saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/10/2001

Suasana meriah Anugerah ERA '01

Oleh: JAMLIAH ABDULLAH
PENYANYI Siti Nurhaliza tetap pujaan peminat. Pada majlis Anugerah ERA `01 (AE`01) yang berlangsung di Genting Highlands baru-baru ini, Siti membolot lima anugerah daripada 10 anugerah yang dipertandingkan pada majlis tersebut.

Artis yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu meraih anugerah untuk kelima-lima pencalonan yang diterimanya.

Siti meraih anugerah Vokal Pilihan, Lagu Pop Pilihan dan Muzik Video Pilihan untuk lagu terbaru popularnya, Percayalah.

Selain itu, Siti juga berkongsi dua kemenangan bersama seniman lagu Melayu asli ulung tanah air, Tan Sri S. M. Salim bagi lagu duet popular mereka, Pandang-Pandang Jeling-Jeling.

``Saya hargai kemenangan ini kerana ia daripada peminat dan saya berterima kasih kepada mereka.

``Saya berjanji untuk tidak akan mengecewakan mereka,'' kata Siti.

Selain itu Siti berharap kemenangan tersebut tidak akan dipersoalkan memandangkan ia adalah pilihan peminat.

Setiap anugerah memberikan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bersama trofi.

Majlis yang sama meraikan populariti penghibur dan komposer terkenal, M. Nasir yang berjaya membawa pulang anugerah Vokal Pilihan Lelaki. M. Nasir ke majlis tersebut bersama isteri kesayangannya, Marlia Musa yang sarat mengandung.

``Terima kasih kerana masih mempercayai saya,'' ucapan ringkas M. Nasir ketika menerima anugerah tersebut di pentas.

Artis Singapura, Ferhad yang berjaya menawan hati peminat melalui lagu popularnya Kasih Berubah menerima anugerah sebagai Artis Harapan Pilihan.

``Ini adalah kali ketiga saya dicalonkan dan saya menang satu anugerah. Itu sudah memadai.

``Saya berharap dengan album baru saya yang akan menampilkan lagu-lagu Melayu sepenuhnya, peminat akan terus menerima saya,'' kata Ferhad. Ferhad turut membuat persembahan pada malam itu dengan menyanyikan lagu popularnya, Kasih Berubah.

Persembahan itu lebih istimewa dengan kemunculan artis Fredo yang cukup popular dengan kumpulannya, Flybaits untuk berduet dengan Ferhad.

Ferhad yang akan ke studio untuk rakaman album terbarunya tidak lama lagi berjanji bahawa dia akan terus menghargai kepercayaan yang diberikan oleh peminat.

Sementara itu, kumpulan hip hop yang dikenali sebagai Too Phat pula menjadi pilihan peminat anugerah sebagai Artis Inggeris Tempatan.

``Pada awal pembabitan, kami menerima perhatian cuma di kalangan remaja bandar yang lebih meminati irama hip hop ini. Tetapi untuk album baru kami Plan B, kami menyedari bahawa semakin ramai peminat kami adalah terdiri daripada orang luar bandar.

``Ini satu perkembangan yang baik untuk kami dan kami menghargai sepenuhnya anugerah ini,'' kata Malaque.

Irama hip hop yang diperkenalkan oleh Malaque dan Joe Fllizow membawa banyak perubahan dengan gabungan muzik Melayu.

Too Phat membuka tabir persembahan pada majlis AE`01 dengan lagu pilihan mereka Anak Ayam.

Selain pencalonan untuk personaliti, AE`01 juga menampilkan pencalonan untuk Lagu Pilihan yang paling popular sepanjang tahun ini.

Selain lagu Percayalah dan Pandang-Pandang Jeling-Jeling, lagu Marilah Maria daripada kumpulan Def Gab C terpilih sebagai Lagu Pilihan Rock.

Lagu Intifada daripada kumpulan nasyid popular masa ini, Rabbani meraih anugerah sebagai Lagu Pilihan Nasyid.

Lagu nyanyian penyanyi seberang Melly Goeslaw, Jika, pula terpilih untuk meraih Anugerah Carta ERA. Lagu tersebut sebelum ini berjaya tersenarai selama 10 minggu berturut-turut di carta Radio ERA.

AE`01 julung kalinya dianjurkan oleh stesen radio paling popular Radio ERA bersempena ulang tahun ketiga stesen tersebut.

Walaupun kali pertama, majlis tersebut tetap tidak mengecewakan kerana ia menampilkan banyak gimik yang menarik.

Pengacara majlis buat pertama kalinya ditampilkan secara kesan virtual yang dinamakan sebagai AE`01.

Anugerah tersebut juga diadakan untuk meraikan dunia hiburan. Ini merupakan satu trend baru dalam dunia hiburan apabila semakin banyak institusi media aktif mengadakan majlis anugerah.

Radio ERA adalah stesen radio pertama mengadakan majlis seperti itu.

Populariti menjadi landasan utama untuk pengadilan pemenang iaitu melalui undian peminat sejak dua bulan sebelum berlangsungnya anugerah.

Populariti baru seperti Siti Nurhaliza, Too Phat dan Ferhad bukan lagi satu persoalan memandangkan mereka adalah generasi baru yang mewarnai dunia hiburan tanah air.

Tetapi AE`01 juga mengenang kembali jasa penggiat dunia hiburan lama seperti seniman Ahmad Mahmud, Aziz Sattar, Allahyarham Normadiah, Datin Saadiah dan Sarimah.

Pelakon veteran tersebut kecuali Sarimah yang diwakili oleh anaknya, M. Jamil berada di pentas AE`01 untuk menerima anugerah khas, Anugerah Panggung ERA. Artis veteran Aziz Jaafar pula hadir untuk mengambil anugerah bagi pihak isterinya.

Anugerah tersebut sememangnya sesuatu yang tidak ternilai untuk artis-artis lama.

Majlis pada malam tersebut diserikan dengan persembahan istimewa artis tempatan dan luar negara termasuk Julia Banos yang muncul dengan aksi funky ketika mempersembahkan lagu Cinta Gila. Kumpulan nasyid Rabbani pula mempersembahkan lagu Intifada.

AE`01 turut diserikan dengan penampilan artis remaja popular Syura dan Siti Nordiana yang mempersembahkan lagu Bakawali dan Yassin dengan lagu Laila.

Artis dari Lebanon, Pascale dan kumpulan dari seberang Gigi memeriahkan pentas dengan persembahan istimewa mereka.

Majlis tersebut menutup tabir dengan persembahan medley daripada artis-artis wanita popular seperti Siti, Ziana Zain, Sheila Majid dan Krisdayanti.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.