saya nak baca ..

PENDIDIKAN


ARKIB : 09/04/2001

Pelajar Malaysia- Bantuan makanan diberi percuma

BAHAGIAN 1
Oleh: WAHID HASHIM (Melawat Iraq baru-baru ini)
PENUNTUT-penuntut ijazah pertama dari Malaysia di Universiti Pengajian Islam Saddam, Baghdad bukan sahaja belajar dengan percuma, malah mendapat subsidi kad catuan makanan di bawah program Minyak Untuk Makanan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka yang mendapat kad catuan berkenaan layak mendapat bantuan beras, gula, jagung, minyak, garam, sabun, susu tepung, kacang soya dan sebagainya.

Bantuan berkenaan mengurangkan beban kewangan para pelajar yang rata-rata belajar dengan pembiayaan sendiri.

Cukuplah untuk pelajar-pelajar bujang tinggal beramai-ramai, berkongsi tiga atau empat orang serumah.

Bil elektrik adalah murah di Baghdad kerana kuasa elektrik dijana oleh sumber petroleum di sebuah kawasan bernama Dora yang kelihatan dari jauh sentiasa mengeluarkan asap hitam.

Pendingin hawa yang menggunakan jerami atau habuk papan sebagai penampung kelembapan - dikenali sebagai mubaridah - cukup menjimatkan tenaga, khususnya kegunaan 24 jam pada musim panas.

Tambahan pula sejak akhir-akhir ini begitu banyak delegasi dari Malaysia yang datang ke Iraq untuk meninjau peluang pelaburan, maka para pelajar ini tidak sunyi daripada diminta membantu dalam tugas-tugasan tidak rasmi sebagai ``pemandu pelancong.''

Sedikit sebanyak, terselamat juga duit belanja makan tengah hari atau makan malam - sebagai balasan kepada khidmat para pelajar ini yang rata-rata fasih bertutur bahasa Arab.

Sekali-sekala, para pegawai kedutaan menjemput mereka untuk makan malam sempena kunjungan delegasi atau sebagainya. Oleh kerana bilangan mereka sedikit di Iraq, dan tertumpu pula di Baghdad, maka hubungan sesama rakyat Malaysia di Iraq sungguh rapat seperti sebuah keluarga.

``Untuk yuran pengajian, kami hanya mengeluarkan tidak sampai pun RM150 setahun - itupun bukan yuran pengajian, tetapi untuk tujuan lain, misalnya membeli alat tulis,'' kata Mas Izrul Izwan Mohd. Haslan Mydin, pelajar tahun dua Fakulti Undang-Undang Islam yang berasal dari Ipoh, Perak.

Kos pengajian sungguh murah di universiti berkenaan menyebabkan hampir ke semua 17 pelajar Malaysia yang berada di Baghdad tertumpu di situ.

Bukan sahaja sewa rumah yang murah, makan di restoran cukup mewah dan murah.

Misalnya satu set hidangan kuzee (separuh ayam, nasi beriani, dan hidangan pembuka selera dan sebotol Pepsi) cuma RM5 - cukup mengenyangkan! Hidangan yang sama jika di Malaysia adalah untuk dua orang.

Jarak ke kampus juga dekat. Berjalan kaki selama 20 minit.

Kalau hendak berjimat lagi, pelajar bolehlah menyewa rumah yang sederhana dengan kadar bayaran tahunan hanya RM2,280.

``Tidak perlu sangat memikirkan belanja makan seharian kerana ada subsidi (daripada kerajaan Iraq),'' kata Mas Izrul Izwan Haslan Mydin kepada Utusan di rumah sewanya, yang disewa dari tuan rumah berketurunan Kurdis.

Mas Izrul berasal dari Ipoh, Perak. Bagaimanapun, pelajar sarjana dikenakan bayaran sebanyak RM1,140 setahun, dan program kedoktoran RM2,280.

Pelajar Sarjana, Mohd Mustaffa Yusoff, 32, penuntut Sarjana dalam bidang Syariah, berada di Baghdad sejak 1994, ketika suasana pasca perang sedang hangat di Baghdad.

Sebelum ke Baghdad, Mohd. Mustaffa belajar di Pakistan sejak 1991. Dia kemudiannya terpaksa meneruskan pengajian ke Baghdad kerana dasar pendidikan Benazir Bhutto ketika itu.

Di Universiti Pengajian Islam Saddam, pelajar tidak perlu membayar yuran, pengajian adalah percuma, kerana ia ditubuhkan di bawah Rabitah Alam Islami.

Bagaimanapun selepas perang Teluk, pentadbiran Saddam mengambil alih universiti itu kerana beberapa masalah teknikal dan ekonomi yang dihadapinya.

Universiti berkenaan tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Kebanyakan mereka belajar dengan pembiayaan sendiri. Pihak universiti menyediakan 14 kerusi untuk pelajar Malaysia pada setiap tahun.

Mohd Mustaffa yang berasal dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur berkata, suasana pembelajaran lebih tenang dan selamat di Baghdad, walau ada yang menghebahkan berita penduduk Baghdad sentiasa dicengkam resah gelisah kemungkinan akan diserang lagi.

Katanya, masalah yang timbul di kalangan para pelajar di Baghdad ialah kesukaran mendapat maklumat mengenai Malaysia kerana perhubungan dengan dunia luar hampir terputus sama sekali.

Kadangkala para pelajar ini mendapat berita mengenai Malaysia dengan mengunjungi rumah para pegawai kedutaan di sini melalui televisyen satelit. Kerap juga berita mengenai Malaysia tersiar di kaca televisyen di Baghdad. Paling terbaru, kata Mohd. Mustaffa ialah pergaduhan kaum di Kampung Medan, Selangor serta perlumbaan Formula 1 di Litar Sepang.

``Kami di sini tertanya-tanya juga apa yang sedang berlaku di Malaysia,'' katanya.

Menurutnya lagi, akhbar yang dibekalkan di pejabat-pejabat kedutaan bertarikh sebulan lewat, dan mereka sekadar berpuas hati menatap berita-berita basi.

Bagi Mas Izrul Izwan, untuk mendapatkan maklumat yang lebih terkini, dia akan mengambil inisiatif mengunjungi kafe siber yang mengenakan bayaran RM4 sejam. Bagaimanapun akses terhadap bahan adalah terlalu lembab kerana masalah talian. ``Biasanya saya membuka laman web Utusan untuk mendapatkan berita terkini,'' katanya.

Di Baghdad, katanya penapisan yang ketat dikenakan ke atas kandungan Internet, seperti tidak boleh melanggan e-mel percuma atau berborak di ruangan chat. Penapisan ke atas bahan-bahan lucah dan politik dikenakan.

Pelajar tahun tiga Fakulti Akidah dan Usuluddin, Muhammad Rozaini Ghazali, 22, memberitahu, dia memang membaca akhbar setiap bulan walau sekadar berita-berita basi.

Kata pelajar dari Kampung Alor Kiambang di Pauh, Kuala Terengganu itu, kesukaran semakin terasa kerana mereka serumah telah berpakat untuk memutuskan sahaja talian telefon kerana kejadian mencuri panggilan begitu kerap berlaku. Kadar caj panggilan antarabangsa yang dikenakan agak mahal.

Kadangkala, dia mengakui berasa bosan berada di sebuah negara yang serba-serbinya kurang kerana sekatan ekonomi.

``Lagipun bilangan kami sedikit sahaja,'' ujarnya. Mujurlah mereka kerap berinteraksi dengan rakan-rakan antarabangsa lain, seperti menganjurkan acara-acara sukan sesama mereka. ``Misalnya, selepas Aidiladha pada tahun ini kita menyertai acara sukan yang dianjurkan oleh para penuntut dari Pakistan,'' katanya.

Pelajar kursus bahasa Arab dan Sains al-Quran, Mohammad Anuar Abdullah, 21 berkata, di kalangan pelajar-pelajar dari Asia Tenggara, pelajar Indonesia paling ramai menuntut di universiti itu, diikuti pelajar dari Thailand. ``Ada seorang sahaja dari Singapura,'' katanya.

Pelajar berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, kebanyakan pelajar yang datang belajar di situ memang telah menyedari risiko sekiranya berlaku sebarang kejadian. Bagaimanapun, dia berharap benar supaya kejadian pengeboman tidak diperbesar-besarkan kerana apa yang berlaku di Baghdad sebenarnya ``buruk khabar dari rupa.''

Wan Hamzah Wan Abdullah, 23, pelajar tahun tiga Fakulti Akidah dari Besut, Terengganu berharap bilangan pelajar ke Baghdad ditambah, dan lebih banyak universiti diiktiraf oleh kerajaan Malaysia - tanpa mengira bidang pengajian.

Katanya sebelum perang Teluk, ramai pelajar Malaysia belajar di Baghdad, tetapi apabila perang meletus, pelajar-pelajar telah dipindahkan ke Mesir.

Katanya tidak perlu berasa takut untuk melanjutkan pengajian di Baghdad hanya berdasarkan berita-berita asing yang disiarkan di kaca televisyen, yang disifatkannya hanya satu propaganda Barat.

Kepada Mohammad Salman Joned, 28, penuntut pengajian al-Quran, Universiti Pengajian Islam saddam juga tidak kurang hebatnya dari segi kualiti berbanding universiti-universiti yang telah ternama seperti Al-Azhar.

``Hanya kerana Al-Azhar lebih lama usianya berbanding di sini, tidak bermakna pelajar yang dihasilkan oleh universiti itu lebih berkualiti,'' ujarnya.

Malah, menurutnya dengan jumlah pelajar yang sedikit di universiti itu mereka lebih berinteraksi dengan semua pelajar, tanpa berkecenderungan membuat perkampungan Melayu.

Ukhuwah sesama pelajar terserlah kerana jumlah yang kecil, dan mereka akan berkongsi kesukaran termasuk sekiranya jika ada yang menghadapi masalah kewangan.

Katanya, para profesor di universiti di Baghdad memandang tinggi kepada para pelajar di Malaysia kerana pintar dan sentiasa berhubung rapat dengan tenaga pengajar. ``Setakat ini kita dianggap nombor satu,'' katanya.

Mohd. Manar Majuri, 22, dari Kuala Selangor, Selangor menyifatkan status sosial pelajar di Baghdad masih belum tercemar kerana setakat ini kesemua pelajar adalah lelaki. Katanya, tempat di sekitar universiti juga bebas daripada pusat-pusat hiburan. Pelajar juga lebih terkawal sekiranya mereka mahu melayari Internet. ``Anasir-anasir yang boleh menyebabkan pelajar melencong sangat minimum terpulanglah kepada mereka sendiri,'' katanya.

Berbanding dengan pelajar di Jordan, mereka terdedah dengan anasir-anasir berkenaan dan ada yang asyik bersembang dalam ruangan chat sehingga larut malam.

``Seberapa yang boleh, kami di sini sentiasa mahu menjaga nama baik negara,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.