saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/09/2001

Serangan terhadap WTC dan Pentagon: Satu pengajaran bagi AS

Oleh Dr. Hassan Ahmad
BANYAK orang tentunya sedih melihat `keganasan' yang dilakukan (oleh siapa, belum diketahui lagi) terhadap bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, bangunan yang dianggap oleh Amerika sebagai lambang kebebasan ekonomi dan dagang dunia. Dalam serangan itu tentunya ribuan manusia yang tidak bersalah, tidak berdosa, terkorban.

Tetapi tentu banyak juga orang yang gembira dengan kejadian itu bukan kerana mereka, sebagai manusia biasa, tidak mempunyai perasaan, tetapi kerana marahnya mereka terhadap keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Amerika terhadap mereka.

Kes yang dapat kita sebutkan di sini ialah kes Iraq. Dalam tahun 1991 pakatan Amerika-Britain dan sekutunya di bawah arahan George Bush (bapa Presiden Amerika sekarang) menyerang dan mengebom Iraq dengan dahsyatnya, dan selepas itu mereka mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu hinggalah ke hari ini.

Akibat serangan dan sekatan ekonomi itu, ratusan ribu penduduk Iraq, termasuk kanak-kanak, terbunuh, tercedera parah dan mengalami kepahitan hidup ekonomi yang seksa. Kanak-kanak, yang sihat dan yang cacat, dan warga dewasa Iraq, yang mata pencariannya dimusnahkan oleh serangan itu terpaksa menganggur, mengemis dan melarat. Bekalan perubatan juga disekat, menyebabkan banyak warga Iraq termasuk bayi dan kanak-kanak menderita dan akhirnya meninggal dunia.

Keganasan

Tidakkah ini keganasan namanya - keganasan yang dilakukan, bukan oleh `pengganas perseorangan' atau `kumpulan pengganas' yang bertindak sendiri-sendiri, tetapi oleh sebuah negara atau kerajaan asing, kerajaan yang sering membangga dirinya sebagai wakil bangsa dan negara yang bertamadun. Padahal negara yang diserang itu, iaitu Iraq, tidak pernah menyerang Amerika.

Penderitaan yang dialami oleh rakyat Iraq akibat keganasan Amerika itu tidak dihebohkan oleh media Barat. Yang dihebohkan ialah `kejahatan' para pemimpin Iraq, terutama Presiden Saddam Hussein dan membesar-besarkan misi Amerika untuk `menyelamatkan' dunia - daripada apa dan siapa, tidak dijelaskan.

Kesedaran tentang kepentingan orang lain tidak timbul dalam hati sanubari mereka. Apabila serangan terhadap bangunan WTC itu berlaku, kita perhatikan bahawa para pemimpin kerajaan Amerika tidak faham atau tidak mahu mengetahui mengapakah ada orang yang begitu berani, yang `fanatik', sanggup membunuh diri menyerang bangunan itu, termasuk ibu pejabat Pentagon.

Mereka tidak faham mengapa ada orang yang membenci Amerika. Mereka menganggap, seperti kata Setiausaha Negaranya, Colin Powell, bahawa serangan itu adalah tindakan `perang terhadap tamadun dunia', tamadun dunia yang dianggapnya diwakili oleh Amerika Syarikat.

Daripada mencari apakah kemungkinan salah dan silapnya dasar dan ideologi Amerika terhadap orang lain, mereka mencari kesalahannya pada orang lain, pada orang yang mereka anggap `pengganas'. Belum pun siasatan dilakukan, mereka telah menuduh `pengganas Islam'lah yang melakukan serangan itu.

Nama Osama bin Laden disebut-sebut sebagai orang yang dipercayai (bukan setakat disyaki) mengaturkan dan membiayai serangan itu. Dan mereka melakukan kempen psikologi untuk membangkitkan emosi rakyat Amerika dan emosi seluruh masyarakat antarabangsa terhadap `keganasan' ini dengan tujuan untuk mengesahkan tindakan kerajaan Amerika untuk melancarkan `serangan balas' terhadap mana-mana negara Islam yang disyaki menganjurkan `perang' terhadap Amerika itu.

Laporan yang disiarkan dalam media massa kita yang dipetik daripada agensi-agensi berita Barat (Amerika) tidak sahaja mengandungi `fakta' tentang kejadian itu tetapi juga mengandungi ideologi dan cerita yang bertujuan untuk menimbulkan imej bahawa the evil (yakni, yang jahat) ialah orang Islam, the good (yakni, yang baik) mereka.

Inilah yang dikhuatiri oleh Perdana Menteri Malaysia apabila beliau berkata bahawa punca-punca serangan itu hendaklah dikaji secara rasional dan tidak digunakan untuk melancarkan tindakan balas, kerana cara ini pasti akan menimbulkan keadaan yang lebih dahsyat lagi.

Oleh sebab para pemimpin kerajaan Bush telah berkata bahawa serangan itu adalah `perang terhadap Amerika', walaupun mereka tidak pasti siapakah yang melancarkan perang itu, saya khuatir Amerika mungkin akan mengisytiharkan perang terhadap negara-negara Islam seperti Afghanistan yang disyaki memberi pelindungan kepada Osama bin Laden, mungkin juga terhadap rakyat Palestin, atau terhadap Iraq, dan entah mana lagi negara Islam yang akan diserang semata-mata atas alasan yang direka-reka.

Salah satu cara untuk mereka alasan untuk menyerang orang lain ialah dengan menciptakan `bukti' bahawa mereka telah menemui beberapa tanda yang menunjukkan bahawa perampas kapal terbang penumpang Amerika itu pasti orang Arab Islam.

Contohnya, pihak penyiasat (FBI Amerika) menemui sebuah motokar dekat lapangan terbang Boston, di dalamnya terdapat sebuah al-Quran dan buku panduan yang ditulis dalam bahasa Arab tentang bagaimana hendak memandu kapal terbang. Kereta itu `disyaki' ditinggalkan oleh salah seorang perampas kapal terbang yang merempuh bangunan WTC itu.

FBI atau CIA Amerika memang terkenal juga dengan taktik seperti ini: Mereka bukti. Tentunya tidak munasabah kehandalan penyerang bangunan WTC dan pejabat Pentagon itu begitu bodoh pula meninggalkan `bukti' yang begitu ketara untuk mendedahkan identiti mereka.

Kenyataan yang dibuat oleh Osama bin Laden (melalui penolongnya yang disampaikan kepada seorang wartawan Arab Palestin) atau kenyataan jurucakap kerajaan Taleban di Afghanistan, menafikan penglibatan mereka dalam rancangan serangan itu diketepikan, cuma disebut sepintas lalu sahaja oleh media Barat.

Yang penting ialah, mencari sebanyak-banyak `laporan' daripada mana-mana `sumber' pun, yang akan mengaitkan serangan itu dengan `pengganas Islam'. Tujuan mereka ialah untuk mendapat simpati dunia supaya menyokong apa-apa tindakan balas yang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang disyaki mengaturkan dan membiayai `keganasan' itu.

Kerajaan Amerika nampaknya masih tidak sedar bahawa dasarnya, atau ideologinya, adalah punca utama yang menyebabkan orang lain membenci Amerika atau sanggup melakukan `keganasan' sebegitu dahsyat terhadap orang awam Amerika.

Mereka tidak sedar atau tidak mahu mengaku bahawa dasar mereka terhadap orang lain berunsur ganas. Mereka sanggup memerangi orang lain semata-mata kerana ideologi dan kepentingan ekonomi mereka, sedangkan orang lain, misalnya rakyat Palestin, yang menentang Israel kerana merampas tanah mereka, dianggap pengganas.

Kerana ideologi Amerika memerangi Vietnam. Kerana ideologi dan kepentingan ekonomi, Amerika menempatkan pasukan tentera mereka di serata dunia. Dan mereka percaya bahawa seluruh dunia menyokong dasar dan ideologi Amerika.

Bagi bangsa yang selalu menjadi mangsa keganasan kerajaan Amerika, mereka tentu tidak akan berdiam diri, menyerah kepada segala tindak-tanduk perang ideologi Amerika. Vietnam contohnya. Rakyat Palestin juga contohnya. Begitu juga Iraq.

Jikalau ada orang yang berkata bahawa mereka hairan mengapa di dunia ini ada manusia atau kumpulan manusia yang `fanatik', yang berani mati, untuk menentang keganasan kuasa luar, saya kira orang itu tidak memahami semangat manusia yang dikatakan `fanatik' dan `berani mati' itu. Bagi bangsa yang tidak pernah menjadi mangsa keganasan dasar dan ideologi Amerika atau pencerobohan Israel memang mudahlah untuk mereka menganggap diri mereka `tidak fanatik' atau `tidak militan'.

Tetapi cuba, kalau negara dan bangsa mereka dicerobohi, diganasi, hak mereka dicabuli, kanak-kanak mereka dibunuh, rumah dan kampung halaman mereka dimusnahkan, dibom dari udara, apakah mereka akan berdiam diri? Lama-kelamaan pasti akan wujud di kalangan mereka orang atau kumpulan-kumpulan yang dikatakan `fanatik' itu, yang akan sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan tanah air mereka, agama mereka, bangsa mereka, kepentingan mereka, maruah mereka. Mereka bukan `fanatik', bukan pengganas, tetapi pejuang. Mereka bukan berjuang kerana ideologi atau isme yang diciptakan oleh manusia tetapi kerana mempertahankan maruah dan hak mereka.

Kebanyakan negara Arab yang menjadi sasaran keganasan Amerika dan Israel tidak mempunyai kekuatan tentera yang besar, kuat dan cekap untuk menentang keganasan itu. Maka cara lain terpaksa mereka gunakan, cara yang banyak sekali bergantung pada kekuatan semangat. Tanpa semangat ini rakyat Palestin dan rakyat Iraq, misalnya, mungkin sudah lama menjadi takluk Barat.

Kita tidak menyokong keganasan. Tetapi keganasan berlaku sebagai balasan terhadap keganasan. Hal inilah yang mesti disedari oleh kerajaan dan rakyat Amerika. Penyelesaian terhadap masalah `keganasan' ini hanya dapat dicapai apabila Amerika dan sahabatnya Israel mengubah dasar dan ideologi mereka terhadap rakyat Palestin dan negara Islam, daripada menganggap mereka sebagai `musuh' kepada dasar menganggap mereka sebagai `kawan' atau sebagai bangsa yang aman dan boleh berbaik-baik dengan orang lain sekiranya mereka tidak diganggu, tidak diharu dan tidak dirampas haknya, tanahnya, ekonominya dan kedaulatannya.

Amerika dan Israel sendiri mesti menghentikan dasar keganasan mereka terhadap orang lain. Dan jikalau rakyat Amerika tidak mahu peristiwa yang buruk itu berlaku lagi di Amerika, caranya bukanlah untuk mendesak atau menyokong kerajaan Amerika supaya melancarkan perang terhadap mana-mana negara Islam yang `disyaki' menyokong kegiatan keganasan itu tetapi ialah dengan memaksa kerajaan Amerika mengubah dasar dan ideologi mereka terhadap Palestin, terhadap Iraq, dan terhadap semua negara Islam yang lain yang selama ini dimusuhi oleh Amerika dan Israel.

Saya kira jika perubahan ini berlaku, semua negara Arab pasti akan mengubah dasar atau sikap benci mereka terhadap Amerika dan Israel. Dan keganasan akan berhenti.

Saya tidak percaya kekuatan senjata Amerika dapat menakutkan orang lain yang tidak takut mati atau untuk menghentikan keganasan kerana semangat orang yang diganasi tidak mudah dipatah. Contohnya Vietnam. Amerika, dengan segala kekuatan tenteranya, kalah perang dengan negara itu kerana apa? Kerana Amerika tidak berjaya mematahkan semangat juang Vietnam.

Lain halnya jikalau Amerika mahu melancarkan perang habis-habisan untuk memusnahkan orang Islam di muka bumi ini - suatu tindakan yang pasti akan turut memusnahkan Amerika sendiri dan seluruh dunia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.