saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/04/2001

Gedebe...pemikiran generasi muda


SATU babak teater Gedebe arahan Nam Ron di Panggung Percubaan KBN, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Julius Caesar antara karya agung yang menyingkap konspirasi politik semasa empayar Rom. William Shakespeare mengangkat tragedi terbunuhnya Julius Caesar di tangan Brutus ke pentas dan diadaptasi dalam pelbagai situasi.

Naskhah ini telah teruji untuk merentasi perbezaan sosio politik manusia yang sejagat. Naskhah asalnya sekalipun tebal dengan isu politik tetapi disampaikan dalam bentuk yang konvensional.

Baru-baru ini Alternative Stage Co. mementaskan teater Gedebe arahan pengarah muda Nam Ron. Gedebe adalah adaptasi longgar pada babak akhir daripada Julius Caesar oleh dua penulis, Hariry dan Wan Azli dengan menggabungkan idea daripada Nam Ron.

Gedebe dipentaskan di Panggung Percubaan Kompleks Budaya Negara (KBN), Kuala Lumpur. Di tangan anak-anak muda ini, Julius Caesar berada dalam kelompok anak muda skinhead dan punk. Latarnya di Jalan Bukit Bintang dan Bangsar.

Babak akhir naskhah asal Shakespeare ini dikembangkan bertolak daripada rasa tidak puas hati anggota skinhead kerana pemimpin mereka, Julius Caesar cuba mengubah sistem yang sedia ada. Sistem baru itu kelihatan memberatkan kepentingan peribadi Caesar.

Gedebe memberi fokus kepada perpecahan yang berlaku dalam kumpulan skinhead akibat sistem baru Caesar. Tetapi kerana semua anggota ada kepentingan, maka tidak ada seorang yang berani menentang Caesar. Ketika ini Cassius mempergunakan sifat kesetiaan yang tinggi Brutus kepada kumpulan untuk menjatuhkan Caesar.

Cassius sebenarnya ada kepentingan peribadi tetapi dia menggunakan Brutus. Hasut menghasut, teori konspirasi dan agenda politik Caesar, Brutus dan Cassius dilontarkan di pentas. Ia berkembang menjadi satu drama lengkap dengan plotnya.

Nam Ron sebelum ini pernah menggegarkan dengan Look Back In Anger, Lina & Lijah serta Misi. Gedebe dianggap persembahan yang menjanjikan masa depan bagi Nam Ron untuk berada dalam direktori pengarah muda negara ini. Kejayaan pementasan Gedebe membuktikan Julius Caesar membawa persoalan sejagat dan melepasi sempadan zaman dan geografi.

Dari sebuah drama tragis, konspirasi menjatuhkan Caesar kerana dianggap autokratik menjadi sebuah komedi gelap (black comedy). Jangan terlalu kuat ketawa kecuali setelah mengunyah makna-makna yang pahit manisnya.

Sememangnya Gedebe terasa cukup rencah humornya. Tetapi nada ketawa tentunya perlu berbeza daripada geli hatinya melihat gelagat Senario. Nam Ron kelihatan mempunyai cita rasa humor yang tinggi. Pada masa yang sama dia seorang pemerhati sosial yang jujur.

Watak Caesar tidak wujud dalam Gedebe. Cuma namanya saja berulang kali disebut apabila Cassius (lakonan Md Ezendy) cuba memerangkap Brutus (lakonan Zul Huzaimy Marzuki) supaya membunuh Caesar. Ternyata Brutus sukar masuk perangkap konspirator seperti Cassius.

Bukan Brutus yang pintar tetapi Nam Ron yang membuatkan Brutus kelihatan pintar di sebalik tipu helah Nam Ron. Babak realiti dan imbas kembali bertindih antara satu dengan lain. Ini membuatkan Gedebe kelihatan sangat eksperimental sifatnya.

Pementasan teater ini adalah hasil gabungan tenaga dan pemikiran generasi muda. Mereka memperlihatkan satu eksperimen yang menarik untuk memberikan satu bentuk yang lain kepada teater Malaysia.

Selain Nam Ron, Gedebe juga teranjak dari konvensional menjadi komedi hitam yang eksperimental kerana penglibatan pereka produksi, Bayu Utomo Radjikin, pengarah teknikal Azizul Zahid dan penata muzik Susan Sarah Goh.

Bayu seorang pelukis memperlihatkan kesan dramatik lahir daripada pemilihan warna, susun letak prop dan setting di pentas. Azizul Zahid memperlihatkan konsep penataan lampu yang membantu membangkitkan mood Gedebe.

Gedebe membuktikan anak-anak remaja ini perlu didekati dan diberi laluan. Menerusi Alternative Stage Co. aktivis teater Rohani Yousoff antara orang yang memberi kepercayaan untuk anak-anak muda ini bereksperimen. Rohani adalah penerbit teater yang janggal ini kerana tidak ada artis popular dijadikan prop di pentas.

Melihat lakonan Md. Ezendy dan Zul Huzaimy yang mengagumkan, pendekatan arus perdana yang percaya artis popular merangsang orang menonton teater perlu dikaji semula.

Kesimpulannya Gedebe adalah kesedaran politik yang tinggi di kalangan generasi muda kita. Mereka melihat politik dari sudut pandangan yang luas lagi jernih. Dan mereka tidak perlu berpolitik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.