saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/06/2001

Phoenix Bangkit...karya unggul M. Nasir


M.NASIR.


Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Phoenix Bangkit, judul album baru yang sekarang telah berada di pasaran. Penyanyi, pencipta dan penulis lirik adalah M. Nasir. Album ini hadir ketika dunia muzik tempatan tandus karya-karya besar yang membawa sesuatu janji dan pesan yang enak untuk kita.

Kemunculan album baru di pasaran bukanlah suatu yang selalu diberi perhatian. Ini kerana jarang sekali kehadiran album-album itu mencetuskan gelombang perdebatan dan perbincangan yang panjang.

Tetapi hadirnya Phoenix Bangkit membawa makna dan janji yang berbeza. Lagu Phoenix Bangkit Dari Abu misalnya adalah menyalakan keyakinan terhadap kehidupan.

Burung phoenix menjadi lambang kekuatan seperti terungkap pada bait ``Bagaikan burung phoenix bangkit dari abu.'' (petikan lirik Pgoenix Bangkit Dari Abu)

Ketika kebanyakan karya lagu yang sampai kepada khalayak peminat sekadar keluh kesah, kecewa dan ditangani pula secara sambil lewa, Phoenix Bangkit mampu mengejutkan dan menonjolkan satu tradisi penghayatan muzik yang berbeza.

Maka benarlah kalau dikatakan lagu yang baik tidak saja menghiburkan malah ia juga berupaya mengirim ketenangan sambil menyalakan keyakinan. Hiburan hanya cebisan kecil daripada nikmat menghayati pengalaman dan proses kreatif sambil turut mengembara ke dasar jiwa penciptanya.

Perhatikan lirik lagu ini; ``Ke sana ke sini lari-lari kecil / bagai Siti Hajar mencari air / terpancar sinar di kering pasir / bekas hentakan kudus kaki Ismail'' (Lagu Raikan Cinta).

Menghayati karya muzik album Phoenix Bangkit adalah menyingkap kembara ilusi dari laras kata-kata indah mempesona, sarat bermakna beriring melodi yang dimaniskan sedemikian rupa.

Sebenarnya kemanisan dan ketenangan jarang diperolehi dari banyak album penyanyi baru yang bercambah di pasaran.

Tetapi direktori muzik tempatan mempunyai M. Nasir yang selalu berada di luar arus perdana dan tekun pula menggali khazanah silam.

Dalam Phoenix Bangkit, kekuatan penciptaan muzik dengan mengambil kira latar sosio budaya Nusantara begitu menonjol sekali.

Elemen muzik Timur Tengah diberi pendekatan yang cukup stailis dan teradun tanpa jurang dengan bunyi-bunyian yang akrab dengan deria pendengaran di alam Nusantara.

Kerja ini tentunya sukar, mengambil masa yang lama dan berdepan pula dengan khalayak yang rata-rata tidak terdedah dengan seni menghayati muzik di luar arus perdana. Tambahan pula tidak banyak album yang memberikan rencah yang berkhasiat untuk melatari penghayatan terhadap melodi dan kata-kata.

Kehadiran Phoenix Bangkit agak berbeza. Beberapa lagu baru M. Nasir yang disiarkan di radio menyentak perhatian dengan kelainan dan resipi-resipi bunyi-bunyiannya.

Kembara album ini cukup panjang. Malah sememangnya dirasakan satu gelombang yang menguak dan menghubungkan antara terpisah dan berpautnya Nusantara dan tradisi seni dan tamadun Timur Tengah.

Proses pembikinan album ini tidak saja menjurus kepada aspek teknikal. Tetapi yang wajar diperhatikan dan dihayati adalah isi Phoenix Bangkit.

Dalam proses pengembangan budaya fikir dan budaya sosial, setiap masyarakat memiliki khazanah melodi yang membawa isi hati, peradaban dan tingkah laku.

Nilai peradaban, sejarah dan tamadun silam akan ditemui dalam album Phoenix Bangkit. Secara keseluruhan, M Nasir membuat laluan baru dan meninjau khazanah di Timur Tengah yang sebenarnya tidak terpisah dengan Nusantara.

Keupayaan memberikan ciptaan yang stailis terhadap melodi yang akrab dengan Melayu di Nusantara dengan elemen-elemen muzik Timur Tengah suatu yang membanggakan. Malah dirasakan menghayati lagu-lagu dalam album ini seumpama menelaah sejarah silam antara mitos burung phoenix, kudus jiwa Siti Hajar di padang pasir hinggalah menyingkap pemikiran penyair Islam Jalaleddin Rumi pada kurun ke 12.

Album ini memuatkan semua sepuluh lagu karya M. Nasir yang mempunyai konsep muzik dan lirik yang ada hubungkait antara satu dengan lain. Sementara enam dari sepuluh lirik pula ditulis sendiri oleh M. Nasir. Selebihnya dihasilkan oleh Loloq, S. Amin Shahab dan Seth.

Lagu-lagu dalam Phoenix Bangkit menghantar persoalan dan menuntut penghayatan. Lirik disampaikan dengan perlambangan dan menampilkan ikon-ikon sejarah dari tamadun Timur Tengah yang diketahui umum.

Lagu dalam album ini ialah Raikan Cinta (M. Nasir / M. Nasir), , Asirah (M. Nasir/ S. Amin Shahab), Sahabat Gua (M. Nasir / M. Nasir), Phoenix Bangkit Dari Abu (M. Nasir / M. Nasir), Bila Rumi Menari (M. Nasir/ M. Nasir), Dah Lagu Tu (M. Nasir / M. Nasir), Melawan Arus (M. Nasir / M. Nasir), Langgam Pak Dogo ( M. Nasir Loloq), Oh... Anak (M. Nasir / Loloq) dan Hijab Kekasih (M. Nasir / Serth).

Phoenix Bangkit dalam adalah karya unggul M. Nasir dalam sejarah panjang penglibatan M. Nasir dalam muzik. Dari sudut lain, album ini adalah sebuah interpretasi kesinambungan budaya antara Nusantara dan Timur Tengah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.