saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/05/2001

Amanat S. M. Salim - ``Jangan siarkan lagu saya apabila saya mati''


WAJAH-WAJAH terbaru S. M. Salim: ``Janganlah mainkan lagu saya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas saya meninggalkan dunia ini. Bukan apa, kita yang hidup di atas bumi tidak tahu apa yang berlaku kepada orang yang meninggal dunia, jadi berikan sedikit ruang kepada mereka. Itulah yang saya harapkan.''.


Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA
DALAM melayari penghujung usia emasnya, tiada apa yang lebih bererti buat seniman veteran Datuk S. M. Salim selain daripada memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana memberikannya kesejahteraan hidup.

Penghibur ini yang merupakan anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak menyangka permulaan kehidupannya sebagai anak seni yang tidak lekang dicaci dan dihina kini berakhir dengan penghormatan.

``Mungkin itulah hikmah di sebalik cacian dan hinaan yang pernah dilemparkan kepada saya suatu ketika dulu,'' ungkap seniman berusia 72 tahun itu dalam satu pertemuan Mingguan dengannya Khamis lalu.

Di sofa yang empuk di satu sudut ruang tamu rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur, S. M. Salim bercerita selama tiga jam tentang karier seni, kehidupan peribadi dan cita-citanya.

Menyelusuri perjalanan seni bintang legenda yang menjadi kebanggaan industri muzik tanah air ini, banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh dikongsi.

Senang didekati, murah senyuman serta seorang yang humor, diam tidak diam S. M. Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhamad Al-Mahros sudah lebih lima dekad menghambakan diri dalam bidang seni.

Dalam tempoh itu, banyak cerita, suka dan duka yang sudah dilalui. Pengalaman itu, kata beliau, tidak dapat diukur dengan wang ringgit.

Bidang seni juga bertanggungjawab mendekatkan beliau dengan pelbagai lapisan masyarakat daripada kalangan raja-raja Melayu, pemimpin tertinggi negara sehinggalah kepada masyarakat bawahan.

``Saya banyak belajar mengenai kehidupan menerusi kerjaya seni saya. Ada kalanya air mata saya menitis apabila berdepan dengan mereka yang kurang upaya,'' tegas S. M. Salim yang baru-baru ini mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Melalui pergaulan yang luas, S. M. Salim mengakui, kelebihan yang ada pada orang di sekelilingnya diambil sebagai cabaran manakala kekurangan sesetengah orang pula banyak memberinya keinsafan.

S. M. Salim memberitahu, selagi nadinya berdenyut, selagi itulah beliau akan terus berdoa agar Allah memberikan kehidupan yang teratur buatnya.

``Saya takut kehidupan saya menjadi tidak tentu arah atau berakhir dengan kemelaratan khususnya di penghujung usia saya,'' ujar beliau. Ketika mengucapkan kata-kata itu S. M Salim terpaku seketika.

Pernah berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 35 tahun, S. M. Salim tidak pernah terfikir beliau akan berada di tahap sekarang.

Masakan tidak, S. M. Salim yang pernah dicerca kerana kononnya tidak mampu menyara anak gadis orang kini bukan sahaja menjadi pujaan ramai bahkan beliau turut mendapat penghormatan daripada kerajaan.

Kurniaan darjah kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A) dan Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) serta lain-lain pingat kebesaran sudah cukup membuktikan pengiktirafan masyarakat terhadapnya.

Atas sumbangan besarnya mempertahankan keunggulan lagu-lagu Melayu dan asli pula, kerajaan negeri Selangor menganugerahkan dua hektar tanah kepada beliau pada tahun 1992.

``Secara jujur harus saya akui saya bahagia bergelar anak seni bukan kerana apa yang telah orang anugerahkan kepada saya.

``Saya tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah. Jika ada, ia sebagai bonus atau penghargaan kepada saya.

``Kebahagiaan yang paling abadi buat saya ialah berpeluang menghiburkan masyarakat,'' tambah S. M. Salim yang pernah menghiburkan askar-askar Melayu dan tentera pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo, Afrika pada bulan Jun 1961.

Kerana kecintaan beliau kepada bidang seni, tidak hairanlah mengapa S. M. Salim berkata, sehingga ke detik ini sukar untuknya membuat keputusan bersara. Beliau terlalu menyayangi bidang seni.

``Kalau boleh saya mahu menyanyi sekali lagi di Dewan Filharmonik Petronas,'' selorohnya.

Ditanya apakah yang membezakan suasana dunia artis hari ini dan dahulu, S. M. Salim menarik nafas panjang sebelum menjawab pertanyaan itu.

``Hidup srtis sekarang jauh berbeza dengan apa yang pernah dinikmati oleh artis dulu... bagaikan langit dengan bumi,'' katanya.

Yang membezakan keadaan itu ialah gaya hidup, populariti, mentaliti dan penerimaan masyarakat.

``Dahulu kalau jadi artis hina sangat tetapi sekarang ibu bapa lebih menggalakkan anak-anak menjadi artis,'' kenang S. M. Salim mengenai kesukaran yang pernah ditempuhinya.

Walau apa keadaan yang ditempuh sekalipun, beliau tetap bersemangat waja. Menyedari bakat seni yang ada padanya, beliau bukan sahaja menelan kepahitan bahkan segala penghinaan dan cacian dijadikan sebagai cabaran.

Akhirnya, selepas hampir 53 tahun menyanyi, S. M. Salim berjaya mengetepikan segala pandangan songsang segelintir masyarakat.

``Niat saya hanya satu iaitu menjadi artis semata-mata mahu mencari rezeki yang halal bagi menyara keluarga,'' tegas bicaranya.

Meneruskan perbualan, S. M. Salim menasihati golongan artis generasi muda agar menjaga perilaku mereka sebagai orang terkenal.

``Bila berbual jangan terlepas cakap, jaga diri, budi pekerti dan yang paling utama jangan sesekali lupa mendirikan sembahyang lima waktu.

``Insya-Allah hidup kita akan sentiasa dihormati oleh orang,'' nasihat S. M. Salim.

Berada dalam kelompok `warga emas' S. M. Salim tidak terlepas daripada menyuarakan amanat yang diharapkan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berwajib selepas beliau tiada di muka bumi ini.

``Janganlah mainkan lagu saya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas saya meninggalkan dunia ini.

``Bukan apa, kita yang hidup di atas bumi tidak tahu apa yang berlaku kepada orang yang meninggal dunia, jadi berikan sedikit ruang kepada mereka. Itulah yang saya harapkan,'' pesan S. M. Salim.

Amanat itu membuatkan saya tersentak seketika memikirkan betapa bertuahnya industri muzik Malaysia kerana memiliki sebutir bintang yang telah banyak menabur jasa terhadap usaha memelihara lagu-lagu Melayu.

Bapa Lagu Melayu Tradisional ialah barangkali jolokan yang sesuai buat Datuk S. M. Salim - insan seni yang tidak pernah jemu menjaja muzik Melayu.

Jika bukan kita yang mengagumi orang yang istimewa seperti beliau, siapa lagi yang layak berbuat demikian?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.