saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/05/2001

Menyingkap rahsia bukit Bunuh

Oleh: NIK KHUSAIRI IBRAHIM
BUKIT Bunuh bagi kebanyakan penduduk di sekitar daerah Lenggong, Perak ketika ini hanya dikenali sebagai ladang kelapa sawit milik tauke Cina dan pada zaman penjajah Inggeris kawasan ladang itu dimiliki `Tuan Mat Saleh' dengan ditanam beribu-ribu pohon getah.

Tidak ada yang istimewa mengenai kawasan di bahagian barat Sungai Perak itu, ia sama seperti ladang lain di negara ini diusahakan sejak awal tahun 1900 untuk menjana ekonomi setempat.

Nama Bukit Bunuh bagi penduduk berdekatan pula dikaitkan dengan kisah bagaimana seorang lelaki pertengahan usia yang bermimpi bahawa dia perlu membunuh isterinya untuk mendapat harta dan menjadi kaya.

Terpengaruh dengan mimpinya, dia memilih tempat untuk melaksanakan tugas tersebut iaitu di sebuah kawasan hutan terpencil di atas bukit yang bersempadan dengan lembah yang agak luas.

Maka hebohlah penduduk kampung dengan rancangan lelaki separuh usia itu dan kerelaan isterinya untuk dikorbankan semata-mata kerana mahu suaminya menjadi kaya dan dipandang tinggi di mata orang kampung.

Rancangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana ketika si isteri sedang mandi berlimau (mandi dengan perahan air limau sebelum dibunuh) di tepi sungai, dia ternampak tempayan emas sedang hanyut.

Lalu diambilnya tempayan itu dan diberikan kepada suaminya. Rancangan membunuh dibatalkan dan kekallah suami isteri itu sebagai orang kaya kerana sudah berharta.

Hutan berbukit berhampiran lembah itu kemudiannya digelar Bukit Bunuh oleh orang kampung mengambil sempena peristiwa tersebut.

Kawasan itu kononnya tidak berani diusik sehinggalah diteroka oleh penjajah Inggeris.

Kewujudan Bukit Bunuh yang tidak pernah dipedulikan masyarakat bagaimanapun berubah awal baru-baru ini apabila seorang ahli kaji purba dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mohd. Mokhtar Saidin mendakwa menemui bukti tamadun prasejarah zaman paleolitik berusia 20,000 hingga 30,000 tahun di kawasan tersebut.

Beliau bersama 13 pelajarnya menggali tujuh tempat di mana serpihan batu iaitu pisau dan senjata purba tertanam di sekitar kawasan itu dan menemui banyak serpihan batu berbentuk tiga segi dan tirus yang masih tidak terusik.

Kualiti penghasilan pisau batu jenis kuarzit, rijang dan kuarza itu amat tinggi bagi manusia zaman paleolitik, mungkin sehebat penghasilan pisau lipat Swiss Army dalam hubungan hari ini.

Ekskavasi bermula 5 hingga 12 April itu menganggarkan beribu-ribu bukti dapat ditemui dalam lingkungan 1.3 kilometer persegi di kawasan berkenaan.

Apa yang penting penemuan tersebut membuka ruang untuk mengesan sebuah pusat tamadun purba zaman paleolitik yang terbesar di Asia Tenggara dan masih belum terusik.

Penemuan itu mampu memperkukuhkan teori adaptasi tasik mengenai ketamadunan zaman prasejarah dan kemampuan manusia di rantau ini dalam mereka cipta peralatan zaman batu.

Penemuan tersebut mungkin tidak sehebat kejayaan ekskavasi barat mengesan habitat manusia purba berusia 2 juta tahun di Olduvai George, Afrika Tengah atau pondok berusia 450,000 hingga 380,000 sebelum Masihi di Terra Amata, Nice Perancis.

Bagaimanapun, ia membuka peluang untuk ahli arkeologi mencari bukti ketamadunan purba zaman paleolitik dalam suasana dan budaya di kawasan beriklim panas khatulistiwa dan monsun tropika.

Sebelum ini, penerokaan terhadap khazanah purba selain di Afrika banyak tertumpu di Eropah dengan penemuan bahan purba yang tertanam tidak terusik termasuk di kawasan sejuk bawah paras beku.

Apa yang ditemui oleh penyelidik USM ini bagaimanapun memperluaskan dimensi dalam ekskavasi purba kerana ia memberi tumpuan terhadap tamadun sebelah timur.

Dr. Mohd. Mokhtar ketika menerangkan penemuannya kepada 25 wakil media massa dalam satu kunjungan di kawasan itu minggu lalu menjelaskan bahawa kawasan Bukit Bunuh mungkin wujud sebagai sebuah pulau 20,000 hingga 30,000 tahun lampau.

``Lembah berhampiran merupakan tasik di mana mereka mencari ikan dan mendapat air minum, jadi mereka menetap di sini dan membentuk pelbagai batu tajam untuk memotong daging,'' jelasnya.

Batu yang dibentuk tajam oleh manusia purba turut dijadikan alat untuk melapah kulit, mengetuk tulang dan kayu atau mempertahankan diri dari serangan binatang buas.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengorek dua tapak seluas dua meter persegi dengan bantuan beberapa remaja di kampung berkenaan untuk menunjukkan serpihan batu yang tidak terusik kepada wakil media.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM, Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid ketika menghuraikan penemuan tersebut memberitahu kegiatan mengesan bahan purba di negara ini hanya aktif selepas 1987.

Sebelum ini, Malaysia serta negara-negara di sekitar Asia Tenggara dianggap tidak mempunyai bukti dalam ketamadunan purba sekali gus dianggap terkebelakang pada zaman prasejarah berbanding manusia di benua lain.

Mereka juga dianggap terlalu mundur, jauh ketinggalan dan tidak mempunyai perkembangan daya fikir untuk hidup dengan sempurna.

Sebelum USM menjalankan penyelidikan arkeologi di Lembah Lenggong, manusia terawal di negara ini hanyalah dianggap wujud sekitar 10,000 tahun lalu di Gua Cha, Kelantan, 35,000 tahun lalu di Gua Niah, Sarawak dan di Sabah 20,000 tahun lampau di Tingkayu dekat Tawau, Sabah.

Bukti terbaru daripada kajian ahli-ahli arkeologi USM menunjukkan tamadun purba di negara ini bermula lebih awal dan bukti yang ditemui mempunyai impak besar terhadap sejarah Asia Tenggara keseluruhannya.

Lokasi penemuan pusat masyarakat prasejarah Bukit Bunuh pula terletak kira-kira empat kilometer dari Bukit Jawa iaitu salah sebuah kawasan purba yang ditemui pada awal 1990-an.

Sebelum ini, para ahli arkeologi tempatan turut menemui Kota Tampan iaitu kawasan prasejarah di Lembah Lenggong yang kaya dengan tinggalan masyarakat prasejarah. Ekskavasi Kota Tampan pada 1987 telah menemukan kira-kira 50,000 alat batu yang terdiri daripada batu pelandas, batu teras, batu pemukul, sisa serpihan dan puingan.

Selain Kota Tampan, kawasan prasejarah di Lembah Lenggong ialah Gua Harimau, Gua Gunung Runtuh, Bukit Jawa, Temelong dan Lawin.

Penemuan terpenting ialah manusia terawal `Perak Man' pada 1990 yang hidup kira-kira 11,000 tahun lalu di Gua Gunung Runtuh yang menyumbang terhadap pengetahuan baru mengenai manusia awal di Semenanjung.

Bukti pembuatan alat-alat batu turut ditemui di Bukit Jawa berhampiran Kampung Gelok.

Ekskavasi itu mendapati lebih kurang 100,000 tahun lalu, banyak kumpulan manusia dikenali sebagai Kra Ithmus mendiami sebuah pulau dalam tasik.

Kedudukan Bukit Bunuh yang tidak begitu jauh dari kawasan penemuan bahan purba di Kota Tampan pula boleh membawa andaian bahawa ada pertalian atau hubungan antara kelompok manusia ketika itu.

Apa yang dikemukakan dalam ekskavasi penyelidikan purba USM dijangka diteruskan secara terperinci sehingga lima tahun lagi bagi mendapatkan lebih banyak bukti sokongan serta menunjukkan kepada masyarakat dunia tentang kemampuan manusia purba dari benua Asia.

Rahsia Bukit Bunuh selama ini mungkin tersimpan dan tidak diendahkan oleh sesiapa pun tetapi penemuan kali ini membawa bukti sokongan untuk meneroka dan mengemukakan bukti demi keunggulan tamadun bangsa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.