saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/04/2001

UIAM isi harapan ummah

Oleh: SALINA IBRAHIM
UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah simbol keupayaan anak Melayu mentadbir sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa.

Hal ini sekali gus melengkapkan sebahagian ciri-ciri jati diri Malaysia - yang walaupun pucuknya tinggi mencecah awan tetapi akarnya kukuh mencengkam bumi.

Banyak yang boleh dibanggakan mengenai UIAM. Dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan, UIAM kini tersenarai sebagai universiti yang tercanggih dan tercantik di rantau ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, ia adalah kelahiran semula sekolah al-Mustansiriah, yang diasaskan pada zaman Khalifah Abasiah di pinggir Sungai Tigris.

Bukan sedikit wang yang dilaburkan oleh kerajaan; dengan kos keseluruhan hampir RM1 bilion untuk membiayai prasarana UIAM dan diperuntukkan RM5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Nilai-nilai kesejagatan Islam yang merentas kurikulum adalah ciri-ciri keistimewaan yang tidak terdapat di universiti-universiti konvensional tempatan.

Misalnya pelajar dan tenaga akademik di Kuliah Ekonomi dan Pengurusan UIAM turut memainkan peranan di Bank Islam.

UIAM adalah saluran terbaik kepada penuntut antarabangsa melanjutkan pelajaran di Malaysia yang berada dalam situasi aman, stabil dan mempunyai reputasi tinggi di kalangan dunia Islam.

Bagaimanapun, kerana bauran unsur antarabangsa dan jati diri Malaysia, UIAM tidak sunyi daripada tempias kontroversi yang berlegar di dalam negara.

Justeru Rektornya, Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan berharap sempena perasmian UIAM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini, masyarakat umum dapat menilai agenda sebenar universiti itu.

``Kedatangan Dr. Mahathir merupakan suatu penghormatan kepada warga UIAM,'' katanya.

Bagi Rektor UIAM yang ketiga itu, kedatangan Perdana Menteri diharap menjawab khabar-khabar angin yang mendakwa UIAM kononnya bersikap menentang kerajaan atau ia hanya ciri-ciri sepunya yang memang wujud di mana-mana pusat pengajian tinggi.

Mohd. Kamal merupakan anak Melayu tempatan pertama dilantik sebagai Rektor pada 5 April 1998, menggantikan Datuk Dr. Abu Hamid Ahmad Sulayman.

Pelantikan itu merupakan penghormatan yang diberikan kerajaan untuk mengiktiraf keupayaan orang Melayu.

``Saya berasa bertuah kerana dua rektor sebelum ini sudah banyak berjasa membangunkan UIAM dengan sistem akademik yang lengkap, pentadbiran dan perancangan... semua sudah siap apabila saya ambil alih,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, lebih mudah bekerja dalam satu `lingkungan Melayu' yang komited, dan dekan luar negara yang `tahu buat kerja' serta bersedia bekerja dalam satu pasukan.

Bagi anak kelahiran Kelantan ini, kekuatan orang Melayu wujud apabila mereka bekerja dalam satu pasukan.

``Tapi bagi yang individualistik, gila kuasa, pentingkan diri sendiri saja, orang Melayu akan bermasalah,'' katanya.

Beliau bersyukur kerana ketika dilantik, sudah ada anak tempatan yang memegang tugas sebagai timbalan rektor, dekan, timbalan dekan.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenai isu-isu yang mengaitkan UIAM sebagai `lubuk pembangkang', beliau menegaskan: ``Saya sangat dukacita apabila UIAM dikaitkan sebagai `lubuk pembangkang.''

Dalam pertemuan dengan Utusan/I> baru-baru ini, beliau menyatakan semua warga UIAM sama ada kakitangan mahupun penuntut, terikat dengan undang-undang yang pasti akan dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Sambil menyifatkan kecenderungan `mengkritik orang lain kecuali diri sendiri' adalah lumrah bagi manusia apatah lagi penuntut universiti. Beliau menganggap kecenderungan itu hanya fasa sementara dalam hidup orang muda yang tinggi idealismenya.

Selepas menerima ijazah dan bekerja dalam satu sistem, mereka tahu idealisme mereka terlalu tinggi dan harus disesuaikan dengan realiti.

UIAM masih remaja jika diukur pada usia 18 tahun penubuhannya. Tetapi perkembangan pesat universiti ini dalam usia yang relatif muda, bukanlah suatu yang memeranjatkan.

Semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan padu pihak kerajaan, jelas Dr. Mohd. Kamal.

Pakej pembelajaran UIAM juga suatu daya tarikan tersendiri. Gabungan antara kemodenan, tradisi dan agama adalah acuan UIAM yang tersendiri, yang sukar ditemui di universiti-universiti lain di dunia.

Malah di setiap fakulti, tambah Mohd. Kamal, budaya ilmu dan keagamaan diterjemah dan dilaksanakan mengikut kadar masing-masing.

``Ini yang membuatkan UIAM terkenal di Timur Tengah,'' katanya.

Bermula dengan dua fakulti pada awal penubuhannya iaitu Kuliah Ekonomi dan Kuliah Undang-Undang, UIAM kini berkembang kepada sembilan fakulti termasuk yang meliputi aliran sains tulen.

Mohd. Kamal juga memberitahu, menjelang 2010, nisbah aliran sains kepada bukan sains ialah 60:40.

Sebelum 1990, UIAM hanya mengeluarkan produk peguam syarie dan sivil, tetapi kini ia telah menetaskan jurutera, doktor dan arkitek.

``Keputusan mewujudkan aliran sains, bukan keputusan mendadak tetapi memang tersedia dalam perancangan, hanya dijalankan mengikut fasa,'' kata Mohd Kamal.

Ia sebagai melaksanakan hasrat kerajaan untuk menjadikan UIAM sebagai universiti yang menyeluruh, lengkap dengan fakulti dalam semua bidang ilmu pengetahuan.

Aliran sains bermula dengan penubuhan Kuliah Kejuruteraan pada 1994, ia diikuti Kuliah Alam Bina dan Alam Sekitar, Kuliah Perubatan, Kuliah Farmasi dan yang terakhir Kuliah Sains.

Terdapat kira-kira 15 peratus atau 1,500 penuntut aliran sains di UIAM, meliputi pelajar di Pusat Matrikulasi, Petaling Jaya.

Walaupun perancangannya berjalan agak perlahan kerana UIAM belum mempunyai kampus sendiri, tetapi hari ini segala-galanya berjalan lancar.

Kampus induk UIAM yang terletak bersebelahan Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur, di Gombak, pada masa kini menempatkan 15,949 pelajar, yang hampir kesemuanya menetap di asrama di dalam kampus.

Kuliah Perubatannya terletak di kampus cawangan Bandar Indera Mahkota, Pahang. Kuliah Sains - yang bermula tahun hadapan - dan Kuliah Farmasi yang dijangka bermula tahun ini juga akan ditempatkan di sana.

Dengan jumlah 1,042 orang kakitangan akademik di UIAM, menjadikan nisbah pensyarah kepada penuntut sekitar 1:13 - jumlah yang cukup ideal dalam proses pembelajaran.

Beliau menambah, bilangan penuntut luar negara yang kini sekitar 15 peratus, akan ditambah kepada 20 peratus untuk mengimbangkan nisbah 80 peratus penuntut tempatan kepada 20 peratus penuntut luar negara.

Mohd. Kamal berpendapat penggunaan bahasa Inggeris dan Arab sebagai bahasa pengantar pertama dan kedua, adalah daya tarikan utama yang membawa penuntut luar negara ke UIAM.

Seperti universiti-universiti Islam yang lain di seluruh dunia, UIAM cuba mengekalkan konsep mesra pelajar dengan membiayai yuran pengajian sekadar termampu.

UIAM menghulurkan bantuan dalam bentuk biasiswa, pinjaman atau bantuan kewangan.

``Lima tahun kebelakangan ini, Tabung Wakaf semakin susut. Ini membantutkan usaha membawa pelajar luar,'' katanya.

Justeru, UIAM berusaha mendapatkan dana sehingga RM10 juta.

``Kini hanya ada RM1 juta yang akan dihabiskan dalam masa enam bulan saja,'' katanya.

Beliau mencongak dengan RM10 juta, ia dapat dilaburkan untuk mendapatkan pulangan dan boleh pula membantu pengajian pelajar luar negara.

Sesuai dengan status sebagai universiti antarabangsa, UIAM mensyaratkan kesemua pensyarah mempunyai kelayakan ijazah kedoktoran (Ph.D), kecuali guru bahasa.

Mohd. Kamal menegaskan, sebagai sebuah universiti Islam, UIAM sentiasa menjaga `suasana' di dalamnya.

``Pergaulan sesama penuntut di dalam kampus terbatas, selari dengan ajaran Islam,'' ujarnya.

Katanya, ibu bapa mengakui merasa selamat menghantar anak ke UIAM berbanding ke Amerika Syarikat (AS) kerana bimbang pengaruh budaya kuning.

Walaupun masih `merangkak', UIAM juga melahirkan hasrat mahu menjadi universiti penyelidikan dalam jangka masa panjang.

``Budaya penyelidikan di UIAM baru bermula, kerana fakulti sains baru dimulakan. Jadi, perkembangannya agak perlahan,'' ujarnya.

Tetapi beliau menjangkakan, UIAM akan memulakan projek penyelidikan dalam jangka masa lima tahun lagi.

``Kita akan umumkan kepada dunia bila tiba masanya kelak,'' katanya.

Bagi tujuan itu, UIAM akan berusaha mendapatkan dana Penumpuan Penyelidikan Bidang-Bidang Keutamaan (IRPA) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.