saya nak baca ..

PENDIDIKAN


ARKIB : 02/06/2001

Siswa perlu sokong penyatuan Melayu

Idea Pemimpin
Oleh Jabdin Juhat (Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah)
MAHASISWA merupakan penentu kemudi ummah. Bagaimana dan apa warna masyarakat masa akan datang terletak di tangan dan tanggungjawab mahasiswa hari ini.

Sebagai kelompok yang tidak mempunyai kepentingan peribadi sewajarnya mahasiswa sedaya upaya mempertahankan universalnya sama ada cara berfikir mahupun bertindak.

Mahasiswa juga tidak boleh lari daripada idealisme dan perjuangan sungguhpun terdapat beberapa batasan tertentu.

Hakikatnya, ritma perjuangan mahasiswa hari ini masih belum pudar ditelan waktu walaupun mereka tersepit di tengah asakan mahasiswa dikatakan pasif dan sebagainya.

Apa yang pasti, bermula tahun 1970-an, pergerakan mahasiswa masih belum hilang rentaknya sehingga ke hari ini.

Sungguhpun begitu, suara-suara lantang dan wadah perjuangan mahasiswa masih belum berbisa, mungkin kerana taringnya seakan tumpul dipatahkan dengan pelbagai akta dan peraturan.

Justeru, penglibatan mahasiswa dalam arus perdana politik negara seharusnya dilihat dari sudut yang positif, bukannya menuding jari menyalahkan mahasiswa yang kononnya cenderung kepada pihak tertentu.

Sikap pihak tertentu melihat keterbukaan mahasiswa menyuarakan pendapat berhubung isu semasa sebagai ancaman dan dipandang negatif adalah tidak wajar.

Seharusnya, mahasiswa diberi peluang untuk menganalisis dan membincangkannya secara kritis dan ilmiah.

Pertemuan mahasiswa dengan pemimpin untuk menjalin hubungan bukan sekadar memenuhi undangan untuk mendengar penjelasan.

Begitu juga, ia bukan sekadar mengundang pemimpin pelajar untuk berkunjung ke rumah mereka.

Ini kerana matlamat sebenar pertemuan itu ialah untuk menjalin hubungan erat dan mengadakan perbincangan yang lebih telus dan atas landasan prinsip Islam.

Namun kadangkala kerana kealpaan dan kesempitan minda, kita sebenarnya merencanakan suatu usaha yang masih belum pasti hujung pangkalnya.

Kita masih dibelenggu oleh anasir luar yang jauh menyimpang dari tujuan asal mahasiswa menimba ilmu.

Memang mahasiswa dikurniakan kelebihan akal untuk menimbang mana yang baik, mana yang buruk.

Jadi mahasiswa seharusnya sedar bahawa tindakan kita akan mempengaruhi banyak perubahan walaupun mungkin perubahan itu bukan sesuatu yang kita harapkan.

Mahasiswa mungkin terlalu cepat melatah menyaksikan pergolakan dunia politik yang bersimpang-siur dengan pelbagai kerenah serta menuntut pula sokongan kita.

Ia seringkali pula menyempitkan minda dengan perkara remeh-temeh yang boleh mengalpakan kita daripada memenuhi tujuan asal kita di universiti.

Bukan niat saya untuk menyokong mana-mana pihak tetapi seharusnya kita mempunyai kesedaran tersendiri dan pegangan yang tidak dipengaruhi pihak tertentu.

Jika benarlah mahasiswa ingin membentuk satu pemerintahan yang adil dan saksama, kenapa kita tidak mengkaji sedalam-dalamnya makna keadilan itu?

Mahasiswa seringkali mengimpikan sebuah negara yang harmonis dan bersatu-padu tetapi sedarkah bahawa kadangkala tindakan kita melibatkan diri dalam politik secara serius mendorong kepada perpecahan kaum?

Kenapa tidak kita, barisan mahasiswa yang dikatakan intelektual ini berusaha menyatukan semua pihak agar kesepaduan itu dapat diwujudkan.

Mahasiswa juga seringkali dimomokkan dengan berita-berita yang boleh menyemarakkan api perjuangan, namun sejauh mana kita memperhalusi makna perjuangan itu?

Jika benar mahasiswa inginkan sebuah negara yang aman, kita tidak akan mudah melatah. Sebagai golongan terpelajar segala tindakan kita seharusnya dilandasi oleh kekuatan akal.

Justeru, jika benar berlaku kepincangan dalam sistem politik kita, kenapa kita tidak cuba selesaikan ia dengan baik dan bijak?

Hakikatnya, mahasiswa terlalu cepat menuding jari, menunjuk siapa yang silap, siapa yang benar.

Semua agama menggalakkan perpaduan dan oleh itu, pihak tertentu seharusnya tidak menggunakan lesen agama untuk mempengaruhi pemikiran mahasiswa hari ini.

Malah setiap agama juga menggalakkan kita agar saling tegur-menegur, bukan baling batu sembunyi tangan.

Tindakan memburukkan pihak lain samalah seperti kita menabur fitnah walaupun mungkin ia benar.

Islam menggalakkan kita membetulkan keadaan secara baik dan bijaksana, bukan saling mencari kesilapan.

Tiada manusia yang sempurna. Sesekali tersilap langkah, jadi apa salahnya kita bangkit sebagai mahasiswa yang menjernihkan keadaan dan bukannya mendorong kepada perpecahan.

Golongan mahasiswa juga merupakan pemangkin kepada perpaduan.

Sudah menjadi tanggungjawab dan peranan mereka untuk membincangkan isu semasa secara matang dan kemudian menjelaskannya kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Oleh itu, kita seharusnya menyambut baik hasrat kerajaan memulakan usaha ke arah menjana perpaduan umat Melayu.

Langkah mengadakan perbincangan dengan satu kelompok yang mempunyai komposisi majoriti Melayu adalah langkah awal yang penting untuk mengubah budaya politik yang semakin bercelaru kini.

Kini sudah tiba masanya budaya politik Melayu diberi suntikan baru yang seiring dengan peredaran zaman yang banyak melalui perubahan.

Budaya politik sempit yang mementingkan kelompok dan kepentingan kuasa serta kebendaan haruslah diubah kepada budaya politik baru yang meletakkan kepentingan, survival dan kepentingan masyarakat semua.

Bangsa Melayu harus melakukan anjakan paradigma terutamanya dalam kerangka fikiran dan tindakan agar keghairahan berpolitik dan bermati-matian merebut kedudukan atas dasar kepentingan diri dapat dibendung.

Dalam beberapa perkara asas yang menyentuh hak dan kepentingan bangsa, semua pihak haruslah mempertahankannya walaupun wujud perbezaan ideologi politik.

Justeru, dalam merealisasikan perpaduan di dalam negara, kita perlu ada formula yang disepakati semua pihak.

Ini penting supaya dalam mengadakan perbincangan mengenai perpaduan, ia mestilah berlandaskan prinsip-prinsip dan lunas-lunas tertentu.

Justeru semua pihak haruslah berlapang dada dan meletakkan kepentingan masing-masing di tepi. Apa yang penting ialah perlu ada ketulusan dan ketelusan dalam membincangkan soal perpaduan sekali gus mencari formula yang boleh meningkatkan kepentingan dan masa depan bangsa.

Pendidikan boleh dijadikan alat perpaduan kerana mengatasi atau membentuk perpaduan kaum seharusnya bermula dari peringkat akar umbi.

Didikan ke arah itu bermula dari ibu bapa yang seharusnya memberi penekanan kepada anak-anak pentingnya kekuatan ukhuwah dan silaturahim di antara satu kaum dengan kaum lain.

Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membentuk sistem pendidikan yang berteraskan perpaduan kaum.

Jadi kita tidak perlu banyak beretorik dan berteori dalam menangani masalah perpaduan.

Kita seharusnya mencari kaedah yang lebih bersifat fakta dan praktikal untuk menjayakannya.

Sekolah berasaskan satu-satu kaum sahaja seharusnya dikaji dan diperhalusi semula dalam mewujudkan integrasi kaum di negara ini.

Justeru mahasiswa bertanggungjawab memberikan pandangan yang bernas kepada pihak kerajaan dalam membantu mewujudkan perpaduan.

Penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan merupakan saluran utama mahasiswa menyuarakan pandangan kepada kerajaan semasa seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

Langkah mewujudkan Sekolah Wawasan sewajarnya diterima secara positif dalam membentuk perpaduan kaum di negara ini.

Generasi hari ini bertanggungjawab membentuk generasi akan datang memandangkan generasi akan datang bakal mewarisi apa yang ada pada hari ini.

Sesungguhnya jika kita tidak ingin melihat wajah generasi akan datang lihatlah generasi hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.