saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 23/08/2001

Ketua UMNO Pasir Puteh dilucut jawatan

Oleh: ZULKIFLI JALIL
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kamaruddin Md. Nor adalah antara dua ketua bahagian dilucutkan jawatan oleh Lembaga Disiplin UMNO setelah didapati bersalah melanggar peraturan parti dan terbabit dalam politik wang pada pemilihan bahagian tahun ini.

Seorang lagi ialah Ketua Bahagian Bukit Bintang, Datuk Abdul Azim Mohd. Zabidi, yang berita perlucutannya telah didedahkan oleh Utusan, Ahad lalu.

Satu lagi kejutan ialah Datuk Faisal Abdullah yang meraih pencalonan tertinggi bagi bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, juga didapati bersalah kerana terbabit dalam politik wang.

Lembaga Disiplin UMNO dalam keputusannya hari ini turut mengumumkan tiga lagi pemimpin bahagian termasuk Ketua Bahagian Pokok Sena, Ahmad Lebai Sudin meskipun didapati bersalah, cuma diberi amaran mengikut Fasal 20.9 (a) Perlembagaan UMNO.

Enam pemimpin bahagian lain yang juga bersalah, digantung hak untuk memilih, dipilih dan dilantik ke sebarang jawatan dari peringkat bahagian ke cawangan untuk tempoh antara tiga hingga enam tahun.

Bagaimanapun, 48 orang yang lain didapati tidak bersalah.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen berkata, Abdul Azim didapati telah memaksa para perwakilan Bukit Bintang mengundinya dan menganjurkan majlis secara besar-besaran untuk meraih sokongan.

Tegasnya, berdasarkan kesalahan mengikut Fasal 6.2.2 Perlembagaan UMNO, beliau digantung hak-haknya untuk memilih, dipilih dan dilantik ke sebarang jawatan dari peringkat bahagian ke cawangan selama tiga tahun sehingga 17 Julai 2004, berkuat kuasa 18 Julai lalu.

Bagaimanapun, kedudukan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) itu sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) tidak terjejas kerana pemilihannya ke jawatan itu dibuat sebelum pertandingan bahagian.

Menurutnya, turut didapati bersalah ialah Kamaruddin yang digantung hak-hak serupa selama satu penggal pemilihan dari 21 Jun lalu.

``Keputusan siasatan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin ini bukan 100 peratus bersabit gejala politik wang tetapi ia bersangkut-paut juga dengan segala bentuk pelanggaran peraturan parti seperti mana termaktub dalam Tata Etika UMNO.

``Antaranya, calon memberi tambang percuma dan hiburan kepada perwakilan; menggunakan media elektronik, ejen dan pelobi untuk menyebar fitnah serta menganjurkan majlis tertentu termasuk mengeluarkan derma untuk meraih undi,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO di sini.

Ini merupakan kali ketiga Lembaga Disiplin mengumumkan hasil siasatannya, menjadikan jumlah keseluruhan semua pemimpin bahagian yang dibatalkan kemenangan mereka ialah seramai 20 orang.

Selain Abdul Azim dan Kamaruddin, lima ketua bahagian yang dilucutkan jawatan ialah Ketua UMNO bahagian Gopeng, Mustafa Kamal Mohd. Nawi; dua ketua bahagian Muar, Datuk Abdullah Omar dan Abdul Malek Munip; ketua bahagian Baling, Datuk Zainol Md. Isa dan Ketua UMNO bahagian Tanjung Aru, Datuk Yahaya Lampong.

Abdul Azim mengetuai UMNO Bahagian Bukit Bintang pada pemilihan 13 Mei lalu setelah menewaskan penyandang, Datuk Jamaluddin Mansor, dengan kelebihan 58 undi.

Menurut Rithaudeen, enam pemimpin bahagian lain yang didapati bersalah ialah Mokhtar Ismail dari bahagian Pasir Puteh, setiausaha bahagian Bukit Bintang, Datuk Ruslan Omar, Datuk Yahya Shafie (Ipoh Timur) dan Datuk Faisal Abdullah, Mohd. Zahar Mohd. Sohor @ Mat Nor serta Abas Kassim, ketiga-tiganya daripada bahagian Kuantan.

Kes di bahagian Kuantan itu adalah ekoran dakwaan penyandang jawatan Datuk Fauzi Abdul Rahman terhadap amalan politik wang di bahagian itu yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Mengulas perkembangan siasatan Lembaga Disiplin sehingga kini, Rithaudeen berkata, sebanyak 506 aduan telah diterima membabitkan 185 kes dibicarakan, 296 kes bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin dan `dipulangkan' balik kepada pengadu dan 25 kes belum ditetapkan tarikh bicara.

Mengenai kekeliruan banyak pihak terhadap ahli parti yang didapati bersalah tetapi sekadar dikenakan hukuman amaran, beliau berkata, pihaknya mendapati kesalahan mereka tidak begitu serius.

Mengulas kekosongan jawatan-jawatan ketua bahagian ekoran ketuanya dilucutkan jawatan, Rithaudeen berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan MT untuk membuat keputusan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.