saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 01/03/2001

Tidak perlu kelulusan baik BM untuk ke IPTS - MAPCO

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) hari ini berpendirian, kelulusan yang baik dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak begitu penting untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Faktor ini adalah kerana kebanyakan program yang dikendalikan oleh IPTS tidak bersifat nasional dan dijalankan dengan kerjasama universiti-universiti luar negara.

Menurut Presiden MAPCO, Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, syarat yang paling utama untuk ke IPTS ialah jumlah kredit yang dimilikinya mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon.

``Jika tidak ada kelulusan dalam Bahasa Melayu pun tidak apa, kerana yang penting ialah jumlah kredit yang diperoleh pelajar mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon.

``Ini bukannya bermakna Bahasa Melayu tidak penting, tetapi kebanyakan program yang dijalankan di IPTS bukannya program bersifat nasional dan ia tidak memerlukan Bahasa Melayu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan tokoh masyarakat dan ahli akademik hari ini, yang mahukan kerajaan mengkaji semula syarat ke IPTS.

Mereka mahukan supaya kerajaan mewajibkan lulusan SPM mendapat kepujian dan bukannya sekadar lulus dalam Bahasa Melayu.

Dr. Yahaya seterusnya menegaskan, bilangan kemasukan pelajar ke IPTS tidak akan terjejas walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk mensyaratkan lulusan SPM mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu.

Menurutnya, daripada pengalaman menerajui MAPCO sejak 1984, kebanyakan pelajar yang memohon memasuki ke IPTS lulus dalam Bahasa Melayu.

``Malah, kita mendapati kebanyakan pelajar bukan Melayu memperoleh gred yang lebih baik daripada pelajar Melayu,'' katanya.

Pendapat Dr. Yahaya bagaimanapun disanggah oleh pensyarah Linguistik, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong.

Baginya, kerajaan bukan sahaja perlu mewajibkan pelajar mendapat kepujian, tetapi mestilah menjadikannya sebagai syarat melayakkan pelajar menerima sijil daripada mana-mana IPTS.

``Saya amat bersetuju kalau kita mengetatkan syarat Bahasa Melayu ke IPTS kerana kalau tidak, kita seolah-olah tidak memberi nilai kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,'' katanya.

Dr. Teo juga mempersoalkan mengenai cara pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang menurutnya terlalu berorientasikan peperiksaan.

Sepatutnya menurut beliau, pelajar perlu menguasai Bahasa Melayu secara merentas kurikulum dan bukan sekadar menganggapnya sebagai satu mata pelajaran yang perlu lulus dalam peperiksaan sahaja.

Dalam konteks ini katanya, mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu perlu dinilai supaya boleh menjadi bahasa untuk mengungkapkan ilmu.

Katanya lagi, kurangnya ketegasan dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga menyebabkan pelajar dan juga guru sendiri tidak begitu mementingkan penggunaan bahasa yang betul dalam mengungkap ilmu.

``Masalahnya sekarang kebanyakan kita melihat bahasa kebangsaan itu sebagai lambang semata-mata, sama seperti terpacaknya patung.

``Ini adalah fahaman kolot kerana bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua bidang,'' katanya.

Menurut pensyarah di Jabatan Asas Sosial Dalam Pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Norani Mohd. Salleh, pengukuran tahap bahasa seseorang itu tidak harus diukur dengan tahap lulusnya semata-mata.

``Banyak perkara lain yang perlu diambil kira. Mungkin soalannya yang tidak kena dan semuanya ini kita perlu melihatnya semula supaya kita lebih adil kepada pelajar sebelum membuat sesuatu dasar,'' katanya.

Sementara itu Dekan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Bajunid mempersoalkan kenapa pelajar boleh lulus dengan baik dalam mata pelajaran lain yang juga menggunakan Bahasa Melayu, tetapi gagal dalam kertas Bahasa Melayu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.