saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/03/2001

Akhirnya Ling mengaku

Oleh: AZMAN ANUAR
AKHIRNYA Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik membuat pengakuan terbuka mengenai `masalah' beliau dengan timbalannya, Datuk Lim Ah Lek. Dr. Ling sekali lagi menggunakan platform perhimpunan MCA (sebelum ini di Perhimpunan Agung MCA pada Jun tahun lalu) untuk mendedahkan isi hatinya kepada perwakilan parti tersebut. Beliau berbuat demikian semasa berucap pada majlis sambutan perayaan ulang tahun ke-52 MCA di Wisma MCA pada 25 Februari lalu.

Strategi politik Dr. Ling, jarang sekali beliau dedahkan rahsia partinya kepada media. Sebab itu orang hanya bercakap, meneka dan membuat spekulasi berdasarkan khabar angin. Dan kini Presiden MCA itu sudah mengakui krisis kepimpinan MCA yang menggunakan analogi seekor ikan busuk, dan yang busuk itu pula bermula dari bahagian kepalanya.

``Memang benar, saya sebut dalam ucapan saya bahawa ada sedikit masalah dalam MCA khususnya antara Lim dan saya. Itulah `kepala ikannya'.

``Oleh kerana ia adalah masalah kepala ikan, saya berpendapat perlulah kepala ikan menyelesaikan sendiri masalah itu supaya ia tidak merebak ke seluruh badan,'' kata Dr. Ling kepada pemberita selepas sambutan itu. Sebaliknya dalam respons Lim tentang kiasan `kepala ikan' ini, beliau berkata: ``Tanyalah presiden mengenai siapa yang mulakan kepala ikan itu rosak. Saya tidak memulakannya.''

Sungguhpun Dr. Ling dan Lim kelihatan bersalaman dan duduk semeja pada majlis sambutan tersebut, dan dianggap oleh Presiden MCA itu sebagai ada kemajuan, tetapi jelas keretakan hubungan mereka belum bercantum lagi.

Dalam menjernihkan suasana yang semakin keruh ini, bagi Dr. Ling hanya mereka berdua sahaja yang perlu merungkai perbalahan itu secara perbincangan empat mata.

Perbalahan kedua-dua pemimpin utama MCA ini yang dianggap sudah selesai selepas Perhimpunan Agung MCA pada Jun tahun lalu, kini dikatakan timbul semula apabila Lim dilaporkan meminta Dr. Ling `menetapkan tempoh' untuknya berundur sebagai Presiden MCA.

Lim, bekas Menteri Sumber Manusia yang sudah berada di luar kerajaan dikatakan meletakkan syarat pengunduran Dr. Ling sebagai pertukaran bagi beliau melepaskan jawatan Timbalan Presiden MCA.

Walaupun Lim menafikan teori itu, tetapi sikap Dr. Ling yang tidak mahu mengesah atau menafikan bahawa Lim ada memintanya mengundurkan diri telah menimbulkan rasa kurang senang hati kepada timbalannya itu.

Nampaknya kemelut kedua-dua pemimpin Presiden MCA itu mungkin akan mengambil sedikit masa lagi untuk pulih sepenuhnya atau ia bertukar menjadi barah.

Persoalan pokok pertelagahan antara mereka ialah isu pengganti masing-masing. Kata Dr. Ling, keputusan untuk menentukan siapa yang akan memegang jawatan pucuk pimpinan parti adalah tertakluk kepada keputusan yang diambil oleh para perwakilan dalam perhimpunan agung tahunan MCA.

Ada pemerhati politik berpendapat, Dr. Ling sebenarnya sudah bersedia menghadapi kelompok penentangnya kerana kedudukan beliau kini lebih mantap setelah strategi nekadnya hendak meletak jawatan kabinet tahun lalu mencapai kejayaan.

Strategi itu juga menunjukkan dengan lebih jelas siapa musuh-musuh beliau dalam MCA. Inilah yang Dr. Ling ingin tahu.

Ketika Dr. Ling menikmati kejayaan daripada gertaknya untuk meninggalkan kabinet dahulu, timbalannya, Lim masih terkial-kial untuk mencari 'pakej penyelesaian' yang boleh dipersetujui kedua-dua pihak.

Sungguhpun Lim dilihat tidak berada dalam kedudukan yang membolehkannya untuk menentukan apa pakej penyelesaian dan tidak boleh menuntut apa-apa lagi, tetapi beliau masih menunjukkan taringnya.

Dalam pengalaman politik negara kita, adalah lumrah perselisihan faham antara orang nombor satu dan orang nombor dua, lebih-lebih lagi mereka yang tidak sabar-sabar untuk menggantikan tempat nombor satu. Krisis dalaman MCA sekarang boleh dianggap hampir sama dengan apa yang pernah menggemparkan negara sebelum ini apabila presiden dan timbalan presiden tidak sehaluan.

Senario 1978, menggegar MCA kerana pertikaian antara Datuk Lee San Choon dengan Datuk Michael Chen yang akhirnya memecahkan parti itu kepada dua kem. Apabila Lee San Choon meletakkan jawatan secara mengejut pada 1983, krisis lebih besar timbul. Datuk Dr. Neo Yee Pan yang memangku jawatan presiden, berganding dengan Datuk Mak Hon Kam terbabit dalam perebutan kuasa dengan kumpulan Tan Koon Swan dan gandingannya Datuk Lee Kim Sai dan membawa parti itu ke mahkamah untuk menyelesaikan krisis itu.

Dalam politik semua boleh berlaku. Semasa Koon Swan ditahan di penjara, Kim Sai yang semasa itu Timbalan Presiden sepatutnya mengambil alih sebagai pemangku presiden, tetapi dengan tidak diduga Dr. Ling, yang pada masa itu naib presiden pula yang dilantik memegang jawatan itu.

Menurut orang dalam parti, Dr. Ling dipilih sebagai pemangku presiden pada 1986 atas perjanjian gentleman yang beliau hanya berkhidmat sehingga baki tempoh khidmat Koon Swan tamat, tetapi janji itu tidak dipenuhi.

Dr. Ling terus memperkukuhkan kedudukannya dengan memenangi jawatan presiden dalam pemilihan parti dan Kim Sai terus kekal sebagai timbalan presiden sehingga jawatannya diambil alih oleh Lim Ah Lek pada 1996.

Gandingan Dr. Ling dan Lim bukan sahaja dikagumi tetapi prestasi parti itu dalam pilihan raya umum 1999 begitu memberangsangkan. Tetapi aneh sekali, kejayaan dalam pilihan raya 1999 itu rupa-rupanya turut menyediakan `plot' bagi peletakkan jawatan secara mengejut oleh Dr. Ling pada waktu beliau dianggap berada dalam kedudukan yang sukar digugat.

Orang dalaman parti berkata masalah antara Dr. Ling dan Lim semakin menonjol memandangkan kekecewaan yang dinyatakan secara senyap oleh beberapa pemimpin parti dan ahli akar umbi terhadap kegagalan MCA untuk mendapatkan jawatan tambahan dalam kabinet selaras dengan kejayaannya dalam pilihan raya lalu.

MCA juga dikatakan kecewa apabila jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak diberikan kepadanya dan permintaan jawatan Timbalan Ketua Menteri langsung tidak dilayan dan pengkritik Dr. Ling mula menyalahkan beliau.

Rasa tidak puas hati dalam parti memuncak semasa mesyuarat jawatankuasa pusat pada 19 April 2000, apabila menurut orang dalam parti, Dr. Ling bertikam lidah dengan Lim dan beberapa lagi pemimpin parti untuk lebih sejam.

Antara sebab Lim memutuskan untuk berundur daripada kabinet dahulu kerana ingin memberi laluan kepada anak didiknya, Datuk Chan Kong Choy untuk diberi jawatan menteri kabinet yang dikosongkan oleh beliau. Menurut pandapat orang dalam parti, apabila ini tidak berlaku dan sebaliknya anak didik Dr. Ling, Datuk Ong Ka Ting dilantik ke kabinet, Lim menyatakan dengan terus terang perasaannya.

Bagi Dr. Ling pula satu-satunya jalan penyelesaian itu ialah dengan melepaskan jawatan kabinet untuk membolehkan Kong Choy, calon pilihan timbalan presiden itu dilantik sebagai menteri penuh. Hasrat Dr. Ling itu mengejutkan semua orang dalam parti termasuk mereka yang kritikal terhadap Dr. Ling.

Namun, setelah Dr. Ling kembali mendapat mandat baru, beliau menjelaskan bahawa segala khabar angin serta peristiwa yang berlaku berikutan pengumumannya meletak jawatan dahulu itu telah dirancang oleh pihak tertentu yang bertujuan mencemarkan imejnya. Banyak pihak melihat dalang yang dimaksudkan itu adalah Lim.

Laporan akhbar tahun lalu ada memetik sumber tertinggi parti bahawa Naib Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting telah ditawarkan jawatan Setiausaha Agung MCA, manakala seorang lagi Naib Presiden, Datuk Chan Kong Choy pula ditawarkan jawatan Timbalan Presiden. Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan bagaimana Chan akan mengambil alih jawatan nombor dua itu memandangkan ia satu jawatan yang dipilih oleh perwakilan.

Namun pakej penyelesaian yang dirundingkan itu perlu ada perjanjian secara hitam putih, bukan lagi persetujuan secara lisan kerana pada masa ini, masing-masing tidak mempercayai antara satu sama lain, terutama puak penyokong kuat Lim.

Ada beberapa anggota parti berpendapat tawaran itu mungkin satu percubaan untuk mendapatkan reaksi daripada pihak yang satu lagi terhadap kemungkinan satu pakej penyelesaian secara menyeluruh dibuat.

"Mereka sebenarnya cuba mendapatkan reaksi sebenar kerana terdapat persoalan mengenai siapa yang menjadi Presiden parti dalam pakej penyelesaian itu," kata seorang anggota MCA Selangor.

"Jika masih Dr. Ling, pihak yang satu lagi sudah tentu tak akan terima dan jika Dr. Ling setuju berundur, pihak yang satu lagi pasti mahukan persetujuan itu dibuat secara bertulis," katanya.

Kebanyakan anggota MCA berpendapat bahawa kemelut politik MCA kali ini sukar untuk diselesaikan dan kemungkinan berlanjutan hingga pemilihan MCA pada 2002.

Perbalahan antara presiden dan timbalannya ini memang serius dan cukup merisaukan banyak pihak dalam parti itu. Mereka tidak mahu parti berpecah kerana ia akan mengurangkan sokongan rakyat sebagaimana berlaku pada tahun 1980-an apabila MCA hanya mendapat sokongan 22 peratus kaum Cina berikutan krisis dalaman parti.

MCA juga perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri dan tidak perlu campur tangan pihak ketiga.

Jalan terbaik penyelesaian terhadap isu perlu dicari oleh pucuk pimpinan parti dengan penyelesaian yang `saling menguntungkan'. Tetapi ia juga banyak bergantung kepada tindak tanduk Dr. Ling dan Lim serta para penyokong masing-masing dalam MCA.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.