saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 19/08/2001

Epidural kurangkan sakit bersalin


PEMBEDAHAN Caesarean Section dengan kaedah pembiusan epidural.


Oleh: NAJIBAH HASSAN
PENGALAMAN yang sering dikongsi oleh ibu-ibu yang pernah melalui proses melahirkan anak sering kali dibayangi dengan cerita-cerita cemas, mendebarkan dan tidak kurang menakutkan.

Bagi sesetengah wanita, pengalaman itu memungkinkan mereka berasa serik untuk menempuh pengalaman pahit buat kali kedua. Mereka akan berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan untuk menambah zuriat.

Wanita yang belum menempuh saat-saat itu pula menganggap ia umpama satu trauma psikologi yang panjang sehinggalah mereka melalui sendiri pengalaman tersebut.

Pakar Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Mahamarowi Omar berkata, melahirkan anak adalah satu proses yang amat menyakitkan terutama bagi anak pertama.

Menurut beliau, kesakitan semasa bersalin jika tidak dikawal dengan sempurna boleh mengakibatkan tekanan darah dan nadi pesakit meningkat.

``Ini berlaku akibat daripada rembesan hormon-hormon seperti adrenalin dan non-adrenalin secara berlebihan ke dalam darah pesakit.

``Pada masa yang sama juga anak yang berada dalam kandungan secara tidak langsung akan merasa ketidakselesaan,'' katanya.

Dr. Mahamarowi berkata, apabila tekanan darah ibu meningkat, ia mengakibatkan bekalan darah ke uri dan ke badan anak dalam kandungan berkurangan.

``Keadaan ini boleh menimbulkan bahaya kepada kedua-dua nyawa iaitu ibu dan anak,'' ujarnya.

Masalah ini lebih ketara lagi bagi wanita yang menghadapi masalah darah tinggi ketika hamil (pre-eclampsia) atau mengalami masalah jantung seperti injap jantung yang sempit dan berlubang.

Menurut beliau, tahap kesakitan semasa melahirkan anak mungkin berbeza-beza antara wanita. Ada yang mudah dan begitu juga sebaliknya.

Malah, berdasarkan pengalaman mereka yang pernah melalui proses itu, kesakitan yang dilalui semasa melahirkan anak tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kelemahan teknik mengurangkan sakit bersalin secara konvensional

Bagaimanapun, kata Dr. Mahamarowi, pakar-pakar perubatan tidak memandang sepi masalah yang dihadapi oleh wanita.

``Banyak kaedah telah diperkenalkan untuk mengurangkan kesakitan semasa proses kelahiran seperti suntikan morfin dan pethidine,'' katanya.

Namun, penggunaan ubat-ubatan ini tidak lagi begitu popular pada masa kini kerana ia mempunyai kesan sampingan.

Ubat-ubat yang disuntik itu akan menyerap masuk ke dalam tubuh bayi dan ini menyebabkan bayi terbabit mengalami kesukaran bernafas apabila dilahirkan.

``Selain itu ibu-ibu terbabit juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah seperti rasa mengantuk, gatal-gatal, loya, muntah dan kesukaran untuk bernafas,'' ujarnya.

Selain kaedah ini, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan ketika proses kelahiran ialah dengan meminta ibu-ibu menyedut sejenis gas yang dipanggil entonox (O2 + N2O).

Kaedah ini masih lagi diamalkan di kebanyakan hospital di Malaysia tetapi keberkesanan gas ini bergantung kepada teknik semasa penyedutan.

``Bagaimanapun, kaedah ini boleh menyebabkan ibu-ibu rasa mengantuk dan kurang bertenaga semasa proses kelahiran jika tidak diberi dengan cara yang betul,'' katanya.

Penggunaan pembiusan epidural

Bagi menangani masalah ini, kaedah pembiusan epidural diperkenalkan di mana satu tiub plastik kecil yang dipanggil ``epidural catheter'' dimasukkan di bahagian tulang belakang pesakit.

Tiub ini akan dicucuk dan diletakkan di dalam ruang epidural tulang belakang.

Setelah tiub ini dimasukkan, sejenis ubat yang dipanggil sebagai pembiusan setempat (local anaesthetic) akan disuntik ke dalam ruang epidural.

Ubat bius ini akan merebak dan akan menyekat saraf kesakitan daripada berfungsi untuk seketika.

``Kesannya rangsangan kesakitan daripada rahim yang mengecut ini tidak akan sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai kesakitan,'' katanya.

Dengan kaedah ini, ibu-ibu tidak akan merasai kesakitan yang amat sangat melainkan rasa sedikit senak akibat pengecutan rahim.

Dr. Mahamarowi memberitahu, proses pembiusan ini mengambil masa kurang daripada 10 minit dan kesannya dapat dirasainya dalam tempoh beberapa minit, bergantung kepada keperluannya dan jenis ubat bius yang digunakan.

``Kesannya juga dapat bertahan selama yang diperlukan atau sehingga proses kelahiran selesai,'' katanya.

Ubat bius seperti Lignocaine, Bupivacaine dan Ropivacaine selalu digunakan dalam kaedah ini di hospital-hospital di Malaysia.

Dos ubat pembiusan bergantung pada beberapa faktor seperti saiz badan pesakit, tahap kesakitan dan juga peringkat proses kelahiran.

Kaedah pembiusan epidural tidak hanya digunakan untuk mengurangkan kesakitan semasa melahirkan anak tetapi juga digunakan untuk pembiusan setempat semasa melakukan pembedahan caesarean bagi ibu-ibu yang tidak mampu melahirkan anak secara normal.

``Cuma ubat yang digunakan itu ditukar kepada dos yang lebih tinggi,'' ujarnya.

Dengan kaedah ini pesakit akan dapat melihat, menyentuh dan mendengar tangisan bayi sebaik sahaja bayi dilahirkan.

Dr. Mahamarowi memberitahu, bukan semua pesakit boleh menerima pembiusan epidural.

``Pesakit-pesakit yang mempunyai masalah pembekuan darah atau yang mempunyai jangkitan kuman dalam darah atau yang berada dalam keadaan pendarahan yang teruk (hypovolaemic shock) tidak boleh menerima pembiusan epidural,'' katanya.

Sebagai langkah awal untuk memperkenalkan kaedah ini kepada orang ramai, HUSM telah memberi galakan kepada kakitangan hospital untuk menggunakan kaedah ini dengan harapan ia dapat menyebarluaskan teknik ini kepada masyarakat.

Sambutan terhadap penggunaan epidural di USM semakin baik.

Keperluan pembiusan epidural

Ibu-ibu yang bakal melahirkan anak mempunyai hak dan boleh memohon untuk menggunakan kaedah pembiusan epidural.

Bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan oleh pakar pembiusan, pakar perbidanan dan sakit puan dan juga bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.

Kebaikan epidural

* Ibu-ibu tidak akan berasa sakit. Mereka akan melahirkan anak dengan lebih selesa dan selamat.

* Bagi ibu-ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi atau pre-eclampsia, mereka amat digalakkan bersalin melalui kaedah ini.

* Anak-anak yang dilahirkan dengan kaedah ini biasanya lebih selamat dan sihat, di samping itu ibu dapat memegang dan memberi susu ibu sejurus selepas anak dilahirkan.

Salah tanggapan terhadap kaedah pembiusan epidural

Banyak pihak beranggapan bahawa kaedah ini akan menyebabkan sakit belakang, kepala dan kelumpuhan. Ini menyebabkan ramai ibu tidak begitu tertarik untuk menggunakan kaedah epidural.

Sesetengah ibu menganggap apabila kaedah ini digunakan, doktor akan mengambil air tulang belakang yang akan menyebabkan kerencatan akal.

Tanggapan ini adalah tidak benar sama sekali.

Walaupun ada sesetengah pesakit mengalami sakit belakang selepas pembiusan epidural tetapi adalah tidak tepat untuk menyalahkan kesakitan itu kepada pembiusan epidural semata-mata.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.