saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 17/05/2001

Ahmad Razali meninggal dunia selepas diserang sakit jantung

KUALA LUMPUR 16 Mei - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Beliau berusia 73 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 pagi setelah dimasukkan ke IJN malam tadi setelah mengadu sakit dada.

Menurut salah seorang anak Allahyarham, Ahmad Razlan, 29, bapanya pada mulanya menjalani pemeriksaan biasa di IJN kira-kira pukul 9.10 malam tetapi dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan lanjut.

``Bagaimanapun, ketika Allahyarham sedang berbual dengan ibu saya, Puan Seri Wan Mah Rejab pagi ini, beliau tiba-tiba diserang sakit jantung dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi,'' ujar Ahmad Razlan lagi.

Jenazah kemudiannya dibawa ke rumah Allahyarham di Taman Tun Abd. Razak di Ampang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas waktu Asar.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang juga kakak Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan lapan orang anak hasil perkongsian hidup dengan Puan Seri Zaleha Abd. Kadir dan Puan Seri Wan Mah Rejab.

Allahyarham Ahmad Razali dilahirkan pada 10 Disember 1928 di Klang, Selangor dan mula menyertai UMNO pada tahun 1946 ketika berusia 18 tahun.

Beliau pernah dilantik sebagai Penghulu Mukim Hulu Klang/Ampang pada tahun 1952 sebelum memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kampung Baru pada tahun 1967 mewakili Parti Perikatan.

Sejak itu beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO termasuk menjadi Menteri Besar Selangor dari tahun 1982 hingga tahun 1986.

Allahyarham diingati kerana jasanya menyediakan tempat tinggal kepada 300 keluarga Melayu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sewaktu beliau memegang jawatan Setiausaha UMNO Selangor.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum selepas Tragedi 13 Mei sewaktu menjadi Ahli Exco Kerajaan negeri Selangor ketika itu.

Selepas bersara sebagai Menteri Besar, Allahyarham menyertai bidang korporat dengan menjadi pengerusi kepada beberapa buah syarikat termasuk Lembaga Tabung Haji.

Beliau juga merupakan salah seorang ahli Lembaga Disiplin UMNO.

Sementara itu, para pembesar negara dan orang ramai mula memenuhi rumah Allahyarham sejak awal pagi lagi untuk memberikan penghormatan terakhir.

Antara mereka yang hadir menziarahi jenazah termasuk Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba serta beberapa orang menteri Kabinet.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.