidak melekat di telinga Barat.

Sejauh mana Boao menepati impian yang pernah diucapkan oleh Tagore 60 tahun lalu tidak lama sebelum kematiannya, adalah sesuatu yang akan diperhatikan untuk beberapa tahun akan datang.

``Sama ada berjaya atau tidak Forum Asia ini, saya ucapkan selamat maju jaya,'' kata Martin Khor. Seperti beliau, kita juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Forum Asia untuk menempatkan maruah dan menyuarakan kepentingan Asia dengan sewajarnya di arena antarabangsa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.