saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 27/05/2001

Mengenal ulser perut


SEGELINTIR pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan jika pendarahan tidak terkawal. - Gambar hiasan.


Oleh: NAJIBAH HASSAN
SALAH satu punca utama pendarahan dalam perut yang menyebabkan seseorang muntah darah atau membuang najis berwarna hitam seperti tar (malaena) ialah ulser pada perut.

Ulser perut yang juga dikenali sebagai ulser peptik merupakan satu keadaan di mana selaput dalaman perut mengalami luka.

Selain di perut, ulser juga boleh berlaku pada bahagian usus kecil (duodenal ulcer).

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi Hospital Kuala Terengganu (HKT), Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkata, dalam kebanyakan kes bakteria Helicobacter Pylori dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan perut menjadi luka.

Menurut beliau, bakteria ini mengeluarkan beberapa jenis bahan seperti ammonia, protease dan cytotoxin yang menyebabkan paras asid dalam perut meningkat.

``Apabila kandungan asid dalam perut meningkat, lapisan perut akan mengalami luka,'' katanya.

Dr. Shukri memberitahu, dianggarkan 70 hingga 90 peratus pesakit ulser perut dihinggapi bakteria ini.

Ulser yang serius boleh berlaku tanpa sebarang tanda. Dianggarkan 50 peratus daripada pesakit yang mati akibat ulser peptik tidak mengetahui kewujudan ulser itu.

Tambahnya, pengambilan ubat antiinflamasi (Non Steroidal Anti Inflammatory Drugs) yang digunakan untuk merawat penyakit tulang dan sendi, serta Aspirin di kalangan pesakit jantung dan strok juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah ulser.

``Ubat NSAIDs ini merupakan salah satu penyebab utama pendarahan perut dan usus yang boleh mengakibatkan kematian,'' katanya.

Menurutnya, empat peratus daripada pesakit yang mengambil ubat NSAIDs mengalami kesan sampingan yang serius.

Dianggarkan, 30 peratus pesakit mengalami pendarahan perut dan kematian dikaitkan dengan ulser yang berpunca daripada pengambilan ubat berkenaan.

Risiko ini semakin meningkat jika:

* Pesakit yang mengambil ubat-ubatan ini berumur 60 tahun ke atas.

* Jumlah atau dos ubat NSAIDs diambil adalah banyak dalam jangka masa yang lama.

* Penggunaan bersama dengan ubat steroid untuk merawat penyakit yang lain. Ulser perut boleh berulang setelah ia sembuh sekiranya pesakit mengambil semula ubat NSAIDs.

Selain itu faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko seseorang mendapat ulser ialah:

* Tabiat merokok. Risiko untuk mendapat ulser adalah dua kali ganda di kalangan perokok. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah dan tempoh seseorang itu merokok.

* Tekanan (stress). Penyakit kronik seperti penyakit paru-paru yang kronik, cystic fibrosis, sirosis hepar dan kegagalan buah pinggang.

* Pemakanan. Pemakanan tidak mempunyai kaitan dengan ulser walaupun sesetengah makanan boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit perut.

Sepuluh peratus daripada kes pesakit ulser perut tidak diketahui puncanya.

Mengulas tanggapan kononnya ibadah puasa boleh menyebabkan ulser, Dr. Ahmad Shukri memberitahu, pesakit ulser di peringkat akut tidak digalakkan berpuasa sehinggalah ulser tersebut dirawat.

``Apabila telah sembuh, mereka boleh berpuasa dengan memakan ubat seperti yang dinasihatkan doktor,'' katanya.

GEJALA ULSER

Gejala pesakit ulser adalah berbeza di antara individu.

Sakit pada perut (abdomen) terutama di hulu hati adalah biasa dengan anggaran 90 peratus pesakit PUD mengalami sakit pada bahagian tersebut. Ia boleh berlaku selepas atau sebelum makan dan kadang-kadang pada waktu malam.

Punca sebenar penyakit ini tidak semestinya berkaitan dengan keasidan, namun ia berkurangan dengan ubat antacid.

Gejala-gejala lain ialah:

* Sekiranya berlaku pendarahan ulser, najis pesakit akan menjadi hitam dan melekit.

* Kesakitan di seluruh bahagian perut jika ulser perut telah pecah.

* Kesumbatan pada perut yang mengakibatkan pesakit muntah, rasa cepat kenyang dan berat badan menurun. Masalah ini timbul sekiranya ulser terjadi di antara perut dan usus (duodenum).

PEMERIKSAAN

* Gastroskopi. Gastroskopi merupakan satu ujian menggunakan alat sebesar jari kelingking yang akan dimasukkan melalui mulut. Terdapat satu kamera mikro di hujungnya yang akan membolehkan saluran pemakanan, perut dan sebahagian usus kecil dilihat. Pesakit akan diberi semburan bius setempat di bahagian kerongkong atau jika perlu suntikan ubat pelali akan diberikan sebelum pemeriksaan ini dilakukan. Melalui ujian ini, keadaan sebenar pesakit dapat dipastikan sama ada dia mengalami ulser perut atau sebaliknya.

Melalui pemeriksaan ini juga, doktor akan dapat mengambil sedikit contoh tisu di bahagian yang tidak normal untuk pemeriksaan lanjut. Kehadiran bakteria Helicobacter Pylori boleh diketahui dengan kaedah ujian urease atau histologi daripada contoh tisu berkenaan.

Pemeriksaan endoskopi yang kedua perlu dilakukan antara enam hingga lapan minggu selepas pemeriksaan endoskopi yang pertama bagi memastikan ulser perut benar-benar sembuh.

Ini kerana ulser perut juga boleh disebabkan oleh kanser perut. Bagaimanapun, pemeriksaan ini tidak perlu diulangi sekiranya ulser itu berlaku di bahagian usus kecil duodenum.

Kehadiran bakteria Helicobacter Pylori juga boleh diketahui melalui ujian Urea Breath Test atau pemeriksaan darah.

* Ujian larutan barium. Pesakit diminta meminum larutan barium dan X-ray akan diambil untuk melihat bahagian perut yang diselaputi larutan barium.

Bagaimanapun, contoh tisu tidak boleh diambil melalui kaedah ini jika ulser ditemui.

RAWATAN

* Ubat mengurangkan asid dan antibiotik. Sekiranya terbukti bahawa ulser yang dihidapi disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori, ubat yang dapat mengurangkan asid dalam perut dan dua jenis antibiotik adalah kaedah rawatannya.

Bergantung kepada jenis dan dos antibiotik yang digunakan, ketiga-tiga jenis ubat ini perlu diambil selama satu hingga dua minggu.

Dianggarkan kadar kejayaan rawatan ini untuk membantu membunuh kuman Helicobecter Pylori mencecah hingga 90 peratus.

* Hentikan atau kurangkan pengambilan NSAIDs. Bagaimanapun, jika ulser ini disebabkan oleh ubat NSAIDs, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah berhenti atau mengurangkan dos rawatan pada tahap yang paling minimum.

* Endoskopi. Jika ulser menyebabkan pendarahan, rawatan endoskopi boleh dilakukan untuk menghentikan pendarahan ini.

Pesakit akan dimasukkan darah sekiranya paras sel darah merah (hemoglobin) menjadi rendah.

Selain itu, pesakit juga akan diberi rawatan ubat-ubatan untuk memulihkan ulser yang dihidapi.

* Pembedahan. Segelintir pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan jika pendarahan tidak dapat dikawal dengan cara yang dinyatakan.

Kaedah ini juga akan dilakukan sekiranya ulser tersebut telah pecah dan menyebabkan peritonitis (radang di selaput dalam abdomen) di mana pesakit mengadu sakit di seluruh bahagian abdomen.

PENCEGAHAN

* Elakkan memakan ubat Non Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDs). Jika pesakit perlu mengambil ubat tahan sakit untuk penyakit-penyakit tulang, sendi atau otot-otot, sebaik-baiknya gunakan ubat paracetamol. Bagaimanapun, jika tidak berkesan, ubat NSAIDs perlu diambil secara berhati-hati.

Bagi mengurangkan kandungan asid di dalam perut, ubat H2-receptor antagonist atau proton pump inhibitor boleh diambil semasa rawatan NSAIDs bagi mereka yang berisiko untuk mendapat ulser berkenaan.

Ubat COX 2 inhibitor digunakan bagi mengurangkan radang sendi dan ia kurang memberi kesan negatif pada perut, boleh diambil sebagai pilihan bagi pesakit Rheumatoid Arthritis dan seumpamanya.

* Berhenti meminum minuman keras

* Berhenti merokok

* Elakkan atau mengetahui kaedah mengurangkan tekanan (stress) dalam kehidupan seharian

* Pendarahan di bahagian perut yang luka.

KOMPLIKASI

Ia berlaku sekiranya ulser tidak dikesan atau dirawat di peringkat awal.

Masalah ini sering kali berlaku kepada mereka yang berumur melebihi 60 tahun akibat penggunaan ubat NSAIDs untuk penyakit sendi.

Pesakit akan mengadu najisnya menjadi hitam, melekit serta berbau (tarry stool). Sesetengahnya pula akan mendapat muntah berdarah.

* Radang pankreas (pancreatitis)

* Kebocoran perut (perforation)

* Penyumbatan salur makanan (obstruction). Ia disebabkan oleh kesan radang dan pembengkakan sekiranya ulser berkenaan berlaku pada bahagian antara perut dan usus kecil (duodenum).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 6:59
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.