saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/08/2001

Anita Sarawak kahwin lagi - Pilih pengurus sebagai teman hidup

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA
PADA usia separuh abad, jarang benar kita mendengar orang mendirikan rumah tangga buat kali kedua, ketiga atau keempat, apatah lagi bagi seorang wanita.

Ditambah pula, jika wanita tersebut seorang superstar yang rata-rata dianggap tidak percaya pada institusi perkahwinan.

Apatah lagi, masyarakat di sebelah sini selalu memandang serong terhadap wanita yang berkahwin pada usia sebegitu.

Tetapi bagi Anita Sarawak perkara ini tidak dianggap ganjil. Tanpa ragu, Anita atau nama sebenarnya Ithnaini Mohamed Taib telah mendirikan rumah tangga buat kali keempat di Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Pernikahannya yang keempat dengan Martin Cox, 47, atau nama Islamnya Mohamad Mahathir Abdullah dilangsungkan di sebuah masjid di Las Vegas minggu lalu.

Mahathir bagaimanapun telah memeluk Islam dan mempelajari selok-belok agama sebulan sebelum perkahwinan tersebut dilangsungkan.

Mahathir yang berketurunan Inggeris merupakan pengurus Anita. Pengantin baru itu berkenalan pada penghujung tahun 1999.

Bibit-bibit perkenalan yang membuahkan percintaan antara Anita-Mahathir itu bermula ketika Mahathir dan rakan-rakannya berkunjung ke Las Vegas untuk menonton aksi peninju dunia, Evander Holyfield.

``Mereka semua datang untuk menyaksikan persembahan saya dan seperti biasa di akhir persembahan saya beramah mesra dengan semua yang datang dan Mahathir salah seorang daripadanya,'' kata Anita ketika mendedahkan pertemuannya dengan suaminya itu dalam satu temu bual dengan media Singapura, hujung Februari lalu.

Hubungan intim Anita-Mahathir sudah dapat dihidu oleh media tempatan sebelum ini ketika Anita memenuhi undangan Minggu Setiausaha dan majlis anugerah anjuran sebuah akhbar tempatan tidak lama dulu.

Biar apa sekalipun tanggapan orang terhadap bintang kelahiran bumi Temasek ini secara peribadi mahupun pada perkahwinannya kali ini, apa yang pasti Anita telah mengambil satu keputusan yang cukup berani.

Pernah melalui trilogi gelap dalam perkahwinannya sebelum ini, kehidupan peribadi Anita tidak pernah lekang daripada dihimpit kontroversi.

Perkahwinan pertamanya ialah dengan pemuzik dari kota Singa, Mohamed Abdul Samad pada 1972. Bagaimanapun, mereka berpisah pada April 1976.

Menjelaskan sebab perceraian itu, Anita berkata, perkahwinan pertamanya itu bukan berlandaskan kepada cinta. Sebaliknya, dia berkahwin semata-mata kerana memenuhi permintaan Allahyarhamah ibunya.

Tahun 1981, Anita sekali lagi mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal dari Indonesia, Broery Marantika.

Perkahwinan kedua itu mengundang kontroversi yang bukan calang-calang kerana Broery ketika itu masih menganut agama Kristian.

Bagaimanapun, segala kekecohan itu berakhir apabila Broery memeluk Islam di hadapan Mufti Singapura, Syed Al-Jufri di pejabat Majlis Agama Islam Singapura.

Malangnya, perkahwinan itu tidak bertahan lama dan mereka mengambil keputusan untuk bercerai empat tahun kemudian.

Ketika itulah Anita mengambil keputusan nekad berhijrah ke AS dan memperjudikan nasib seninya di pusat hiburan terkenal, Caesar's Palace.

Sebelum berangkat ke AS, Anita meninggalkan peminat dengan sebuah album Melayu yang memuatkan lagu yang cukup istimewa - Bawalah Daku Pergi.

Sedekad berlalu. Pintu hatinya diketuk oleh James Dean Nicholson (JD) bekas penyanyi kumpulan Commodores.

Namun perkahwinan kali ini juga tidak terlepas daripada cabaran getir.

Enam bulan sebelum mereka disatukan, pasangan itu ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana berkhalwat di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Belum sempat mengecapi kebahagiaan dan nikmat sebenar alam berumah tangga, Anita terpaksa menerima hakikat pahit yang dia harus kembali menjalani kehidupan secara solo. Anita dan JD berpisah empat tahun kemudiannya.

Namun, kekecewaan masa lalu yang bersilih ganti tidak sekalipun melunturkan kepercayaan anak kepada bintang filem legenda Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Allahyarhamah Siput Sarawak ini terhadap hubungan suami isteri.

Kalau majoriti masyarakat, khususnya generasi muda sekarang begitu terpengaruh dengan kehidupan Barat dan beranggapan perkahwinan sudah tidak penting, lain pula halnya dengan Anita.

Walaupun sudah berbelas tahun bermastautin di negara Uncle Sam dan terdedah kepada nilai masyarakat di sana, dia tetap percaya kepada perkahwinan dan institusi keluarga.

Perkhabaran mengenai perkahwinan terbaru Anita ini disahkan oleh ibu tirinya, Datin Umi Kalthum kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di kediamannya.

``Anita ada hubungi saya untuk beritahu perkahwinannya dengan Mahathir. Dia juga jemput saya ke sana tetapi keadaan tidak mengizinkan,'' kata Umi yang terlalu gembira dengan keputusan pasangan itu.

``Insya-Allah bila Anita balik nanti, satu majlis kecil akan saya adakan untuk meraikan kedua mempelai,'' ujarnya menceritakan perancangan menyambut menantu barunya.

Anita dijangka kembali ke Singapura pada 15 Ogos ini kerana mengikat kontrak lima bulan dengan stesen televisyen Singapura, MediaCorp.

Apakah resepsi perkahwinan Anita kali ini berteraskan perkahwinan tradisi Melayu seperti yang pernah disuarakan olehnya kepada pihak media tempatan ketika berada di Kuala Lumpur April lalu?

Mungkinkah perkahwinan kali ini akan menghasilkan zuriat - kerana bakat besar Anita wajar ada pewarisnya.

Selamat pengantin baru. Semoga bahagia ke akhir hayat!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.