saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/04/2001

UIAM lambang kecemerlangan Malaysia

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SATU pengalaman baru yang saya rasakan amat menarik ialah pengalaman ke arah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kembali ke tahun 1981.

Sungguhpun saya tidaklah merupakan seorang pemain utama dalam merealisasikan idea penubuhan UIAM itu, tetapi peranan saya menyertai para perintis dalam projek itu amatlah menarik.

Saya merasa amat berbangga dan gembira kerana Rektor UIAM sekarang adalah di antara orang pertama yang diberikan tugas untuk menggubal dasar dan falsafah universiti tersebut ketika saya dan beliau masih berkhidmat di Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Kebanggaan saya lebih memuncak lagi apabila mendapat maklumat bahawa pada zamannya inilah UIAM akan dirasmikan penubuhannya, yang sekali gus tentulah dapat memberikan peluang yang terbaik dalam menilai segala kemajuan yang dicapai sejak penubuhan universiti ini pada sekitar tahun 1982.

Kenangan manis saya bukan hanya kembali ke tahun akademik 1983, ketika kami mulai menerima kumpulan pelajar sulung UIAM yang terdiri daripada pelajar-pelajar berbagai aliran, termasuk pelajar bukan Islam dan pelajar matang dewasa yang terdiri daripada para pegawai polis, namun sejarah penubuhan universiti ini lebih lama daripada itu, iaitu kembali ke tahun 1977 lagi.

Pada tahun 1977 bertempat di Mekah Al-Mukarramah, satu kongres antarabangsa telah diadakan di tanah suci itu anjuran Universiti Raja Abdul Aziz.

Kongres itu membicarakan tema pendidikan Islam yang merangkumi perbincangan tentang konsep dan falsafah, tenaga pengajar, buku teks dan persoalan lain yang mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan konsep dan falsafah pendidikan Islam yang dibicarakan itu.

Seorang sarjana Islam yang amat disegani pada ketika itu, iaitu Almarhum Profesor Dr. Ismail Al-Faruqi merupakan penggerak utama ke arah penganjuran kongres ini dengan gagasan Islamisasi ilmu pengetahuan yang mulai dikemukakannya sejak tahun enam puluhan lagi.

Beliau yang amat rapat dengan para pemimpin negara di sekitar tahun-tahun tujuh puluhan itu sebenarnya telah pun mengemukakan ideanya agar semua universiti di negara kita bertindak memperkenalkan kursus tamadun Islam bagi semua pelajar Islam dan bukan Islam, untuk mereka mempelajari dan memahami konsep tamadun Islam dan sumbangannya kepada peradaban dunia dalam berbagai aspek. Hasilnya maka kursus tersebut telah ditawarkan mengikut kemampuan dan keperluan IPT sebagai kursus utama sehingga ke hari ini.

Dalam kongres pada tahun 1977 itu, banyak aspek telah dibincangkan, terutamanya tentang konsep dan falsafah pendidikan Islam sendiri yang kelihatan agak samar-samar di kalangan masyarakat Islam yang telah lama menerima sistem pendidikan Barat melalui penjajahan fizikal dan mental umat Islam sendiri.

Turut diperjelaskan ialah pembahagian ilmu pengetahuan kepada dua bahagian, iaitu ilmu wahyu yang bersumberkan al-Quran dan Sunah, dan ilmu yang diperoleh manusia melalui akal fikiran yang diusahakannya sendiri.

Kedua-dua bidang ilmu pengetahuan ini haruslah disepadukan di dalam satu kurikulum pengajian untuk mengeluarkan manusia yang menguasai bidang ilmu naqli iaitu ilmu wahyu dari Allah s.w.t dan bidang ilmu aqli yang dikuasai manusia melalui penggunaan akal fikirannya.

Kesepaduan inilah yang merupakan ciri utama pendidikan yang akan melahirkan manusia yang menguasai kedua-dua bidang ilmu dunia dan akhirat.

Sesungguhnya konsep dan falsafah pendidikan dan ilmu menurut Islam ini amat mudah dibicarakan di atas kertas dan di pentas-pentas syarahan. Tetapi untuk melaksanakannya, banyak perkara yang perlu diwujudkan termasuk komitmen politik dari negara-negara Islam sendiri.

Projek mendirikan sebuah institusi pengajian tinggi yang mendukung konsep dan falsafah pendidikan Islam ini memerlukan kebijaksanaan para pendukungnya, kewangan yang banyak kerana ia melibatkan latihan tenaga pengajar dan penghasilan buku-buku teks yang sesuai, malah lebih daripada itu ialah kefahaman yang jelas tentang mekanisme institusi tersebut dalam mencapai matlamatnya.

Oleh sebab itulah pada pandangan saya beberapa buah institusi yang ditubuhkan untuk mendukung cita-cita ini berakhir dengan kegagalan, atau kerana terpaksa menghadapi beberapa kerumitan dari segi kewangan dan tenaga pengajarnya.

Dengan itu matlamat dan tujuan asal penubuhannya telah melencong daripada matlamat dan sistem pendidikan yang dirangka oleh kongres yang tersebut.

Bagaimanapun dalam menghadapi berbagai-bagai cabaran dan halangan yang lahir dari semasa ke semasa, UIAM tetap tabah menghadapi semuanya itu sehingga menjelang hari ini, nampaknya hanya UIAM merupakan satu-satunya universiti yang dapat merealisasikan konsep dan falsafah ilmu dan pendidikan Islam itu.

Kejayaan UIAM yang terus menerus meningkat sejak penubuhannya hingga ke hari ini, pada dasarnya adalah kerana komitmen kerajaan yang memerintah, yang telah memberikan sokongan dan dukungan yang sepenuhnya ke arah kelangsungan universiti ini sehingga menjadi institusi pengajian tinggi yang unik dengan kepantasan perkembangan bidang pengajiannya, kepelbagaian latar belakang para pelajarnya dan minat para pelajar antarabangsa memilih UIAM sebagai destinasi pengajian mereka.

Sejarah penubuhan UIAM yang bermula pada tahun 1977 dengan resolusi kongres di Mekah, dan mulai direalisasikan dalam rangka penubuhannya bermula tahun 1981 dan 1982 serta penerimaan pelajar pertamanya pada tahun 1983, sesungguhnya merupakan satu peristiwa sejarah yang besar bagi peningkatan ilmu umat Islam, kembali kepada konsep pendidikan Islam yang sebenarnya.

Menteri Pendidikan yang menghadiri kongres di Mekah pada 1977 itu, kemudiannya menjadi Perdana Menteri telah memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada penubuhan gedung ilmu yang unik ini.

Dunia Islam dapat menyaksikan kesungguhan kita dalam mengangkat martabat ilmu pengetahuan manusia sejajar dengan tuntutan agama kita sendiri.

Maka dalam saat UIAM merancang untuk memprojekkan kewujudannya yang unggul kepada dunia menjelang perasmiannya pada bulan ini, saya yakin umat Islam di negara kita akan berbangga kerana kita semua adalah sebahagian daripada pendukung dan pewarisnya yang telah sama-sama mencatat kecemerlangannya dalam sejarah perkembangan ilmu seluruh dunia.

e-mel: [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.