saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/06/2001

Perginya suara emas lagu Selamat Hari Raya

Oleh:TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN (WARTAWAN UTUSAN)
SIAPA yang tidak tersentuh apabila mendengar lagu versi asal Selamat Hari Raya nyanyian Fazidah Joned ketika setiap kali datangnya hari lebaran.

Tidak kira muda atau tua, miskin atau kaya, mereka yang mendengarnya pasti terharu dan dibuai perasaan sebak dengan keindahan seni kata dan kemerduan suara `emas' Fazidah ketika mendendangkannya.

Gemersik suaranya menghayati lagu ciptaan Kassim Masdor dan Jins Samsuddin itu menyebabkan Fazidah terus kekal bersama kenangan indah kepada sebahagian besar penggemarnya.

Semalam, Fazidah menghembus nafas terakhirnya kerana penyakit septicaemia iaitu ketumbuhan usus di Hospital Selayang, Selangor,.

Allahyarham meninggalkan suami, Wan Abdul Aziz Mohd., Ali, dua orang anak dan lima cucu.

Walaupun pemergiannya agak mengejutkan, namun lagu yang dicipta pada tahun 1964 itu pastinya akan terus berkumandang pada setiap menjelangnya hari raya.

``Saya sendiri tidak pernah sangka, tuah saya sebagai penyanyi nampak menerusi lagu Selamat Hari Raya itu,'' kata Allahyarham pada satu temu bual dengan pihak media tidak lama dahulu.

Itulah Fazidah yang dikenali oleh generasi muda hari ini.

Lagu yang membawa mesej kuat mengenai perlunya sikap saling bermaafan di pagi hari raya dan mendahulukan orang tua itu juga menyebabkan Allahyarham terus dikenang dan popular di kalangan generasi hari ini.

Meskipun sepanjang kariernya, Allahyarham turut mempunyai lagu popular lain seperti Mengapa Terkenang dan Menanti Malam Tiba, lagu Selamat Hari Raya itu lebih mendekatkan dirinya dengan para peminatnya.

Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada dunia hiburan tempatan terutamanya dalam bidang seni suara.

Fazidah atau nama sebenarnya Fadila Jonid, anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini, mula menyanyi semenjak berusia 14 tahun lagi dengan Orkestra Sukmamurni pimpinan bapa saudaranya, Shahruddin Amin.

Bersama orkestra itu, Allahyarham sering diundang ke majlis-majlis perkahwinan dan pertunjukan pentas.

Pembabitannya secara serius dalam bidang nyanyian mula terserlah setelah memenangi pertandingan Bintang Radio pada tahun 1962.

Bintangnya semakin bersinar sebagai penyanyi setelah mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI selama tiga tahun.

Dalam masa tiga tahun itu, Allahyarham telah melahirkan sembilan EP dan sebuah LP berjudul Tiga Dara.

Popularitinya ketika itu setanding dengan artis-artis popular seperti SM Salim, Kamariah Noor, Saloma, P. Ramlee dan Julie Sudiro.

Bagaimanapun, di tengah-tengah popularitinya, Allahyarham menimbulkan kejutan kepada para peminatnya apabila memilih untuk melangsungkan perkahwinan dengan teman sepermainannya semenjak kecil, Wan Abdul Aziz Mohd. Ali.

Walaupun dikenali ramai dan namanya meniti di bibir peminat seluruh negara, Allahyarham memilih pemuda biasa yang juga merupakan teman sama-sama belajar mengaji dengan seorang guru Quran, Wak Tamri di kampungnya.

Bagi Allahyarham, dia tidak pernah menyesal berkahwin pada usia muda, walaupun ketika itu namanya berada di puncak kegemilangan.

Malah, Allahyarham juga dapat membuktikan bahawa dengan persefahaman dan kasih sayang yang jujur, rumah tangga seseorang artis juga mampu bertahan lama.

Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Norafiza dan Wan Azri.

Selepas mengikut suami berpindah ke Klang, Selangor, Allahyarham menghilangkan diri daripada dunia seni suara kerana sibuk dengan urusan rumah tangga.

Setelah usianya berada di remang senja, Allahyarham memilih untuk menjalani kehidupan di luar dunia popular meskipun sesekali masih menerima tawaran mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan.

Jika di zaman muda, suaranya disumbang bagi menyanyikan lagu berirama moden, asli serta langgam, kini di usia emasnya, anugerah Tuhan itu diguna untuk mengalunkan irama nasyid, zanji dan mengaji al-Quran.

Al-Fatihah!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.