saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 30/06/2001

Dewan Tunku UM dibakar? -- Berlaku ketika PM dijadual bertemu 3,000 mahasiswa di situ esok


BAHAGIAN dalam Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam. - Gambar KASWADI YUSOFF.


KUALA LUMPUR 29 Jun - Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM) yang bakal digunakan dalam satu perhimpunan besar-besaran dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Ahad ini terbakar awal pagi ini yang dipercayai perbuatan khianat.

Perdana Menteri yang dijemput untuk menutup `Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' selama dua hari bermula esok akan berucap di hadapan 3,000 pemimpin mahasiswa dari 15 buah universiti dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dari seluruh negara.

Simposium anjuran Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi esok.

Bagaimanapun simposium tersebut akan tetap diteruskan di Dewan Perdanasiswa, berhampiran DTC.

Kebakaran awal pagi ini mengakibatkan kerugian sebanyak RM12.4 juta. Ia berlaku ketika terdapat gerakan yang cuba menghalang kehadiran Perdana Menteri antaranya menerusi penyebaran risalah kecil di dalam kampus UM sejak beberapa hari lalu.

Beberapa pelajar UM memberitahu Utusan, mereka menerima risalah tersebut dengan slogan Mahasiswa Bersama-sama Masyarakat yang turut disebarkan di beberapa kolej kediaman selain ditaburkan di jalan-jalan.

Risalah itu antara lain berbunyi: `` Tahu tak anda siapa yang akan masuk ke kampus anda pada 1 Julai ini? Itulah dia ...P.M. Adakah anda sanggup menerima kehadiran pengkhianat ini? Bersama-samalah dengan kami membantah kehadirannya pada 1 Julai 2001. Masa: 9.30 pagi. Bertempat: Depan DTC (UM). ''

Sejak beberapa bulan lalu, kegiatan sebahagian pelajar di UM yang menentang kerajaan semakin ketara termasuk pengedaran majalah Varsiti 2001 yang sarat dengan penulisan berbentuk tohmahan dan hinaan terhadap pemimpin kerajaan selain gerakan kumpulan pelajar haram dan beberapa demonstrasi pelajar.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Anuar Zaini Mohd. Zain pada sidang akhbar khas di UM petang ini berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi dan mengakibatkan kerosakan teruk pada konkrit tetulang di bahagian atas bangunan berkenaan.

Katanya, kebakaran itu turut memusnahkan lebih 1,800 jubah dan 2,000 topi akademik serta selempang dari pelbagai fakulti.

``Hampir 90 peratus daripada bangunan DTC musnah dan saya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada unsur-unsur khianat.

``Saya juga tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas. Bagaimanapun siasatan sedang dijalankan oleh pihak bomba, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kimia dan polis,'' katanya.

Dr. Zaini menambah, pihaknya menganggarkan kerugian sebanyak RM12.4 juta termasuk bangunan, peralatan elektrik dan 3,000 kerusi yang telah disusun untuk simposium tersebut.

Bagaimanapun, katanya, baki sebanyak 4,000 jubah akademik dapat diselamatkan dan dipindahkan ke tempat simpanan baru di Baktisiswa.

Kebakaran awal pagi ini menggemparkan para pelajar dan kakitangan yang tinggal di dalam kawasan kampus. Ia turut mengejutkan banyak pihak kerana DTC yang bakal menjadi tempat simposium tersebut, merupakan bangunan penuh sejarah kepada UM dan negara amnya terutama pada dekad 1980-an dan awal 1990-an yang menyaksikan banyak acara penting berlangsung di situ selain konvokesyen.

Mengulas lanjut mengenai kebakaran itu, Dr. Zaini berkata, lebih kurang pukul 3.28 pagi pegawal keselamatan telah membuat rondaan di sekitar kawasan DTC dan tidak mendapati apa-apa kejadian buruk berlaku di situ.

Pengawal terbabit, katanya, bagaimanapun terkejut apabila mendapati DTC terbakar apabila membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan pada pukul 3.40 pagi.

Jurucakap bomba pula berkata, sebanyak 30 anggota bersama lima buah jentera bomba termasuk sebuah `skylift' dari Balai Bomba Lembah Pantai dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, api yang marak bagaimanapun dapat dikawal 15 minit kemudian iaitu selepas bomba sampai di tempat kejadian pada pukul 3.45 pagi.

Jelasnya, bomba tidak menghadapi sebarang masalah ketika memadamkan api dan masih menyiasat punca sebenar kebakaran daripada semua aspek.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Hadi Ho Abdullah pula berkata, polis belum mempunyai apa-apa maklumat mengenai punca kebakaran tersebut.

Beliau yang enggan mengulas lanjut tentang kebakaran itu berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan polis.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pesta konvokesyen yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos ini, Dr. Zaini berkata, ia terpaksa ditangguhkan sehingga tarikh baru diumumkan kemudian, berikutan kebakaran pagi ini.

``Penangguhan itu adalah bagi membolehkan pihak universiti merangka perancangan baru melibatkan tempat alternatif dan persediaan jubah-jubah akademik yang mencukupi untuk kegunaan 5,800 graduan nanti.

``Konvokesyen mungkin diadakan dua kali secara berperingkat bagi membolehkan urusan jubah dan kesesuaian tempat dipilih nanti dan bakal graduan akan dimaklumkan mengenai perkara ini melalui akhbar serta surat,'' katanya.

Dalam perkembangan yang sama pengerusi penganjur, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, YPW mengesyaki kebakaran itu adalah satu sabotaj yang dirancang bagi menggagalkan simposium berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihak penganjur akan tetap mengadakan simposium itu pada tarikh dan waktu yang sama, cuma tempatnya beralih ke Perdanasiswa.

Oleh: SHARILFUDDIN SAARI, ASUKI ABAS dan ANGELINA SINYANG

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:32
Maghrib 7:05
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.