saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 14/10/2001

``Saya buat filem bukan kerana bisnes'' - Jiwa U-Wei dalam filem

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
KITA tidak perlu gentar dan gusar memikirkan sambutan khalayak terhadap filem-filem Melayu yang jujur memaparkan wajah kita.

Sudah menjadi lumrah, penggemar dan pencinta filem-filem begini hanyalah golongan elit.

Di Malaysia, antara pengarah filem yang berani mendedahkan kepincangan hidup manusia di dalam filem dan mendebatkannya ialah U-Wei Haji Saari dan Shuhaimi Baba.

Martabat mereka sebagai pengarah filem artistik diangkat oleh para pengkritik dan pengulas filem tempatan dan antarabangsa.

Dan mereka tidak pernah serik menghasilkan filem seumpama itu biarpun dengan dana yang sedikit dan dihimpit pula kutipan tiket yang tidak memberangsangkan.

Justeru bila ada pihak mendakwa orang seperti U-Wei dan Shuhaimi tidak jujur merencanakan filem mengikut landas bangsa sendiri, kita mendengar tuduhan itu dalam keadaan serba salah.

Apakah filem tidak boleh memaparkan kejujuran?

Mengupas persoalan ini dari perspektif industri perfileman Melayu, Mingguan Malaysia menemu bual pengarah yang disegani, U-Wei Haji Saari.

U-Wei bukan seperti pengarah lain. Dia lebih senang dengan `dunianya' sendiri. Dia jarang mahu ke depan bertemu media.

U-Wei sukar didekati oleh wartawan. Dia berkata, dia mahu karyanya dikenali berbanding personalitinya.

Pengarah berusia 47 tahun itu kelihatan kekok ketika diinterviu.

Asap rokok Camel tidak putus-putus disedutnya seakan-akan dia mahu rokok memberi semangat kepadanya.

``Saya tidak mahu hilangkan misteri setiap karya saya apabila bertemu wartawan,'' U-Wei mengusik.

Berkarya, kata U-Wei, merupakan satu tuntutan yang besar buatnya.

``Saya buat filem bukan kerana bisnes. Filem adalah medium untuk saya melahirkan perasaan saya dan saya tidak mempunyai pilihan lain,'' katanya.

Pernah menetap selama 12 tahun di New York, U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir Saari mengakui, filem yang dihasilkan tanpa ditonton adalah satu hasil kerja yang tidak sempurna.

Pengarah filem itu yang menempa nama menerusi tiga karya besar iaitu Perempuan, Isteri dan ... (1993), Kaki Bakar (1994) dan Jogho (1997) mengakui, dalam berkarya saat-saat yang paling sukar baginya ialah ketika menilai subjek yang mahu diutarakan dalam filem.

``Kita harus jujur dan faham mengenai diri kita terlebih dahulu sebelum menghasilkan sesuatu untuk ditonton dan diperkatakan oleh orang lain,'' tegas U-Wei.

Dalam konteks ini, U-Wei membidas pihak-pihak yang lebih senang bersikap ambil mudah atas apa yang dilihat atau ditonton tanpa mengkajinya dari aspek-aspek yang dituntut.

``Orang yang suka atau mahu sentiasa selamat tidak bagus,'' kata U-Wei.

Menurutnya, kepuasan dalam berkarya amat subjektif untuk diperkatakan kerana ia melalui pelbagai peringkat yang berbeza.

``Melihat skrip di atas kertas kajang sudah membuatkan saya puas. Demikian juga apabila bertemu dengan pasukan produksi serta mengumpulkan khalayak untuk menonton, itu juga memberi kepuasan kepada saya,'' U-Wei menjelaskan maksud kepuasan dari kaca matanya.

Menjawab satu soalan lain, U-Wei berkata, dia tidak kisah jika masyarakat tidak menghargai karyanya.

``Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya hanya berkarya menerusi filem kerana hanya itu kerja yang boleh saya lakukan,'' katanya.

Malah jika ada sebilangan besar audien tidak memahami apa yang ingin disampaikan menerusi filem-filemnya, U-Wei berkata, dia tidak tahu bagaimana hendak menerangkan mesej itu kepada mereka.

``Barangkali audien harus diberi pendedahan semenjak dari awal lagi menerusi sistem pendidikan mengenai lambang-lambang dalam mesej filem,'' kata U-Wei.

Penglibatan U-Wei dalam dunia pengarahan filem sebenarnya harus menjadi kebanggaan orang filem Malaysia.

Dia mencipta rekod yang orang lain tidak pernah lakukan. U-Wei pernah menyertai 22 festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem Cannes.

Yang menariknya, dia juga menjadi pilihan birokrat filem negara asing yang bermurah hati memberikannya geran RM1 juta semata-mata untuk menerbitkan filem yang mengupas persoalan Melayu.

Isunya sekarang mengapa anak seni berjiwa besar seperti U-Wei dipinggirkan? Mengapa karya bermutu Jogho yang dihasilkannya tidak diendahkan oleh sebilangan besar penonton filem tanah air.

Mencari jawapan kepada persoalan ini, U-Wei barangkali harus akur bahawa penonton daripada golongan bawahan terlalu sibuk dengan kehidupan seharian yang menuntut mereka berdepan dengan 1,001 masalah, kekecewaan dan sebagainya.

Untuk lari daripada tuntutan hidup itu, golongan yang berjiwa kerdil memilih filem komersial yang tidak memerlukan mereka berfikir panjang mengenai mesej yang diutarakan.

Namun begitu, tidakkah U-Wei sendiri berminat menghasilkan filem-filem yang bercorak komersial?

``Saya akan tetap bikin filem komersial tetapi jika saya buat filem seumpama itu saya tidak mahu orang menganggap saya melakukannya kerana dipengaruhi oleh sesiapa,'' U-Wei mempertahankan pendiriannya.

Ditanya adakah kemungkinan dia akan berkarya di negara asing kelak, pantas U-Wei memintas: ``Saya masih sayangkan Malaysia. Kasih saya kepada industri filem Melayu tidak pernah berubah.''

Mengenai perkembangan kariernya, U-Wei memberitahu, filem Kaki Bakar yang sepatutnya menemui penonton pada 2 September lalu telah ditangguhkan sehingga 25 Oktober ini.

Penangguhan ini adalah akibat tiada persefahaman antara U-Wei dengan sebuah syarikat pengedar filem antarabangsa.

``Hubungan saya dengan syarikat itu ibarat putus tunang,'' kata U-Wei.

Kini U-Wei mengambil alih tugas mengemudi filemnya untuk belayar menemui penonton.

``Sekurang-kurangnya tugas mengedar filem ini memberikan saya pengalaman baru,'' tambahnya.

Selepas melalui laluan yang sukar, Kaki Bakar akan menemui penonton di pawagam-pawagam KLCC dan Mid Valley di Kuala Lumpur.

Setelah sekian lama menunggu, U-Wei kini menunggu filemnya dikritik. Dan katanya dia berani mendengar kritikan itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.